Khamis, 17 Mac 2016

Kelantan mahu pertahan rekod tanpa kalah

SELEPAS mengharungi lima perlawanan tanpa kalah, Kelantan kini semakin ghairah memburu kemenangan.

 

Mereka kini mencari kemenangan keempat selepas mencatat tiga kemenangan dan dua seri setakat ini.

 

Yang pasti, mereka mahu menjadikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai mangsa seterusnya pada aksi yang akan berlangsung di gelanggang sendiri, Jumaat ini.

 

Lebih menggembirakan, skuad Kijang itu juga menerima semula sentuhan bekas ayam tambatannya, Zairul Fitri Ishak yang beraksi cemerlang ketika Kelantan menewaskan Harimau Muda 2-1 di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

 

Bekas pemain Kedah itu dilihat sebagai pelengkap kepada pasukan Kelantan yang semakin mempamerkan prestasi cemerlang kebelakangan ini.

 

Pengurus pasukan, Ahmad Jazlan Yaakub berkata kepulangan pemain tersebut memberi suntikan semangat kepada skuad bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar itu.

 

Katanya, Zairul Fitri telah mendapat pelepasan daripada Kedah dan telah mengikat kontrak selama setahun bersama pasukan Kelantan yang kini berada di tangga keempat liga dengan mengutip sebelas mata.

 

“Kita berjaya membawa pulang dua pemain daripada skuad Liga Super termasuk bekas penjaga gol Terengganu, Sarizan Ismail dan Zairul Fitri untuk memantapkan lagi cabaran Kelantan musim ini.

 

“Kehadiran mereka diharap mampu membantu pasukan ini yang rata-ratanya dibarisi pemain muda dan tidak berpengalaman,” katanya di Kota Bharu semalam.

 

Tambahnya, prestasi para pemain sangat memberangsangkan tetapi dia tetap menuntut anak buahnya untuk mempertahankan rentak konsisten itu.

 

“Pada perlawanan menentang Harimau Muda jentera serangan gagal beraksi cemerlang tetapi jentera tengah berfungsi dengan baik sehingga menjaringkan dua gol,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0116&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz43AokFSrs Hakcipta terpelihara

Jumaat, 4 Mac 2016

Piala FA: Kedah singkir Kelantan menerusi sepakan penalti

SABTU, 5 MAC 2016 @ 12:22 AM

 
PEMAIN pasukan Kedah, Mohd Rizal Ghazali (kiri) dan pemain pasukan Kelantan, Daudsu Jamaluddin (kanan) ketika beraksi di perlawanan Piala FA Kedah menentang Kelantan di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid KUALA LUMPUR:

Kelantan tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas 5-4 di tangan Kedah menerusi sepakan penentuan dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Darul Aman, sebentar tadi. Terikat 1-1 selepas 90 minit perlawanan menerusi jaringan Johathan McKain dan Khairul Helmi Johari, aksi kedua-dua pasukan terpaksa berlanjutan sehingga ke masa tambahan yang menyaksikan beberapa deretan peluang gagal disudahkan, sekali gus memaksa kemenangan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Kedah terlebih dulu mengambil sepakan penalti yang disudahkan Sandro Da Silva sebelum diikat 1-1 oleh Jonathan McKain. Penyerang import Kedah, Carlos Kahe menjadikan kedudukan 2-1 sebelum penalti oleh Indra Putra Mahayuddin menyamakan kedudukan untuk 2-2. Debaran kian dirasai apabila Syafiq Ahmad turut menyempurnakan sepakan penalti ketiga, diikuti oleh Wan Zack Haikal Wan Noor bagi kedudukan 3-3, sebelum Bang Seung Hwan dan Jonatan Lucca masing-masing menyempurnakan sepakan penalti untuk kedudukan 4-4. Sepakan penalti kelima disempurnakan oleh Liridon Krasniqi, namun kegagalan Khairul Izuan Rosli selaku pengambil sepakan penalti terakhir menyebabkan Kelantan berputih mata apabila tendangannya terkena tiang gol, sekali gus menyaksikan tuan rumah mara ke suku akhir menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) dan PDRM.

Khamis, 3 Mac 2016

Kelantan mahu tebus di Darul Aman

Kota Bharu: Kelantan mahu melupakan kekalahan Selasa lalu dan fokus saingan Piala FA.
“Kami mahu pastikan kemenangan ke atas Kedah malam esok," kata ketua jurulatih Kelantan, K Devan.
Bagi Devan, skuad itu perlu segera bangkit daripada kekecewaan tewas 1-2 kepada Helang Merah dalam aksi Liga Super sebelum ini dan tidak lagi pulang hampa pada pertemuan kalah mati di Stadium Darul Aman, Alor Setar, esok.
"Pertemuan malam esok berbeza kerana siapa kalah mereka tersingkir. Kami perlu turun dengan strategi baru bagi memastikan mara ke peringkat seterusnya.
"Saya telah mengkaji corak permainan Kedah dan kemungkinan besar saya akan menurunkan kesemua pemain import malam esok," katanya hari ini.
Devan berkata antara punca kekalahan Kelantan kepada Kedah Selasa lalu disebabkan anak buahnya terlalu selesa bertahan selepas mendahului babak pertama.
"Kami tidak lagi boleh turun dengan corak permainan sama. Pemain perlu agresif mengasak benteng lawan jika mahu kekal dalam saingan Piala FA musim ini.
"Saya sudah beri peringatan supaya pemain lupakan kekalahan Selasa lalu. Saya tidak mahu kekalahan itu terbawa-bawa dalam perlawanan malam esok. Mereka harus mencipta kejutan di gelanggang lawan," katanya.
Beliau berkata jentera pertahanan Kelantan perlu memberi tumpuan terhadap dua penyerang import Kedah, Liridon Krasniqi dan Carlos Kahe bagi menutup peluang tuan rumah menghasilkan gol.
"Sebelum ini pemain dapat mengawal Carlos, tetapi kami gagal menutup ruang menyekat Liridon, sekali gus memberinya ruang mencipta peluang kepada Kedah mengutip tiga mata.
"Saya mahu semua pemain mengambil peluang menebus kekalahan dua hari lalu. Saya cabar mereka membuktikan Kelantan masih berkualiti," katanya. Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 8:15 PM

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/120075#sthash.q71PtkWN.dpuf