Ahad, 18 Julai 2021

Gol cantik Aizat kecewakan The Red Warriors



PENYERANG Perak FC II, Muhammad Aqil Hilman Danial Roslan (kiri) mengawal bola dari pemain Kelantan FC, Christian Intzidis dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Perak di Ipoh hari ini. UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

Oleh AZIZAN HASHIM

18 Julai 2021, 12:20 am

IPOH: Jaringan cantik Aizat Safuan Razali membolehkan Perak FC II bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Kelantan FC 1-1 dalam aksi Liga Perdana yang kembali bersambing selepas dua bulan berehat malam tadi.

Selepas ketinggalan menerusi jaringan Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-55, skuad bimbingan Syamsul Mohd. Saad menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Akhirnya pada minit ke-69, Aizat melakukan rembatan dari jarak 30 meter yang bukan saja menewaskan penjaga gol The Red Warriors (TRW), Nik Mohd. Amin Ahmad, malah membuatkan semua pertahanan Kelantan FC terpaku.

Dalam di Stadium Perak, Ipoh itu permainan pantas tuan rumah nyata berkesan untuk menekan pelawat tetapi mereka gagal menyudahkan peluang.

Kelantan FC yang lebih banyak bertahan cuba melancarkan serangan balas yang berjaya dipatahkan oleh benteng tuan rumah.

Babak kedua menyaksikan perubahan corak kedua-dua pasukan yang berbalas serangan.

Kelantan akhirnya berjaya menjaring gol pendahuluan apabila Nurshamil menendang bola jarak dekat selepas menerima hantaran dari sebelah kanan pintu gol.

Gol itu nyata menyentak pemain Perak II yang bangkit melancarkan serangan balas, dan percubaan mereka berhasil apabila Aizat melepaskan tendangan yang tidak diduga menyebabkan pemain Kelantan terduduk.

Keputusan seri tidak banyak membantu Perak II yang kekal di tangga kedua tercorot dengan 10 mata, manakala Kelantan di tempat ketujuh (15 mata).1

__________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/07/gol-cantik-aizat-kecewakan-the-red-warriors/

Selasa, 13 Julai 2021

Zubir hampir bersara sebelum dilamar Kelantan

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Pemain pertahanan Kelantan FC, Zubir Azmi

Kuala Lumpur: Pertahanan kiri Kelantan FC, Zubir Azmi mengakui hampir pasti ingin bersara bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga sebelum akhirnya mendapat tawaran daripada Kelantan FC untuk beraksi pada baki saingan Liga Perdana, musim ini.

Selepas berjauhan dengan keluarga ketika beraksi bersama Sabah pada musim lalu, pemain berusia 30 tahun ini pada awalnya mengambil keputusan untuk bekerja sebagai ejen Takaful dan enggan lagi terbabit dalam kancah bola sepak.

Namun, selepas ditawarkan untuk bersama Kelantan FC, Zubir mengakui perasaan rindu untuk beraksi hadir semula sekali gus menutup kembali niat untuk bersara sepenuhnya pada tahun ini.

Apa yang penting, dia semakin bersemangat untuk membuktikan kudratnya masih berbisa bagi membantu pasukan itu mencapai prestasi terbaik pada musim ini.

"Pada mulanya memang saya rasa nak berhenti terus daripada bermain bola sepak sebab saya sudah kembali bersama keluarga, jadi rasa berat hati nak tinggalkan mereka.

"Selepas itu, saya mula membantu isteri dengan menjadi ejen Takaful dan tidak terlalu fikirkan untuk kembali ke padang.

"Tetapi semangat saya ada semula selepas mendapat tawaran bersama Kelantan, dan daripada situ saya rasa masih mampu untuk buktikan kemampuan saya di atas padang.

"Jadi, saya rasa selepas ini saya memang akan terus bermain selagi masih diperlukan dan tekad ingin beraksi cemerlang di Kelantan." katanya.

Zubir sebelum ini pernah mencuri tumpuan dan antara watak penting dalam skuad negara selain pernah menjadi sebahagian daripada pemain skuad kebangsaan dalam aksi Piala AFF 2012 dan 2014.

Menjelang aksi pertama berdepan Perak FC II yang juga perlawanan tertunda pada Sabtu ini, dia percaya pasukan sudah bersedia sepenuhnya untuk meraih kemenangan.

Apa yang mengagumkan pemain kelahiran Terengganu ini ketika berlatih bersama pasukan, adalah kelibat pemain-pemain muda yang berpotensi besar untuk kembali meletakkan The Red Warriors di tahap terbaik.

Aksi tertunda membabitkan Perak FC II dan Kelantan FC akan berlangsung Sabtu ini di Stadium Perak, Ipoh.

Kelantan FC kini di tangga ketujuh Liga Perdana selepas mengumpul 14 mata.

Disiarkan pada: Julai 13, 2021 @ 6:10pm.1

______________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/730170/zubir-hampir-bersara-sebelum-dilamar-kelantan 

Sabtu, 26 Jun 2021

Zubir, Syed Sobri mampu julang Kelantan FC

Jun 27, 2021 @ 1:12pm



Pemain tengah baharu Kelantan FC, Syed Sobri Syed Mohamad. - Foto ihsan Facebook Kelantan FC.

KOTA BHARU: Kelantan FC yang kini diperkuatkan dengan kehadiran pemain pertahanan dan pemain tengah baharu, menyasarkan untuk beraksi pada saingan Liga Super musim hadapan.

Pengarah Teknikal TRW Kelantan FC, Abdul Nasir Yusof berkata, pihaknya percaya kehadiran Mohd Zubir Azmi dan Syed Sobri Syed Mohamad mampu menampung kekurangan pasukan mengharungi baki saingan Liga Perdana sekali gus mencapai sasaran ditetapkan.

"Kehadiran pemain berpengalaman seperti mereka berdua ini amat ditagih pasukan, dan akan memberi ruang kepada ketua jurulatih Marco Ragini untuk membentuk pasukan yang lebih baik, di mana ketika ini rata-ratanya dibarisi pemain muda," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kelab Bola Sepak The Red Warrios Kelantan (TRW Kelantan) pada Khamis lalu mengumumkan, Mohd Zubir yang sebelum ini bersama Sabah dan Syed Sobri dari UKM FC, menyertai pasukan itu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M).

Seorang lagi pemain baharu dibawa masuk Kelantan FC adalah Shahrul Albert, yang sebelum ini bermain bersama Zamsaham FC, pasukan yang beraksi di liga komuniti Johor.

Mengulas mengenai kemasukan Shahrul yang mendapat kritikan pelbagai pihak, Abdul Nasir berkata pihaknya percaya dengan kemampuan dan bakat yang dimiliki pemain itu.

"Jika tidak mempunyai sesuatu dari pemain itu, kami tidak akan membuat langkah ini. Kita perlu memberi peluang kepada pemain dari liga amatur, kerana mereka memiliki bakat yang ada pada semua pemain di Liga Malaysia," katanya.

Kelantan FC menduduki tangga ketujuh Liga Perdana daripada 11 pasukan selepas mengumpul 14 mata hasil 10 perlawanan.1

____________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/832627/zubir-syed-sobri-mampu-julang-kelantan-fc

Rabu, 23 Jun 2021

Selamat tinggal The Red Warriors’



Oleh YATIMIN ABDULLAH

23 Jun 2021, 10:25 pm

KOTA BHARU: Kelantan FC mengesahkan Riccardo Mattioli melepaskan jawatan sebagai jurulatih penjaga gol pasukan berkuatkuasa serta merta atas urusan keluarga.

Perkhabaran ‘mengejutkan’ itu dikongsikan oleh pengurusan The Red Warriors (TRW) menerusi kenyataan dalam Facebook rasmi pasukan hari ini.

Menurut pengurusan Kelantan FC, pasukan itu menerima dengan hati terbuka keputusan yang telah dibuat oleh Mattioli walaupun ia sangat berat.

Menurutnya, Mattioli membuat keputusan ‘meninggalkan’ TRW disebabkan oleh masalah kesihatan ibu yang memaksa dia melepas jawatan tersebut.

Mattioli antara individu yang sangat penting dalam membentuk barisan penjaga gol Kelantan FC musim ini iaitu Mohamad Faridzuean Kamaruddin, Nik Amin Ahmad, Farizal Harun danAsfa Abidin.

Kehadiran Mattioli telah memberikan impak besar kepada TRW apabila barisan penjaga gol telah menunjukkan cemerlang dalam setiap perlawanan,” katanya.

Pengurusan Kelantan FC menzahirkan ucapan terima kasih dan menghargai pengorbanan serta komitmen yang diberikan dari awal musim.

Katanya, Mattioli bagaimanapun menyatakan hasrat akan kembali bersama pasukan Kelantan FC suatu hari nanti.

Mattioli antara muka baharu yang dibawa masuk oleh pengurusan Kelantan FC bersama ketua jurulatih

Marko Ragini bagi mengendalikan TRW dalam mengharungi saingan Liga Malaysia 2021.1

____________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/06/selamat-tinggal-the-red-warriors/

Rabu, 12 Mei 2021

Kelantan FC mungkin dikenakan tindakan

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my



AB Ghani berkata perkara utama ketika ini adalah memastikan gelembung sukan selamat kepada pemain dan pegawai pasukan. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Pasukan Kelantan FC berkemungkinan boleh dikenakan tindakan susulan jika kes positif Covid-19 di kalangan pemain mereka terdapat unsur perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) gelembung sukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata, ketika ini badan pengurusan liga itu sedang melihat dan mengkaji punca tiga pemain Kelantan FC dijangkiti pandemik Covid-19.

Walaupun tidak menjelaskan secara terperinci bentuk tindakan yang bakal dikenakan, Ab Ghani berkata, perkara utama ketika ini adalah memastikan gelembung sukan selamat kepada pemain dan pegawai pasukan seterusnya bebas daripada dijangkiti pandemik itu.

"Berkaitan pemain Kelantan FC, kita sedang melihat dan mengkaji bagaimana pemain itu mendapat (Covid-19), kita tidak mahu gelembung sukan ini pecah.

"Kalau berada dalam gelembung dan terkena mungkin tiada tindakan namun jika pemain berkenaan keluar dan sebagainya tanpa mengikut SOP tindakan akan diambil kepada pasukan," katanya.

Sebelum itu, MFL mengesahkan dua pemain Kelantan FC positif Covid-19 menerusi ujian calitan yang dilakukan sebelum perlawanan menentang Selangor 2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya baru-baru ini.

Dua pemain Kelantan FC itu terbabit kini sedang menjalani proses kuarantin di salah sebuah hospital di Petaling Jaya.

Pemain berkenaan terus diasingkan daripada pasukan dan tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Selangor 2 mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.

Pihak sekretariat MFL sedang meneliti punca kes positif Covid-19 ini berlaku untuk dibawa ke Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan susulan.1

Ahad, 11 April 2021

Menang tipis ‘hadiah’ pengorbanan pemain – Ragini



Oleh YATIMIN ABDULLAH

12 April 2021, 10:29 am

KOTA BHARU: Kemenangan tipis 1-0 The Red Warriors (TRW) ke atas Kuching City di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin hasil pengorbanan pemain.

Pengendalinya, Marco Ragini berkata, pemain Kelantan FC berhempas pulas untuk mendapatkan tiga mata penuh meskipun dalam keadaan keletihan keletihan.

Menurutnya, kemenangan itu cukup melegakan dalam usaha memburu kedudukan terbaik dalam carta liga.

Sebelum perlawanan… saya beritahu pemain jika mahu menang kita perlu banyak berkorban.

Kena keluarkan lebih banyak tenaga sehingga habis….(tapi) mereka benar-benar kepenatan dan apa yang dilakukan wajar diberi pujian,” katanya.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-45 untuk mendapatkan jaringan menerusi Natanael Siringo selepas menanduk masuk bola lambungan Dzulfahmi Abdul Hadi.

Lebih manis, ia kemenangan sulung di tempat sendiri buat TRW.

Tiga kemenangan yang dilakar skuad bimbingan Ragini itu sebelum ini dilakukan di tempat lawan.

Kemenangan itu menyaksikan Kelantan mengumpul 10 mata dan menduduki tangga keempat dalam carta Liga Perdana setakat ini.SUMBER-UM ONLINE

Selasa, 6 April 2021

Kelantan kecewa dalam gembira

 SUKAN



CHANG HOON merembat masuk bola sehingga menewaskan penjaga gol Kelantan FC, Mohd. Faridzuean pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin. – SUFC

Kelantan kecewa dalam gembira

Oleh KOSMO!

5 April 2021, 10:05 am

PENGENDALI Kelantan FC, Marko Ragini menyifatkan kekalahan tipis 0-1 di tangan Sarawak United pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini kelmarin sebagai satu perkara yang kecewa namun menggembirakan.

Ragini berkata, meskipun kekalahan itu amat pedih untuk ditelan, dia tetap gembira de­ngan aksi yang diperagakan oleh tonggak The Red Warriors (TRW).

Menurutnya, barisan pemain Kelantan telah menunjukkan corak permainan yang semakin baik pada setiap perlawanan.

Saya optimis jika pemain meneruskan rentak ini, tidak mustahil kita akan berada di landasan terbaik untuk menjadi pasukan kuat nanti,” katanya.

Pada aksi itu, rembatan jarak jauh pemain tengah Sarawak United, Lee Chang-hoon pada minit ke-39 sudah cukup buat skuad Kenyalang Emas untuk menumbangkan Kelantan FC 1-0.

Jaringan itu hasil hantaran pendek Sandro Da Silva Mendonca yang dimanfaatkan oleh Chang-Hoon untuk menewaskan Mohd. Faridzuean Kamarudin di pintu gol tuan rumah.

Mengulas lanjut, Ragini memberitahu, dia berterima kasih kepada barisan pemain yang telah memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu.

Katanya, beraksi dalam jadual padat perlawanan memberikan kesan kepada aksi pemain, namun itu bukan satu alasan untuk tidak beraksi cemerlang.

Saya harap pemain terus kekal fokus untuk perlawanan berikutnya bagi memastikan sasaran pasukan mampu dicapai,” ujarnya.SUMBER-SUKAN KOSMO ONLINE

Khamis, 1 April 2021

‘Setuju potongan, saya bayar langsai’



NORIZAM Tukiman melancarkan TRWpay, sistem pembayaran atas talian yang dibangunkan khas untuk pasukan Kelantan FC.

Oleh YATIMIN ABDULLAH

1 April 2021, 2:47 pm

KOTA BHARU: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sedia me­langsaikan semua tunggakan gaji bulan November membabitkan lima bekas tonggak The Red Warriors (TRW) musim 2020 sekiranya mereka bersetuju dengan syarat pemotongan sebagaimana telah diterima oleh rakan sepasukan yang lain sebelum ini.

Lima pemain yang membuat tuntutan menerusi Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) ialah Nazrin Nawi, Farisham Ismail, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Masaki Watanabe.

Norizam atau Zamsaham berkata, jika lima pemain itu te­rus ‘berkeras’ dengan keputusan untuk membuat tuntutan penuh, mereka perlu menunggu sehingga beliau mendapat keuntungan hasil perniagaan diusahakannya.

Saya memang nak bayar…cuma kalau nak penuh (bayaran) kena tunggu.

Sebab saya kena berniaga, jual burger atau ‘trade’ saham. Bila dah ada untung, baru ada pitih (duit) nak bayar (mereka yang mahu penuh),” katanya menerusi Facebook miliknya, semalam.

Tunggakan gaji lima pemain itu membabitkan bayaran bagi November tahun lalu yang berjumlah RM158,857.

Zamsaham memberitahu, beliau terpaksa berbuat demikian kerana tidak mendapat sebarang tajaan atau geran daripada mana-mana pihak.

Katanya, beliau juga sentiasa terbuka untuk melakukan rundi­ngan berhubung perkara itu.

Saya cuma berharap pemain terlibat memahami situasi di mana kita semua sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 yang memberikan kesan tidak baik pada ekonomi ketika ini,”

Lagipun 90 peratus pemain Kelantan FC sudah bersetuju dengan pemotongan itu, namun masih ada yang menolak tawaran tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Kelantan FC mungkin menjadi kelab bola sepak pertama yang mempunyai sistem pembayaran atas talian sendiri.

Menurut Zamsaham, sistem pembayaran atas talian TRWpay merupakan satu anjakan paradigma bagi kelab tersebut.

Katanya, TRWpay dibangunkan oleh TRW Kelantan FC sendiri dengan disokong oleh SecurePay dan Cool Code.

Selepas ini semua penyokong TRW Kelantan FC yang ingin menyaksikan perlawanan secara atas talian tidak lagi berdepan masalah berkenaan pembayaran kerana ia boleh dilakukan secara atas talian.

Peniaga-peniaga kecil dan penjaja di tepi jalan juga boleh menggunakan TRWpay kerana sistem ini dibangunkan untuk kegunaan peniaga kecil sehinggalah kepada syarikat-syarikat besar,” katanya.SUMBER-UM ONLINE

Isnin, 22 Mac 2021

Luqman, Ramadhan sandaran Cheng Hoe

Mac 21, 2021 @ 8:09pm



Luqman (kiri) dan Ramadhan diharap mampu beri nafas baharu kepada jentera serangan Harimau Malaya.- Foto JDT/Goggle

Luqman (kiri) dan Ramadhan diharap mampu beri nafas baharu kepada jentera serangan Harimau Malaya.- Foto JDT/Goggle

KUALA LUMPUR: Dua pemain muda berbakat negara Luqman Hakim Shamsuddin dan Muhammad Ramadhan Saifullah Usman menjadi aset penting kepada skuad kebangsaan terutama dalam memberi nafas baharu di bahagian serangan.

Menjelang misi penting pada saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun ini, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe yang sudah meledak lapan gol dalam lima perlawanan, kini mahukan jaminan jentera serangan yang lebih ampuh.

Prestasi dipamerkan Luqman Hakim, 19, yang kini berkelana ke Belgium bersama kelab KV Kortrijk dan Muhammad Ramadhan, 20, yang mencipta nama bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) ternyata memikat hati Cheng Hoe yang kini bersedia memberi peluang kepada mereka membuktikan kemampuan masing-masing.

Bagi Cheng Hoe, faktor umur bukan penghalang seseorang pemain untuk berada dalam pasukannya dan beliau teruja untuk menguji kemampuan kedua-dua pemain itu yang telah berada dalam pemerhatiannya sejak beberapa tahun kebelakangan.

DISYORKAN UNTUK ANDA

Kogileswaran terkejut!

16 minit berharga Luqman

Cheng Hoe panggil 9 pemain baharu

JDT, Selangor 'borong' pelatih AMD

"Kita nampak mereka ada potensi yang besar untuk menjadi sebagai penyerang utama skuad kebangsaan di masa hadapan. Bagi saya walaupun umur 16 atau 35 kalau boleh beri sumbangan kepada pasukan saya langsung tidak ambil kira," katanya kepada Bernama.

"Apa yang penting apabila datang ke pasukan kebangsaan boleh bekerja sebagai satu pasukan dan saling menghormati. Itu kunci kejayaan pasukan. Kita tidak boleh hanya terlalu fokus terhadap kebolehan individu sahaja," tambah beliau.

Buat pertama kali, Luqman Hakim dan Muhammad Ramadhan dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad negara yang bermula esok di Johor Bahru sekali gus bakal memberi pilihan lebih banyak kepada Cheng Hoe dalam mengatur strategi pasukan.

Meskipun hanya membuat satu penampilan bersama skuad utama KV Kortrijk setakat ini, Cheng Hoe berkata perkembangan positif Luqman Hakim dapat dilihat menerusi sesi latihan dan ketika beraksi buat skuad Bawah 21 (B-21) pasukan itu.

"Terdapat kemajuan dan peningkatan dari segi keyakinan beliau (Luqman Hakim), selain beliau juga menunjukkan kematangan yang saya fikir dapat menguatkan skuad kebangsaan," jelas pengendali berusia 52 tahun itu.

Sementara itu, Cheng Hoe mengakui teruja dengan kemampuan dimiliki Muhammad Ramadhan dalam kempen Liga Super musim lepas setelah mencetak empat gol dalam tujuh perlawanan dan memenangi kejuaraan Liga Super pertamanya bersama JDT.

"Kita nampak dari segi kekuatan beliau apabila masuk ke dalam perlawanan dan berani berdepan serta menggelecek pihak lawan, beliau juga ada kelajuan, kita mengharapkan sesuatu daripada Muhammad Ramadhan," katanya.

Setakat ini, enam daripada keseluruhan lapan gol dijaringkan skuad negara pada kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 telah disumbangkan pemain di bahagian tengah pasukan.

Tiga daripadanya dijaringkan pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh sementara tonggak JDT Muhammad Safawi Rasid dan ketua pasukan Selangor FC Brendan Gan masing-masing mencetak dua dan satu gol.

Penyerang JDT Muhammad Syafiq Ahmad muncul penyerang tunggal dalam pasukan negara yang berjaya mencetak nama sebagai penjaring dengan mengumpul dua gol.

Malaysia dijadual meneruskan baki saingan aksi kelayakan yang tertangguh lebih setahun susulan penularan pandemik COVID-19 secara berpusat menentang UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun), kesemuanya di UAE. - BERNAMA

SUMBER-BH ONLINE

Tuntutan gaji 5 bekas pemain tak adil – Zamsaham



Oleh YATIMIN ABDULLAH

22 Mac 2021, 8:33 pm

KOTA BHARU: Kelantan FC menegaskan tidak timbul sebarang isu tuntutan gaji yang dibuat lima bekas pemain bekas pasukan itu pada musim lalu menerusi aduan rasmi dari Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM).

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, tuntutan dibuat lima pemain itu disifatkan tidak adil kepada rakan-rakan sepasukan lain yang telah bersetuju dengan pemotongan sebanyak 50 peratus.

Menurutnya, lima tonggak itu hanya bermain selama sembilan hari dan tidak beraksi penuh.

Pasukan bola sepak terkemuka dunia seperti Barcelona turut mengambil langkah yang sama susulan serangan pandemik Covid-19 sehingga membuat penolakan hampir 70 peratus.

Itu kelab kaya. Kalau macam saya kena jual macam-macam seperti Zamburger dan Unclezam Rice untuk tampung kelab,” katanya menerusi entri laman sosial Facebook miliknya hari ini.

ENTRI Facebook Norizam Tukiman.

Lima pemain yang membuat tuntutan menerusi PFAM ialah Nazrin Nawi, Mohd. Farisham Ismail, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Masaki Watanabe membabitkan tunggakan gaji bagi November tahun lalu berjumlah RM158,857.

Norizam atau Zamsaham memberitahu, Kelantan FC ‘terkilan’ apabila 90 pemain sudah bersetuju ada beberapa tonggak menolak perkara tersebut.

Katanya, Kelantan FC sudah menghubungi pemain tersebut sudah mengemukakan rayuan namun mereka berkeras mahu mahukan bayaran penuh.

Seperti yang saya maklumkan pada 5 Mac lalu, kami (Kelantan FC) tiada masalah untuk membuat bayaran penuh kepada lima bekas pemain tersebut setelah ‘legal consel’ kami meneliti dari pelbagai aspek.

Insya-Allah di masa depan Kelantan FC tidak ada masalah nak bayar gaji pemain. Jika ada yang tak dapat gaji bukanlah kelab bermasalah,tetapi pemain (ada masalah),” ujarnya.

Pakar pelaburan dan usahawan burger itu berkata, ramai yang tidak tahu selepas mengambil alih pasukan Kelantan pada 3 September tahun lalu dia berkeras mahu membayar terus gaji pemain sedia tanpa melalui Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kerana memikirkan kesusahan pemain yang sudah berbulan-bulan tidak dapat gaji.

Katanya, Kelantan FC sendiri bakal jadi pasukan Perlis kerana tidak kurang 200 orang pemain skuad utama hingga Piala Presiden yang membuat tuntut hutang.

Bila ambil alih pasukan, barulah saya faham tidak semua pemain (bola) tahu erti terima kasih jauh lagi perkataan tolak ansur.

Ada pemain yang selalu mengalami kecederaan, kena kad merah, masalah sikap…takkanlah nak dibayar gaji penuh.

Maka saya perkenalkan sistem Indek Petunjuk Prestasi (KPI). Yang cemerlang, kita anugerahkan sesuatu. Mereka yang tidak cemerlang kita minta tingkatkan mutu dan kualiti,” katanya.

SUMBER-UM ONLINE

Ahad, 14 Mac 2021

Kelantan United menang lagi

MyMetroArena



Nor Amalina Alias

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kelantan United Football Club (KUFC) menamatkan aksi ketiga Liga Perdana dengan kemenangan tipis 2-1 mengatasi Perak II FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, hari ini.

Sebaik wisel perlawanan bermula, pelawat dikejutkan dengan gol pendahuluan tuan rumah seawal minit pertama menerusi sepakan penyerang import, Gassama Alfussainey.

Gol pertama itu hasil hantaran lambung cantik kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi.

Gassama tidak menunggu masa lama untuk melakukan rembatan ke gawang gol menewaskan penjaga gol Perak II, Muhammad Farhan Abdul Majid.

Perak II yang cuba bangkit bagaimanapun gagal mencari peluang menyamakan gol apabila kedudukan 1-0 kekal hingga babak pertama berakhir.

Bermula babak kedua, KUFC terus memburu kemenangan apabila gol kedua dijaringkan pemain, Mohd Amirul Shafik Che Soh pada minit ke-50.

Selang lapan minit kemudian, Perak yang mengatasi 'abang' KUFC, Kelantan FC minggu lalu bangkit dengan jaringan gol pertama pelawat menerusi Muhammad Aliff Zikri Zaini Anuar.

Namun kemenangan terus berpihak kepada KUFC sekali gus membawa senyuman kepada pengendalinya, Akira Higashiyama yang berjaya mengumpul tiga mata berharga buat kali kedua berturut-turut.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 8:46 PM

Rabu, 10 Mac 2021

Keputusan Liga Perdana



Oleh Media Mulia

10 Mac 2021, 11:14 pm

PETALING JAYA: Berikut keputusan penuh perlawanan Liga Perdana yang berlangsung hari ini.

Terengganu II 1-1 Kuching City

Kelantan United 2-0 PDRM

Perak II 0-3 Sarawak United

SUMBER-SUKAN UM ONLINE

Kelantan United pertaruh kekuatan sebenar jumpa PDRM

HAZELEN LIANA KAMARUDIN | | 09 Mac 2021




Gassama Al-Fusainey (tengah) yang tersisih akibat kecederaan sudah bersiap sedia untuk kembali beraksi menentang PDRM FC di Kota Bharu pada Rabu. - Foto ihsan Kelantan United Football Club
KELANTAN United FC sah akan mempertaruhkan barisan terkuat berdepan PDRM FC dalam usaha memburu tiga mata pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini petang Rabu.Penolong Pengurus KUFC, Nik Khuzaimi Nudin berkata, ia berikutan beberapa pemain yang sebelum ini tersisih akibat kecederaan dilihat sudah bersedia untuk memperkuatkan The Green Deers.
"Satu perkembangan positif buat Kelantan United selepas kami tewas 0-2 di tangan Sarawak United tempoh hari.
"Saya optimis ketua jurulatih Akira Higashiyama sudah mempunyai ramuan terbaik untuk berdepan Sang Saka Biru," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, moral pemain KUFC kini berada pada tahap terbaik dan mereka dilihat sudah bersedia untuk menebus kekecewaan.
Katanya, kekalahan pada Sarawak United tidak mematahkan semangat barisan pemain The Green Deers untuk bangkit pada aksi itu nanti.
Nik Khuzaimi berkata, masih banyak kelemahan yang perlu mereka baiki namun dia yakin jurulatih sudah menyediakan ramuan terbaik.
Katanya, dia berharap pemain dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri.
"Kita tidak boleh keciciran mata, kerana ia boleh menggugat semangat pasukan untuk saingan akan datang," katanya.
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/127636/BERITA/Sukan/Kelantan-United-pertaruh-kekuatan-sebenar-jumpa-PDRM© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Selasa, 2 Mac 2021

Kelantan United sasar empat teratas aksi Liga Premier

  SUKAN



BADHRI yang memiliki pengalaman luas dalam saingan tempatan dipilih untuk menggalas tugas sebagai kapten pasukan Kelantan United

Kelantan United sasar empat teratas aksi Liga Premier

Oleh KOSMO!

3 Mac 2021, 12:15 pm

Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

PASUKAN Liga Premier, Kelantan United meletakkan sasaran muncul empat pasukan terbaik dalam saingan musim ini yang akan membuka tirainya pada Sabtu ini.

Ketua jurulatih Kelantan United, Akira Higashiyama berkata, sasaran itu sekali gus membaiki pencapaian 2020 yang menyaksikan Kelantan United menamatkan liga di tangga kelapan.

Pengendali kelahiran Jepun itu juga yakin barisan pemainnya mampu menggalas cabaran de­ngan sandaran diletakkan kepada penyerang utama, Gassama Alfusainey dari Gambia.

Pemain tengah berpengalaman, Badhri Radzi pula akan mengetuai Kelantan United musim ini dan semua pemain perlu berperanan serta menunjukkan karakter sebenar.

Gassama juga bukan asing kerana sudah bersama Kelantan United sejak pasukan ini menjuarai Liga M3 pada musim 2019 dan merupakan penjaring gol berkualiti,” katanya selepas aksi pemanas badan menentang Terengganu FC (TFC) di sini kelmarin.

Dalam perlawanan itu skuad bimbingan Higashiyama tumpas 1-3 menerusi jaringan pemain tengah TFC, Makan Konate dan Azalinullah Alias pada babak pertama.

Sepakan penalti, kapten pasukan, Carli De Murga kemudian melebarkan kelebihan TFC sebelum Kelantan United memperoleh gol sagu hati me­lalui Asraff Alifudin pada minit ke-55.

Untuk rekod, Kelantan United juga diperkuatkan tiga lagi tonggak import daripada Jepun iaitu Shuhei Fukai, Masashi Moto­yama dan Yuki Tanigawa.

Kelantan United akan bertandang ke Stadium Hang Jebat untuk aksi pembukaan Liga Premier bertemu Sarawak United.SUMBER-SUKAN KOSMO ONLINE

Khamis, 25 Februari 2021

Dua aksi persahabatan uji Kelantan FC

| | 24 Februari 2021




Norizam
KELANTAN FC akan menguji pemain pada dua perlawanan pemanas badan sebelum sepak mula sebenar saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada awal Mac depan.
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, perlawanan ujian pertama yang bakal dilalui oleh pemainnya pada 26 Februari bertemu pasukan dari negeri jiran iaitu Terengganu FC ll (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasirrudin Shah, Kuala Terengganu pada pukul 4.45 petang.
“Pada 28 Februari, kami akan menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat yang merupakan salah satu pasukan yang cukup berkualiti pada saingan Liga-M.
“Perlawanan pemanasan penting kepada kami, bagi menilai kemampuan pemain dan pasukan bagi menghadapi cabaran sebenar sepanjang saingan Liga-M berlangsung musim ini,” katanya.
Pada perlawanan pembukaan Liga Premier musim ini, Kelantan FC akan bertemu Perak ll di Stadium Sultan Muhammad lV, Kota Bharu pada 6 Mac.
Norizam berkata, perlawanan pramusim itu sebagai platfrom kepada pemainnya bagi menyesuaikan diri dengan perlawanan sebenar di peringkat lebih tinggi, memandangkan rata-rata pemain yang membarisi pasukan merupakan pemain muda.
“Apa yang penting kami mahu membentuk keserasian dan kesefahaman antara pemain tempatan serta pemain import pasukan, dalam tempoh yang ada ketika ini.
“Saya yakin dengan pemain, barisan jurulatih, dan pihak pengurusan pasukan, untuk menghadapi cabaran Liga-M khususnya liga Premier,” katanya.
Pada saingan Liga-M, negeri Kelantan mempunyai dua pasukan yang akan beraksi pada saingan Liga Premier iaitu Kelantan United dan Kelantan FC. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/125573/BERITA/Sukan/Dua-aksi-persahabatan-uji-Kelantan-FC© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Rabu, 17 Februari 2021

Jangan beli jersi tiruan



JERSI baharu Kelantan FC yang dilancarkan secara dalam talian kelmarin menarik perhatian penyokong Red Warriors.

Oleh Media Mulia

17 Februari 2021, 2:39 pm

PETALING JAYA: Penyokong Kelantan FC kecewa kerana jersi baharu pasukan itu hanya boleh diperoleh dalam tempoh 30 hari selepas pelancarannya kelmarin.

Rata-rata penyokong berkata, strategi The Red Warriors (TRW) itu merugikan pasukan kerana biasanya peminat amat teruja melakukan pembelian pada hari pelancaran atau beberapa hari selepas jersi diper­kenalkan.

Lebih membimbangkan, mereka, kelewatan itu menyebabkan penyokong yang tidak sabar akan mendapatkan jersi tiruan, apatah lagi ia mudah diperoleh dari negara jiran.

Kelantan FC dalam Facebook rasminya, TRW Kelantan FC memberitahu, peminat boleh mendapatkan jersi berharga RM189 hingga RM234 itu di Shopee menerusi tempahan awal yang akan dihantar kepada mereka dalam tempoh 30 hari.

Hanya jersi 93 (latihan) mempunyai stok tersedia sedangkan kebanyakan pasukan mahu memiliki jersi sebenar yang akan digunakan pemain dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pada saya satu kesilapan dan kerugian berlaku kepada pasukan Kelantan FC. Sepatutnya sebelum dilancarkan, mereka sudah menyediakan jersi.

Peminat sedang menggila hendak beli. Bayangkan kalau semalam diperkenalkan jersi dan mereka ada 50,000 stok. Mungkin tak sampai dua jam habis,” tulis pemilik akaun ­Facebook Skincare Originally Taiping.

Patut buat dulu 2,000 helai macam Selangor, kemudian baru buat preorder (tempatan awal). Cerdik sikitlah berniaga, jangan Covid dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) jadi alasan,” kata peminat dengan akaun Carl Razi.

Kenapa lama sangat, bahaya tu. Macam-macam boleh jadi, takut ada yang beli baju Siam (Thailand),” tulis seorang lagi peminat.

Bagaimanapun ada juga peminat sanggup menunggu 30 hari demi mendapatkan jersi asli sebagai sokongan kepada pasukan dan pemilik baharu kelab, Norizam Tukiman.

Biar tunggu 30 hari sekalipun, harap semua sokong de­ngan beli jersi asli daripada Siam. Boss Zam (Norizam) dah berhabis banyak duit untuk TRW,” kata Aiman Alimin.SUKAN UM ONLINE

Isnin, 15 Februari 2021

Zamsaham nafi tagih khidmat Sharbinee

Oleh Syafiq Aznan - Februari 15, 2021 @ 11:04pm

syafiq.aznan@bh.com.my



Zamsaham nafi mahu dapatkan khidmat Sharbinee.

KUALA LUMPUR: Pemilik pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman menafikan khabar angin yang menyatakan pasukan itu sedang mengintai khidmat penjaga gol berpengalaman, Sharbinee Alawee untuk musim 2021.

Menerusi laman Facebook Zamsaham, Norizam mahukan penyokong supaya hanya mendapatkan maklumat sahih daripada laman rasmi pasukan itu, TRW Kelantan FC.

"Tak betul ni. Tak semua perkara yg dikongsi di media adalah benar. Kepada semua fans, just dapatkan info dari TRW Kelantan FC.

"Untuk semua senarai pemain minggu depan inshaAllah semua akan tahu. Marco Rajini dan team pengurusan terbaru tahu apa yang perlu dilakukan. Doakan yang terbaik dari yang baik," kata Norizam.

Kenyataan itu dibuat selepas khabar angin ditimbulkan sebuah laman web yang mendakwa bekas penjaga gol Pahang itu akan diikat Kelantan untuk membantu membimbing skuad Kelantan yang dibarisi pemain muda.

"Sharbinee Allawee hampir pasti menjadi pemain 'otai' untuk membimbing skuad muda The Red Warriors 2021. GKG!," kata laman terbabit.

Sebagai rekod, khidmat anak tempatan jelas memperkasa cabaran Kelantan FC selepas mereka dibarisi 90 peratus anak 'Kelate' bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menerusi perkongsian Norizam sebelum ini, daripada 31 pemain terbabit, 20 pemain berasal dari Kelantan manakala tiga lagi pemain direkrut dari Kuala Lumpur, Perak dan 'jiran' mereka, Terengganu.

S-UMBERSelain itu, Kelantan FC juga diperkuat dengan seorang pemain Johor dan Pulau Pinang.

Sabtu, 13 Februari 2021

Kelantan dapat senjata dari Greece



Oleh Media Mulia

13 Februari 2021, 2:57 pm

PETALING JAYA: Pertahanan tengah dari Greece, Christos Intzidis menjadi pemain import terbaharu yang bakal memperkuatkan cabaran Kelantan FC bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.

Tidak pernah beraksi dalam mana-mana kelab di Asia, Intzidis, 28, pemain berketinggian 1.89 meter itu bakal menyahut cabaran baharu untuk membantu The Red Warriors (TRW) kembali ke kancah liga utama musim depan.

Berasal dari Thessaloniki, Greece, Intzidis sebelum ini beraksi bersama kelab FK Miercurea Ciuc dan CS Concordia Chiajna dalam saingan divisyen 2 Liga Romania.

Intzidis juga pernah beraksi di Australia beraksi South Melbourne dalam Liga Perdana Nasional Victoria 2018. SUKAN UM ONLINE

Jumaat, 12 Februari 2021

Kelantan sah ikat Natanael



Oleh YATIMIN ABDULLAH

12 Februari 2021, 4:53 pm

KOTA BHARU: Kelantan FC melengkapkan kuota pemain import dari ASEAN apabila mengikat bekas pemain sayap Sulut United dari Indonesia, Natanael Siringoringo.

Perkhabaran gembira itu dikongsikan pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman atau dalam Facebook hari ini.

Kata Norizam, pemilihan Natanael dibuat berpandukan kepada prestasi semasa yang diperagakan pemain itu sepanjang beraksi Sulut United.

Katanya, pengalaman bersama pasukan kebangsaan Indonesia turut menjadi tunjang pemilihan pemain berusia 22 tahun itu.

Kita tawarkan kontrak setahun dulu kepada pemain ini. Jika Natanael memperagakan aksi terbaik Kelantan FC akan tawarkan kontrak lanjut tiga tahun kepadanya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Norizam berkata, dia berkeyakinan Natanael mampu memenuhi ‘kehendak’ jurularih dari Itali, Marco Rajini.

Katanya, bukan itu sahaja, pemain tersebut dilihat tidak akan mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan percaturan Rajini.

Sebelum ini, Natanael merupakan bekas pemain futsal profesional untuk pasukan SDR FC Binjai yang beraksi dalam saingan Liga Pro Futsal Indonesia (PFL).

Pemain sayap yang berketinggian 1.68 meter itu merupakan pemain pertama dari pasukan Sulut United yang menyarung jersi kebangsaan Indonesia.

Natanael satu-satunya pemain yang pernah mendapat panggilan kedua-dua skuad kebangsaan Indonesia – bola sepak dan futsal.

Dia juga dipanggil mengikuti pemilihan skuad kebangsaan Indonesia bagi persiapan Sukan SEA di Filipina 2019..SUMBER-UM ONLINE

Ahad, 7 Februari 2021

Kelantan FC minta maaf

MyMetroTopic



BERNAMA

Kota Bharu: Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC) menangguhkan majlis pelancaran jersi dan pengumuman pemain pasukan itu yang sepatutnya diadakan secara maya pada hari ini ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Pengurus Operasi Kelantan FC Jamilulail Jamiludin berkata, penangguhan itu disebabkan pihaknya menghormati pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilanjutkan hingga 18 Februari depan.

"Oleh kerana kekangan ini, pelbagai aktiviti berkaitan tidak dapat dijalankan dengan baik dan kami memohon maaf terpaksa menunda program yang dirancang hari ini ke tarikh lain," katanya dalam kenyataan.

Jamilulail berkata, majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain Kelantan FC yang akan beraksi dalam kempen Liga Perdana musim ini sepatutnya diadakan secara maya di Langkawi pada 1 Februari lalu, namun ditunda ke 7 Februari dengan lokasi dipindahkan ke Kota Bharu susulan penguatkuasaan PKP.

"Kelab sentiasa memikirkan yang terbaik untuk semua, keselamatan diri dan kesihatan pegawai adalah keutamaan ketika ini," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 6:27 PM

Ahad, 17 Januari 2021

Ragini tidak sabar lonjak Kelantan FC

  SUKAN



ZAMSAHAM (kiri) menyambut ketibaan Ragini yang melaporkan diri buat pertama kali di Kota Bharu, Kelantan malam kelmarin. – FACEBOOK TRW KELANTAN FC

Ragini tidak sabar lonjak Kelantan FC

Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

16 Januari 2021, 3:00 pm

PENANTIAN pasukan Kelantan FC untuk mendapatkan ‘DNA’ Itali akhirnya tercapai selepas ketua jurulatih baharu, Marco Ragini melaporkan diri buat pertama kali di Kota Bharu malam kelmarin.

Perkara tersebut disahkan oleh pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang menyambut kehadiran Ragini bersama barisan kejurulatihan termasuk pembantu jurulatih dari Sepanyol, jurulatih kecergasan (Sepanyol) dan jurulatih penjaga gol (Itali).

Kata Norizam yang lebih mesra dengan gelaran Zamsaham, Ragini mahu perbincangan segera dilakukan bersama barisan kejurulatihan dan pegawai The Red Warriors meskipun baru sahaja tiba ke bumi Kelantan.

Alhamdulillah, semua barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Marco Ragini sudah sampai di Kelantan. Pemain import sahaja yang belum sampai lagi.

Kami terus melakukan perbincangan walaupun saya mengarahkan mereka berehat. Ragini berkata, dia terbang sejauh 12,000 kilometer bukan untuk bercuti.

Ragini sangat bersungguh untuk mencapai misi dan visi Kelantan FC,” kata Zamsaham dalam kenyataan di laman Facebooknya.

Sebagai rekod, Ragini yang berusia 54 tahun memiliki Lesen Kejurulatihan Pro yang diiktiraf oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan memiliki pengalaman selaku pelatih kejurulatihan bersama Persatuan Bola Sepak Itali.

Malah, Ragini juga pernah bergelar ketua jurulatih ketika membimbing pasukan Dainava di Lithuania, FC Locarno (Switzerland), Dolny Kubin (Slovakia), Ujana (Congo), Garden City (Nigeria) dan FC Ulaanbaatar (Mongolia).SUMBER-KOSMO ONLINE

Zamsaham terkejut Harimau Malaya di ranking 153 dunia

Oleh Zulfaizan Mansor - Januari 17, 2021 @ 8:54pm

zulfaizan@bh.com.my



Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham.

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menyifatkan skuad Harimau Malaya tidak sepatutnya berada di kedudukan ke-153 dunia berdasarkan pembangunan dalam aspek bola sepak di negara ini.

Dalam luahan terbaharu menerusi akaun Facebook miliknya, Norizam berkata dengan pembangunan stadium serta pelbagai akademi bola sepak, sepatutnya ranking Malaysia semakin naik dan bukan semakin menurun.

Malah, beliau yang lebih dikenali sebagai Zamsaham mengakui terkejut dengan kedudukan semasa skuad Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Sebab saya orang barulah saya terkejut kita berada pada Ranking ke 153! Bola Malaysia pada tahun 1993 berada pada World Ranking (ranking dunia) 75. Palestin mempunyai ranking yg lebih baik dari kita, Thailand dan Vietnam semakin maju ranking mereka.

"Sukan bola sepak masih sukan no 1 rakyat Malaysia, tetapi ranking dunia kita sepatutnya semakin baik, bukan sebaliknya," katanya.

Sebelum ini, Zamsaham sudah mengkritik ranking skuad Harimau Malaya selepas muncul laporan bahawa Kelantan FC boleh dipotong mata oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana masalah tunggakan gaji.

Selain itu, beliau turut mengaku tidak bersetuju apabila ada pihak yang menyifatkan ranking skuad kebangsaan sebagai tidak penting.

"Terkejut bila ada orang kata ranking tidak penting. Jika rating tidak penting, tidak perlulah Agoda, Booking.com buat 'system rating'.

"Ada rating hotel yang saya takeover (ambil alih) 4.8, maka nilai hotel itu saya beli pada harga murah. Kalau rating tinggi, 8 atau 9 contohnya kualiti biasa bagus dan nilai jualan juga tinggi, disitulah tawar menawar harga berlaku berdasarkan rating, ranking.

"Pada saya rating sangat penting. Sama sahaja dalam apa industri pun, termasuklah kekuatan ekonomi, penarafan hutang negara pun ada rating dan ranking. Maafkan saya sebab baru tahu ranking bola sepak Malaysia 153," katanya.SUMBER-BH ONLINE

Khamis, 14 Januari 2021

Kelantan, Melaka diarah bayar hutang



MOHD. FAUZI ROSLAN

Oleh ROZAIDI ZULKIFLI

13 Januari 2021, 5:39 pm

KUALA LUMPUR: Kantung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terus ‘diperah’ apabila diarah menjelaskan tunggakan gaji kepada 11 bekas pemain, melibatkan nilai keseluruhan RM187,778.92.

Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat Khamis lalu, mengarahkan KAFA membayar tunggakan itu segera.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Mohd. Joehari Ayub berkata, pihaknya meneliti dan melihat aduan kes yang diterima dan telah mencapai keputusan itu.

MOHD. JOEHARI AYUB

Tuntutan pengadu sudah diterima sepenuhnya dan Persatuan Bola Sepak Kelantan dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada (pemain) tertakluk kepada potongan wajib pendapatan,” katanya.

Antara pemain yang menuntut hak mereka Mohd. Fauzi Roslan (RM63,628.18), Zulfahmi Awang (RM50,000), Afiq Azuan (RM32,141.99) dan Wan Muhammad Afiq berjumlah RM21,000. Hutang keempat-empat pemain itu adalah yang paling tinggi.

Tujuh pemain lagi menuntut tunggakan RM5,000 ke bawah iaitu Mohamad Azzrie Aripin (RM4,075), Syafiq Syahmi Husin (RM3,877), Fahmi Izzuddin Ab Rahman (RM2,681), Ahmad Fathi Irfan Azlan (RM3,279), Fikri Hakim (RM1,289.50), Ahmad Hamzalah Zulkiflee (RM2,681) dan Fazliera Ezlan Rosli (RM3,126.25).

Begitupun KAFA dijangka tidak berdepan masalah menyelesaikan segala tunggakan memandangkan mereka sebelum ini menerima wang RM3 juta hasil daripada penjualan saham syarikat The Red Warriors (TRW) Sdn. Bhd. kepada Norizam Tukiman, selain memperuntukan RM3.8 juta bagi membayar tunggakan hutang.

Berdasarkan perjanjian antara kedua-dua pihak, Norizam kini adalah pemilik penuh Kelantan FC yang akan beraksi di Liga Malaysia (Liga M), sementara KAFA hanya memberi tumpuan dari aspek pentadbiran bola sepak di negeri Kelantan.

KAFA turut berjanji akan menggunakan hasil penjualan pasukan bagi menyelesaikan segala tunggakan dengan bekas pemain.

KAFA sebelum ini telah menyelesaikan tunggakan pemain import, Abou Bakr Al Mel dan Cassio Francisso, sekali gus bebas daripada sekatan perpindahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

CURRAN FERNS

Dalam perkembangan sama, Jawatankuasa Status juga turut mengarahkan Persatuan Bola Sepak Melaka menyelesaikan tunggakan Curran Ferns dengan jumlah RM97,500.00.

SUMBER-SUKAN KOSMO ONLINE

Norizam berang 'ugutan' FAM

MyMetroTopic



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berang dengan tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengancam untuk memotong tiga mata jika Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa ) gagal menyelesaikan tunggakan gaji 11 bekas pemainnya.

FAM menerusi Jawatankuasa Statusnya semalam, memutuskan Kafa perlu menyelesaikan tunggakan berjumlah RM187,778.92 dalam tempoh terdekat ini.

Bagaimanapun, risiko pemotongan tiga mata yang akan dikenakan kepada Kelantan FC sekiranya gagal dilunaskan Kafa nyata dianggap tidak adil oleh Norizam ketika pasukannya kini sudah bergerak berasingan selari dengan konsep penswastaan.

"Kafa dah jelaskan, baki hutang mereka akan bayar. Kelantan FC dah nak fokus kedepan. FAM pula sepatutnya membantu penswastaan. Bukannya awal-awal dah cerita nak tolak tiga mata, kemudian tanpa sebarang pertanyaan kepada kelab dan Kafa terlebih dahulu. Mohon FAM, biar lebih bijak dari biasa," katanya di laman Facebook miliknya.

Kemarahan usahawan burger dan hotel itu tidak terhenti di situ, malah beliau mempersoalkan di manakah bayaran hak siaran aksi Liga Malaysia dan elaun pengadil yang belum dibayar.

"Hutang MFL (Liga Bolasepak Malaysia) siaran perlawanan belum bayar! Hutang MFL duit pengadil pun belum bayar!. Apa perjuangan FAM? Renovate office (ubah suai pejabat)?," katanya.

Selain itu, beliau juga mengaitkan kegagalan badan induk itu menguruskan soal penswastaan pasukan sama dengan kemerosotan prestasi skuad Harimau Malaya.

"Privatisation industri bola Malaysia adalah paling last di dunia, dan paling bijak! Ranking bola Malaysia 153 dunia. Paling memalukan! Siapa yang urus dan jaga bola sepak Malaysia?"

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 6:35 PM

Rabu, 13 Januari 2021

Kantung KAFA rabak lagi

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kantung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) 'rabak' lagi apabila persatuan itu diarahkan untuk menjelaskan tunggakan gaji kepada 11 bekas pemainnya membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM187,778.92.

Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat pada Khamis lalu, mengarahkan KAFA membayar tunggakan itu segera.

Pengerusi Jawatankuasa terbabit, Mohd Joehari Ayub berkata, pihaknya meneliti dan melihat aduan kes yang diterima oleh pihaknya dan sudah mencapai keputusan itu.

"Tuntutan pengadu sudah diterima sepenuhnya dan Persatuan Bolasepak Kelantan dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada (pemain) tertakluk kepada potongan wajib pendapatan," katanya.

Antara pemain yang menuntut hak mereka ialah Mohd Fauzi Roslan sejumlah RM63,628.18, Muhammad Zulfahmi Awang sebanyak RM50,000.00, Muhammad Afiq Azuan dengan RM32,141.99 dan Wan Mohammed Afiq bernilai RM21,000.00 dengan keempat-empat hutang mereka adalah yang paling tinggi.

Manakala tujuh pemain lagi menuntut tunggakan RM5,000 ke bawah iaitu Mohamad Azzrie Aripin (RM4,075.00), Muhammad Syafiq Syahmi Husin (RM3,877.00), Muhammad Fahmi Izzuddin Ab Rahman (RM2,681.00) dan Ahmad Fathi Irfan Azlan (RM3,279.00).

Ia disusuli Muhammad Fikri Hakim (RM1,289.50), Ahmad Hamzalah Zulkiflee (RM2,681.00) dan Mohamad Fazliera Ezlan Mohd Rosli (RM3,126.25).

Bagaimanapun, KAFA dijangka tidak berdepan masalah untuk menyelesaikan segala tunggakan itu memandangkan mereka sebelum ini menerima wang sebanyak RM3 juta hasil daripada penjualan saham syarikat The Red Warriors (TRW) Sdn Bhd kepada Norizam Tukiman, selain turut diperuntukkan RM3.8 juta bagi membayar tunggakan hutang.

Berdasarkan perjanjian antara kedua-dua pihak, Norizam kini adalah pemilik penuh Kelantan FC yang akan beraksi di Liga Malaysia, sementara KAFA hanya akan memberi tumpuan dari aspek pentadbiran bola sepak di negeri Kelantan sahaja.

Malah, KAFA juga berjanji akan menggunakan hasil penjualan pasukan untuk menyelesaikan segala tunggakan dengan bekas pemain.

Untuk rekod, sebelum ini KAFA sudah menyelesaikan tunggakan pemain import terdahulu, Abou Bakr Al Mel dan Cassio Francisso sekali gus disahkan bebas daripada sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Sementara itu, menerusi keputusan Jawatankuasa Status itu juga menyaksikan Persatuan Bolasepak Melaka diarahkan menyelesaikan tunggakan Curran Ferns dengan jumlah RM97,500.00.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 5:39 PM