ARKIB : 02/11/2007
Oleh HERMAN HAMID
KOTA BHARU Presiden Persatuan
Bolasepak Kelantan (KAFA) yang baru, Datuk Seri Annuar Musa memberi jaminan
soal kebajikan pemain skuad Kijang pada musim ini akan terbela bagi memastikan
pemain memberi fokus sepenuhnya terhadap sasaran mencapai ke Liga Super.
Menurut Annuar, ini termasuk
berhubung soal gaji yang merupakan kerisauan utama pemain pada musim ini, akan
dipastikan dimasukkan ke dalam akaun mereka pada setiap 28 hari bulan.
Katanya, walaupun jumlah
perbelanjaan bulanan adalah tinggi iaitu mencecah kira-kira RM150,000, namun
beliau akan memastikan kantung KAFA mencukupi kerana itu sudah menjadi tugasnya
selaku Presiden.
Perkara di luar padang, itu
urusan saya dan KAFA, walau macam mana sekalipun itu akan kami pastikan dengan
sekarang ini beberapa penaja termasuk penaja utama hanya menunggu masa untuk
diumumkan.
Cuma macam mana hendak
pastikan Kelantan menang, itu kita tidak dapat buat, ia adalah urusan pemain,
KAFA hanya boleh tentukan hal di luar padang, katanya selepas Majlis
Menandatangani Kontrak Pemain Kelantan di sebuah hotel di sini, semalam.
Pada majlis itu juga, Annuar
menyampaikan sumbangan wang saku kepada para pemain dan jurulatih sebanyak
RM1,000 seorang sebagai permulaan sebelum mendapat gaji pertama mereka.
Sehubungan itu, Annuar
mengingatkan para pemain bahawa mereka akan dilayan secara profesional tetapi
dalam masa yang sama mereka juga dituntut untuk menunjukkan komitmen seperti
mana seorang pemain profesional.
Katanya, malah pengurusan musim
ini bukan hanya akan pastikan soal gaji tetapi perkara lojistik lain seperti
pengangkutan, penginapan sehinggalah kepada pakaian mereka akan dilayan sebagai
seorang profesional.
Musim ini kita tidak mahu
pemain kita pergi bermain di tempat lawan yang jauh-jauh hanya dengan naik bas
untuk jimat wang malah hingga ada ketika terpaksa bertolak balik sejurus
selepas permainan.
Sampai pakaian pun kita nak
cari penaja yang terkenal kerana kita tahu hal lojistik walaupun remeh, tetapi
pada era sekarang ia mesti diuruskan secara profesional, baru pemain
bersemangat.
Selain itu demi kebaikan
pemain, saya ada perancangan hendak wujudkan rumah kelab untuk kegunaan pemain
dan KAFA bagi mesyuarat, rehat dan gimnasium, jelasnya.
Sementara itu, berhubung
pemilihan pemain import musim ini, Annuar memberi jaminan kepada peminat
Kelantan bahawa pemain yang akan dipilih bukan sekadar tangkap muat untuk
memenuhi kuota.
Berikutan itu katanya,
jurulatih, Norizan Bakar telah diberi masa dan kebebasan untuk menguji dan
mencari pemain import yang berkualiti agar sumbangan yang diberikan kelak di
tahap sepatutnya.
Insya-Allah sebelum 15
November depan, kita boleh umumkan pemain import yang dipilih,'' jelasnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4vl8Iusrj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan