Jumaat, 20 Oktober 2017

Nasib Zairol Fitri hari ini



Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED

TEKA-TEKI mengenai nasib Zairol Fitri Ishak akan diketahui hari ini apabila pemain itu bersedia untuk duduk bersemuka dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Menurut jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah, pemain tersebut ada menghubunginya semalam dan bersedia untuk duduk berbincang bersama-sama pengurus pasukan Kedah, Datuk Othman Aziz bagi menyelesaikan kemelut yang telah melanda kedua-dua pihak.

Terdahulu, Zairol Fitri mencetuskan kontroversi apabila didakwa telah meninggalkan skuad Kedah untuk kembali beraksi bersama kelab lamanya, Kelantan.

KERATAN KOSMO! keluaran semalam.

Begitupun, Azraai menjelaskan pertemuan hari ini bakal menyelesaikan status pemain itu sama ada dia mahu meninggalkan Kedah ataupun mengekalkan kedudukannya sekarang.

Bagi Azraai, Zairol yang mendakwa dirinya telah mendapat kerja di Kelantan itu mungkin tertarik dengan tawaran gaji selain pencen yang disediakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

“Apa yang telah ditawarkan oleh KAFA itu mungkin berbeza dengan Kedah kerana apa yang dia dapat di Kedah adalah lebih lumayan,” katanya.

“Begitupun, Zairol sepatutnya tidak melayan tawaran tersebut kerana sebelum ini gajinya pernah ditangguh oleh KAFA.

“Jika dia masih juga berkeras untuk beraksi di Kelantan, maka dia perlu menerima persetujuan KFA terdahulu kerana lesen dan sijil perpindahannya masih berada di tangan pihak pengurusan.”

Menurutnya, akan cuba menasihati Zairol agar berfikir dengan lebih mendalam terhadap masa depannya jika meninggalkan Kedah.

“Sebagai pemain profesional, Zairol sepatutnya mengikut saluran yang betul jika mahu meninggalkan Kedah dan tidak menimbulkan sebarang masalah pada dirinya,” jelas Azraai.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4w6pEVvlE
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan :

Catat Ulasan