Isnin, 16 Oktober 2017

Annuar Musa terajui bola sepak Kelantan



ARKIB : 22/10/2007

Oleh: AZRAN FITRI RAHIM

KOTA BHARU – Datuk Seri Annuar Musa dipilih Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selepas menang tanpa bertanding pada mesyuarat agung persatuan itu di sini, kelmarin.

Annuar, 51, dipilih sebulat suara oleh 12 anggota gabungan KAFA selepas penyandangnya Ahmad Jazlan Yaakob melepaskan jawatan tersebut.

Ahmad Jazlan bagaimanapun turut dipilih sebagai Timbalan Presiden KAFA bagi menggantikan Azman Ibrahim yang menarik diri.

Annuar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan pada 1990 sehingga 1993, bagaimanapun tidak hadir pada mesyuarat agung itu kerana berada di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Afandi Hamzah yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ahli perniagaan, Rosmadi Ismail mengekalkan jawatan Naib Presiden KAFA manakala Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Kelantan, Nik Ismail Che Muda mengisi satu lagi kerusi yang dikosongkan.

Pemerhati bola sepak tempatan menyifatkan pemilihan Annuar diharap dapat menamatkan kemelut yang melanda KAFA apabila suara ke arah perubahan semakin kencang bagi mengangkat semula bola sepak di negeri ini agar tidak lagi sekadar menjadi budak belasahan.

Ahmad Jazlan yang ditemui selepas itu berkata, pemilihan kesemua jawatan itu diputuskan secara sebulat suara tanpa sebarang pertandingan demi memikirkan masa depan persatuan itu yang masih terumbang ambing.

‘‘Saya yakin beliau mampu mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak Kelantan," katanya.

Sementara itu, Annuar yang dihubungi mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberi kepadanya dan berkata beliau akan membalasnya dengan berusaha meningkatkan semula prestasi pasukan Kelantan pada musim baru ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_12.htm#ixzz4vjt45z35
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan