Selasa, 2 September 2014

The Red Warrior tetap bertekad tundukkan JDT - Boateng

KOTA BHARU - Kelantan bertekad menutup saingan Piala Malaysia peringkat kumpulan dengan menumpaskan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam ini.

Meskipun turun tanpa kelibat beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan, pengendali The Red Warrior, Goerge Boateng tetap optimis pasukannya mampu melakar kemenangan.

Katanya, Kelantan tetap akan mempertaruhkan barisan terkuat bagi memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka pada perlawanan terakhir kumpulan C itu.

Ujar Boateng, antara pemain yang tidak akan diturunkan pada perlawanan hari ini adalah Zairul Fitree Ishak, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria dan Mohd. Farisham Ismail.

"Zairul masih digantung perlawanan manakala Wan Zaharul dan Mohd. Farisham pula mengalami kecederaan.

"Saya akan membuat beberapa perubahan dalam pasukan, namun kita masih ada barisan pemain yang mampu mengisi kekosongan tonggak berkenaan.

"Kita sudah bersedia sepenuhnya untuk berhadapan JDT. Jadi kita tidak boleh lagi kalah kepada mereka dan inilah peluang terbaik untuk menebus semula kehampaan selepas tumpas 0-1 pada perlawanan sebelum ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Boateng memberitahu, moral pemainnya kini berada pada tahap terbaik ekoran kejayaan layak ke suku akhir serta menumpaskan Pulau Pinang 3-1 pada pertemuan tempoh hari.

Katanya, dia mahu barisan pemainya mempamerkan semangat juang tinggi seperti yang ditonjolkan ketika menumpaskan Pulau Pinang dalam perlawanan sebelum ini.

"Jika kami dapat menewaskan JDT, bererti kami dapat 12 mata sekaligus menghampiri sasaran saya untuk mengumpul 14 mata sebelum saingan Piala Malaysia," katanya.

"Adalah lebih manis jika kami dapat menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan kemenangan," katanya.
SUMBER-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140902/su_07/The-Red-Warrior-tetap-bertekad-tundukkan-JDT---Boateng#ixzz3C74698BO © Utusan Melayu (M) Bhd