Sabtu, 17 Jun 2017

Kelantan elak sikap terlalu yakin



ARKIB : 12/02/2006

KOTA BHARU - Jurulatih Kelantan, Kamaruddin Mohd. Noor tidak mahu pasukannya terlalu yakin dengan bekalan dua gol yang diperoleh hasil kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang pada perlawanan pusingan pertama Piala FA di sinim, Rabu lalu.

Ini kerana kata beliau, dalam bola sepak, kelebihan dua atau tiga gol bukanlah sesuatu yang boleh dianggap selesa kerana apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit permainan.

Jelasya, ini pernah berlaku kepada Kelantan sendiri dalam pusingan awal Piala FA musim lalu apabila tewas terlebih dahulu kepada Perlis 4-1 di Kangar sebelum bangkit kemudiannya di Kota Bharu yang seterusnya memenangni penentuan sepakan penalti.

Namun, beliau tetap optimis anak-anak buahnya mampu mengekalkan prestasi terbaik apabila bertandang ke Pulau Pinang bulan depan seperti yang ditunjukkan bermula dengan permainan menentang Kedah dalam perlawanan Liga Perdana, Sabtu lalu.

``Saya berpuas hati dengan mereka kerana jelas banyak peningkatan telah berlaku ketika menentang Pulau Pinang berbanding dengan perlawanan sebelumnya termasuk ketika menwaskan Kedah sendiri,'' katanya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4kGaTRjgh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 11 Jun 2017

Kelantan temui `tonik' baru hadapi P. Pinang



ARKIB : 07/02/2006
KOTA BHARU - Kelantan percaya kemampuan mereka menewaskan pendahulu Liga Perdana Kumpulan A, Kedah dalam perlawanan kelmarin akan menjadi titik tolak buat pasukan Pantai Timur itu bagi melakar kejayaan yang lebih cemerlang musim ini.

Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, kemenangan ke atas Kedah nyata memberi suntikan semangat buat pemain-pemain yang selama ini kurang konsisten.

Sehubungan itu beliau yakin pasukannya akan memperbaiki segala kelemahan pada pusingan pertama sambil berharap akan berada di landasan sebenar untuk mencapai sasaran terbaik untuk layak ke Liga Super musim depan.

``Walaupun selepas tamat pusingan pertama liga kita hanya berada di kelompok pertengahan, namun dengan kemenangan ke atas Kedah pemain kita memperoleh satu semangat baru.

``Dan kemenangan tersebut juga adalah hasil kerja keras pemain dan kita amat berpuas hati dengan kesungguhan mereka.

``Cuma saya harap para penyokong Kelantan supaya dapat hadir beramai-ramai membanjiri stadium memberi sokongan berterusan kepada pasukan khususnya Rabu ini yang akan menentang Pulau Pinang E&O dalam Piala FA,'' katanya.

Dalam perlawanan kelmarin, Kelantan menumpaskan Kedah 1-0 hasil jaringan Sanif Samui pada minit ke-21 hasil lambungan cantik yang memerangkap penjaga gawang Kedah, Megat Amir Faisal.

Kedah yang berusaha keras terutama di separuh masa kedua hampir berjaya memecah kebuntuan.

Namun dua kali tiang gol Kelantan menjadi penghalang di samping kekentalan benteng pertahan Kelantan turut menjadi faktor.

Sementara itu jurulatihnya, Kamaruddin Mohd. Noor pula melihat kemampuan menumbangkan Kedah bakal menjadi pendorong kepada anak-anak buahnya untuk mencatatkan satu lagi kejutan dalam Piala FA esok.

Bagaimanapun berdepan dengan Pulau Pinang E&O bukan tugas mudah buat pemain Kelantan kata Kamaruddin lagi.

Beliau akan memberi tumpuan khusus kepada posisi serangan yang dilihat agak tumpul selepas mengharungi sembilan perlawanan liga setakat ini.

``Saya akan melakukan sedikit perubahan di posisi tersebut. Bahagian ini penting kerana kita perlu mencari bekalan gol sebanyak mungkin sebelum bertandang ke Pulau Pinang pada minggu hadapan.

``Sudah tentu kita akan menggempur kubu Pulau Pinang habis-habisan bermula seawal minit pertama lagi dan saya optimis kita mampu mengulangi kejayaan cemerlang musim lalu sebelum tewas tipis kepada penyandang juara, Selangor di suku akhir,'' katanya

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4jiPF6CFi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kelantan kejutkan Kedah



ARKIB : 06/02/2006

KUALA LUMPUR - Kedah masih mengekalkan kedudukan tangga teratas Liga Perdana Kumpulan A walaupun tewas 1-0 kepada Kelantan di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, semalam.

Gol kemenangan Kelantan dijaringkan oleh Sanif Safui pada minit ke-21.

Skuad Kenari kekal dengan 17 mata mengatasi Terengganu dengan kelebihan satu mata.

Di Stadium Sarawak, Mohd. Safee Sali mencipta dua jaringan untuk membantu Sarawak mencatat keputusan seri 2-2 bertemu Terengganu.

Safee menjaringkan gol pada minit ke-53 dan 69 manakala Terengganu menerusi Norfazly Alias (m-68) dan Sapian Wahid (m-75).

Di Stadium Negara Hasanal Bolkiah, Brunei tidak menghadapi masalah apabila menewaskan Johor 2-1.

Di Stadium Perak, tuan rumah Perak UPB gagal menggamit tiga mata penuh apabila tewas 2-1 kepada NTFA.

Dalam saingan Kumpulan B, Melaka kembali menduduki tangga teratas liga selepas menewaskan PKNS 2-1 di Stadium Petaling Jaya.

Melaka merampas kedudukan daripada genggaman Johor FC dengan kelebihan jaringan gol selepas masing-masing terikat dengan 18 mata.

Di Stadium Jcorp, Johor FC akur dengan kehebatan Sabah apabila tumpas 2-1.

Di Stadium KLFA, Kuala Lumpur bertindak cemerlang apabila membelasah Shahzan Muda 4-0.

Di Stadium Lada Langkawi, TNB memulihkan kedudukan daripada tangga terbawah liga apabila menewaskan Polis 2-0.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4jhOg43B9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 5 Jun 2017

Kelantan pelawa anak negeri pulang



KOTA BHARU - Kelantan mengalu-alukan kepulangan pemain kelahiran negeri ini untuk mewakili pasukan Kijang menjelang bola sepak Liga Perdana musim depan.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, setakat ini bekas pemain Public Bank, Khairul Anuar Ramli bersetuju untuk mewakili negeri itu.

Katanya, Khairul, bekas tonggak tengah Kelantan di bawah kendalian jurulatih Abdullah Mohamad pada 2003, mula menjalani latihan bersama 15 pemain, semalam.

``Kita berharap dapat menggunakan khidmat seorang dua lagi pemain kelahiran Kelantan yang beraksi dengan pasukan lain, musim lalu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kelantan kembali beraksi dalam persaingan Liga Perdana musim depan setelah menduduki dua tempat teratas Liga FAM dan menjulang Piala FAM dengan menewaskan Shahzan Muda Pahang 2-0 pada perlawanan akhir, September lalu.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4j9EUCR5M
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 3 Jun 2017

Kelantan juara Piala FAM



ARKIB : 03/09/2005

Oleh: YULPISMAN ASLI

KOTA BHARU - Kelantan muncul juara bola sepak Piala FAM dengan menundukkan Shahzan Muda Pahang 2-0 dalam perlawanan akhir yang menarik di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.

Gol-gol jaringan Suriya Dom Tai Song pada minit ke-44 dan Nik Hamzah Nik Man (73) mengesahkan kemenangan bergaya Kelantan itu di hadapan lebih 10,000 penyokong sendiri.

Suriya melepaskan rembatan kencang dari dalam petak penalti biarpun dihalang ramai pemain pertahanan lawan termasuk penjaga gol, Mohd. Farizal Marlis.

Minit ke-73 pula menyaksikan Nik Hamzah Nik Man memanfaatkan bola muntah daripada pergelutan di hadapan gol untuk merembat masuk sekali gus terus menyulitkan tentangan Shahzan Muda.

Bagaimanapun Kelantan masih dipaksa berhempas pulas sebelum layak bergelar juara apabila pelawat yang dibimbing oleh Tajuddin Noor turut mempamerkan permainan bermutu.

Skuad Kijang bimbingan Kamaruddin Mohd. Noor yang bakal beraksi dalam Liga Perdana musim depan bersama lawan, membawa pulang Piala FAM dan hadiah wang tunai, RM50,000.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Annuar Musa.

Turut hadir menyaksikan ialah Naib Presiden dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4iwKvXn3l
© Utusan Melayu (M) Bhd