Ahad, 26 November 2017

Kelantan cari rentak Perancis

ARKIB : 27/05/2008
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melantik bekas jurulatih pasukan elit Liga Perdana Thailand, Bec Tero Sasana Arsenal, Regis Laguesse bagi menggantikan Norizan Bakar yang menamatkan tugas sebagai ketua jurulatih pasukan negeri ini, lapor AZRAN FITRI RAHIM.

Presidennya, Datuk Seri Annuar Musa berkata, pemilihan Laguesse dibuat selepas pihaknya gagal untuk mendapatkan khidmat bekas pemain West Ham United, Peter Butler apabila majikan jurulatih itu, Kelab Persiba Balikpapan di Irian Jaya, Indonesia enggan melepaskannya.

Beliau berkata, Kafa terpaksa mencari alternatif lain selepas gagal mengikat Butler bagi mengelakkan timbulnya masalah dan tindakan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Butler masih mempunyai baki kontrak dengan kelab tersebut, kita terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmatnya, namun kita sudah mengenal pasti jurulatih baru yang akan dibawa ke Kota Bharu.

"Jurulatih dari Perancis itu menjadi pilihan kita kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas di Thailand, Belgium, Ivory Coast dan Congo," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Annuar berkata, Laguesse memiliki rekod yang cemerlang apabila kelab bimbingannya menduduki tangga ketiga Liga Perdana Thailand.

Katanya, jurulatih tersebut telah tamat kontraknya bersama kelab terbabit dan akan tiba di Kota Bharu hari ini.

"Buat permulaan kita akan menawarkannya kontrak untuk membimbing pasukan ini dalam pertandingan Piala Malaysia bagaimanapun jika beliau menunjukkan prestasi yang baik kita akan melanjutkan kontraknya untuk membimbing Kelantan pada musim depan.

"Pengalaman luasnya di peringkat antarabangsa ditagih untuk membawa skuad Kijang ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Tambahnya, skuad Cik Siti Wan Kembang itu juga akan menguji seorang pemain tengah dari Perancis berusia 24 tahun sebagai pemain import keempat pasukan tersebut.

"Selain itu, untuk memperkemaskan lagi pasukan untuk menghadapi kempen Piala Malaysia, Kelantan sedang mengintai beberapa pemain di posisi pertahanan kiri dan penjaga gol sebagai pemain tambahan," ujarnya.

Dalam pada itu, Kelantan akan mengadakan dua perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi Piala Malaysia apabila akan menentang pilihan Afrika pada 31 Mei ini dan Bec Tero Sasana Arsenal pada 6 Jun depan di Kota Bharu.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zWfqo7fT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 16 November 2017

Piya tagih semangat ‘This Is Kota Bharu’



MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
11 April 2017
Mohd Badhri Radzi

KAPTEN Kelantan, Mohd Badhri Radzi berharap semangat ‘This Is Kota Bharu’ dapat membantu pasukannya menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.

Mohd Badhri atau dikenali panggilan Piya berkata, barisan pemain The Red Warriors memerlukan aura sorakan peminat untuk menyuntik moral mereka ketika berdepan skuad kendalian Benjamin Mora pada aksi penuh berprofil tinggi itu.      

“Kita tahu selama ini slogan This Is Kota Bharu memang cukup gah tetapi sekarang macam tak ada apa-apa, malah pasukan yang bertandang ke sini (Kota Bharu) seakan tidak lagi gerun dengan Kelantan.

“Mungkin malam esok adalah masa terbaik untuk kita buktikan This Is Kota Bharu masih lagi relevan dalam bola sepak Kelantan sekali gus menjadikan JDT mangsa di gelanggang keramat kita ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Oleh itu, perancang tengah berusia 35 tahun itu menagih kehadiran penyokong setia walaupun mengakui sokongan mereka mungkin berbelah bahagi selepas pasukannya tewas kepada Pahang, Sabtu lalu.

“Kalaulah 11 pemain (di atas padang) bergabung dengan pemain (penyokong) ke-12, saya rasa tidak mustahil kita boleh mengalahkan pasukan hebat seperti JDT,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Badhri turut yakin rakan-rakannya sudah melupakan kekalahan lalu dan bersedia mencipta kebangkitan sekalipun sedar skuad Harimau Selatan itu berada pada prestasi terbaik bertandang ke Kota Bharu.

"Semua orang tahu JDT menang besar 7-0 (ke atas Melaka United), mereka bukan calang-calang pasukan dan mempunyai ramai pemain berkualiti seperti Shafiq (Rahim) tetapi saya percaya pemain Kelantan juga ada kelebihan tersendiri,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat memberitahu, pertemuan menentang JDT menjadi medan terbaik untuk membuktikan pasukan sederhana seperti Kelantan masih berupaya untuk mengalahkan gergasi bola sepak negara itu.

“Walaupun motivasi JDT cukup tinggi apabila datang ke sini dan prestasi Kelantan pula sedikit merudum namun saya yakin semangat rakan-rakan tetap membara untuk mengalahkan pasukan itu.

“Benar, ia satu pertemuan sukar tetapi kita sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik bagi menebus kembali kekalahan tipis kepada Pahang, tempoh hari,” katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE  11 April 2017

Piya kekal bersama Kelantan


Mazram Idzam Ridzal Mahmud
15 November 2017
Piya
Mohd Badhri Radzi
Piya
MOHD Badhri Radzi menamatkan spekulasi berhubung masa depannya bersama The Red Warriors (TRW) apabila kekal menyarung jersi pasukan itu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan kapten berusia 35 tahun itu sudah menyambung kontrak semusim lagi bersama TRW, hari ini.

“Alhamdulillah Piya (Mohd Badhri) telah mencapai persetujuan untuk terus bersama Kelantan dengan menandatangani kontrak selama setahun sebelum dia berlepas ke Jepun esok.

“Sekalipun Piya sudah agak berusia namun saya yakin itu bukan halangan buat dia buktikan masih berada pada prestasi terbaik untuk membina semula pasukan Kelantan menjadi lebih kuat, pada musim depan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini. 

Sebelum ini, kedudukan jeneral padang itu bersama dua lagi pemain ‘otai, Mohd Norfarhan Muhammad dan Indra Putra Mahayuddin cetus tanda-tanya setelah rundingan mereka bersama Kafa tidak dapat dimuktamadkan.

Bibi Ramjani berkata,, Mohd Badhri menunjukkan kesetiaan tinggi untuk kekal bersama skuad pantai timur dan berharap kehadiran tonggak berpengalaman itu dapat membantu membimbing pemain muda pasukan berkenaan.

Sementara itu, Mohd Badhri berkata, keputusannya menolak dua tawaran pasukan elit Liga Super dibuat semata-mata kerana mahu terus berbakti bersama Kelantan.

Menurutnya, kepercayaan diberikan Presiden Kafa merupakan penghormatan besar dan dia seboleh-bolehnya mahu mengakhiri kerjaya bersama pasukan negeri kelahirannya itu.

“Sejak tahun 2010 hingga tahun ini, saya terima banyak tawaran daripada pasukan lain tetapi kesetiaan bersama Kelantan tidak pernah padam kerana saya anak jati negeri ini.

“Walaupun ramai melabelkan saya kuda tua, pemain veteran namun saya tidak terkesan dengan panggilan itu. Jangan nilai saya dari segi umur, itu hanyalah angka dan tak semestinya pemain muda bagus daripada pemain tua,” katanya.

Menurutnya, beliau percaya Liga-M 2018 adalah musim terbaik bagi Kelantan untuk kembali bangkit memberi saingan kepada beberapa pasukan besar seperti Johor Darul Ta’zim, Selangor dan Kedah.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 15 November 2017

Rabu, 1 November 2017

Kalahkan Melaka, Kelantan kekal dalam Liga Super



 Pemain Sarawak, Mateo Roskam (tengah) diasak pertahanan T-Team
Pemain Sarawak, Mateo Roskam (tengah) diasak pertahanan T-Team dalam perlawanan di Stadium Negeri, Kuching semalam.

29 Oktober 2017 3:00 AM

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Dua jaringan penyerang dari Brazil, Alessandro Celin bukan sahaja membantu Kelantan menewaskan Melaka United 3-1 malam ini malah turut memastikan skaud The Red Warriors (TRW) itu kekal untuk beraksi dalam Liga Super pada musim depan.

Kelantan, yang terdesak untuk mencari kemenangan dalam aksi terakhir liga yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, bagaimanapun terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan pertahanan tengah tuan rumah Nicholas Swirad pada minit ke-30.

Pasukan pelawat bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerang dari Lebanon, Abu Bakr Al-Mel pada minit ke-73 sebelum Celin memastikan tiga mata berharga menjadi milik TRW apabila meledak dua gol pada minit ke-80 dan selang tujuh minit kemudian.

Pulau Pinang yang sudah pun sah beraksi dalam Liga Perdana pada musim depan selepas menghuni anak tangga tercorot tewas 3-1 kepada Selangor di Stadium Negeri. Selangor membuka tirai jari­ngan pada minit ke-25 menerusi Andik Vermansah sebelum Rufino Segovia meledak dua gol pada minit ke-50 dan minit ke-68.

Satu lagi pasukan yang turun ke Liga Perdana adalah Sarawak yang menghuni tempat kedua tercorot liga selepas terikat tanpa jaringan menentang T-Team di Stadium Negeri.

Sementara itu, Pahang menamatkan kempen Liga Super di anak tangga kedua selepas seri 1-1 menentang Perak di Stadium Darul Makmur. Gol skuad Tok Gajah dijaringkan oleh Christie Jayaseelan pada minit ke-23 sebelum Nasir Basharudin menyamakan kedudukan pada minit ke-78.

Felda United pula membelasah PKNS FC 4-2 di Stadium Shah Alam manakala Kedah terikat tanpa jaringan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pertemuan yang dianggap praperlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Aman.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kalahkan-melaka-kelantan-kekal-dalam-liga-super-1.544484#ixzz4xAdxhu87
© Utusan Melayu (M) Bhd