Sabtu, 26 Jun 2021

Zubir, Syed Sobri mampu julang Kelantan FC

Jun 27, 2021 @ 1:12pm



Pemain tengah baharu Kelantan FC, Syed Sobri Syed Mohamad. - Foto ihsan Facebook Kelantan FC.

KOTA BHARU: Kelantan FC yang kini diperkuatkan dengan kehadiran pemain pertahanan dan pemain tengah baharu, menyasarkan untuk beraksi pada saingan Liga Super musim hadapan.

Pengarah Teknikal TRW Kelantan FC, Abdul Nasir Yusof berkata, pihaknya percaya kehadiran Mohd Zubir Azmi dan Syed Sobri Syed Mohamad mampu menampung kekurangan pasukan mengharungi baki saingan Liga Perdana sekali gus mencapai sasaran ditetapkan.

"Kehadiran pemain berpengalaman seperti mereka berdua ini amat ditagih pasukan, dan akan memberi ruang kepada ketua jurulatih Marco Ragini untuk membentuk pasukan yang lebih baik, di mana ketika ini rata-ratanya dibarisi pemain muda," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kelab Bola Sepak The Red Warrios Kelantan (TRW Kelantan) pada Khamis lalu mengumumkan, Mohd Zubir yang sebelum ini bersama Sabah dan Syed Sobri dari UKM FC, menyertai pasukan itu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M).

Seorang lagi pemain baharu dibawa masuk Kelantan FC adalah Shahrul Albert, yang sebelum ini bermain bersama Zamsaham FC, pasukan yang beraksi di liga komuniti Johor.

Mengulas mengenai kemasukan Shahrul yang mendapat kritikan pelbagai pihak, Abdul Nasir berkata pihaknya percaya dengan kemampuan dan bakat yang dimiliki pemain itu.

"Jika tidak mempunyai sesuatu dari pemain itu, kami tidak akan membuat langkah ini. Kita perlu memberi peluang kepada pemain dari liga amatur, kerana mereka memiliki bakat yang ada pada semua pemain di Liga Malaysia," katanya.

Kelantan FC menduduki tangga ketujuh Liga Perdana daripada 11 pasukan selepas mengumpul 14 mata hasil 10 perlawanan.1

____________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/832627/zubir-syed-sobri-mampu-julang-kelantan-fc

Rabu, 23 Jun 2021

Selamat tinggal The Red Warriors’



Oleh YATIMIN ABDULLAH

23 Jun 2021, 10:25 pm

KOTA BHARU: Kelantan FC mengesahkan Riccardo Mattioli melepaskan jawatan sebagai jurulatih penjaga gol pasukan berkuatkuasa serta merta atas urusan keluarga.

Perkhabaran ‘mengejutkan’ itu dikongsikan oleh pengurusan The Red Warriors (TRW) menerusi kenyataan dalam Facebook rasmi pasukan hari ini.

Menurut pengurusan Kelantan FC, pasukan itu menerima dengan hati terbuka keputusan yang telah dibuat oleh Mattioli walaupun ia sangat berat.

Menurutnya, Mattioli membuat keputusan ‘meninggalkan’ TRW disebabkan oleh masalah kesihatan ibu yang memaksa dia melepas jawatan tersebut.

Mattioli antara individu yang sangat penting dalam membentuk barisan penjaga gol Kelantan FC musim ini iaitu Mohamad Faridzuean Kamaruddin, Nik Amin Ahmad, Farizal Harun danAsfa Abidin.

Kehadiran Mattioli telah memberikan impak besar kepada TRW apabila barisan penjaga gol telah menunjukkan cemerlang dalam setiap perlawanan,” katanya.

Pengurusan Kelantan FC menzahirkan ucapan terima kasih dan menghargai pengorbanan serta komitmen yang diberikan dari awal musim.

Katanya, Mattioli bagaimanapun menyatakan hasrat akan kembali bersama pasukan Kelantan FC suatu hari nanti.

Mattioli antara muka baharu yang dibawa masuk oleh pengurusan Kelantan FC bersama ketua jurulatih

Marko Ragini bagi mengendalikan TRW dalam mengharungi saingan Liga Malaysia 2021.1

____________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/06/selamat-tinggal-the-red-warriors/