Sabtu, 12 November 2016

Mosthakeen terpikat dengan pemain Johor

ARKIB : 02/02/1999
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil dua lagi pemain luar sebagai tambahan lima yang lain sebagai persiapan memantapkan lagi skuad bola sepak Liga Malaysia negeri itu, tahun ini.

Dua pemain itu ialah bekas pemain Johor, Fuad Adam dan Yusri Sham Yusoff bekas pemain dari skuad Terengganu.

Pemilihan itu dibuat atas cadangan jurulatih, Mosthakeen Omar setelah berpuas hati dengan kelincahan dua pemain berkenaan semasa menjalani latihan di Kota Bharu petang kelmarin dan pagi semalam.

Presiden KAFA, Datuk Wan Hashim Wan Daud mengesahkan, kedua-dua pemain yang dijangka diletakkan di barisan penyerang itu akan menandatangani kontrak secepat mungkin.

Lima pemain luar lain sudahpun menandatangani kontrak baru-baru ini ialah bekas pemain Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, Khamal Idris Ali, Yeow Choh Hooi manakala Tan Cheng Hoe (Kuala Lumpur) dan Mohd. Zaidi Napiah (Negeri Sembilan).

Sementara itu, seramai 17 pemain tempatan lain telah menandatangani kontrak masing-masing pada majlis tandatangani kontrak di rumah Wan Hashim di Kota Bharu malam kelmarin.

Dengan itu menjadikan jumlah keseluruhan pemain Kelantan yang sudah menandatangani kontrak setakat ini ialah seramai 22 orang.

Bagaimanapun Hashim Mustapa yang namanya tercatat dalam senarai pemain Liga M Kelantan musim ini belum lagi menandatangai kontrak.

Wan Hashim ketika ditemui pada majlis itu, yakin gandingan pemain baru dan lama akan memantapkan barisan skuad Kelantan tahun ini.

Katanya, percantuman pemain dari luar dan dalam negeri dijadikan format terbaru tahun ini bagi memastikan Kelantan mampu melangkah ke Perdana Satu dan seterusnya layak ke Piala Malaysia musim ini.

''Perbincangan yang diadakan dari masa ke semasa antara pihak pengurusan , pemain dan jurulatih akan membuat satu keputusan yang baik untuk kepentingan semua pihak,'' ujarnya.

Menurutnya, para pemain tidak perlu bimbang tentang masalah gaji kerana pihak pengurusan baru akan memberi keutamaan kepada kebajikan pemain.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama semua pihak termasuk peminat-peminat tempatan agar memberikan sokongan pada setiap kali Kelantana beraksi di gelanggang.

Pasukan yang baru dibentuk ini memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk menyuntik semangat serta menaikkan martabat pasukan Kelantan yang tercicir sejak beberapa musim sebelum ini.

Senarai pemain Liga Malaysia Kelantan yang sudah menandatangani kontrak setakat ini terdiri Mohd. Ridzuan Bulat (penjaga gol), Mohd. Halim Napi (penjaga gol), Azlan Ismail (penjaga gol), Mohd. Saiful Nizam Husin, Ahmal Ahmad Tabrani, Rosairil Asrul Mat Noor, Sarudy Aziz.

Roslisam Mohd. Nor, Mohd. Zulkipli Abdullah, Khamal Idris Ali, Aqli Ahmad Tabrani, Azman Daud, Amran Shamsudin, Zahasmi Ismail, Yew Choh Hooi, Tan Cheng Hoe, Mohd Zaidi Mohd. Napiah, Adli Daud, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff, Zahariman Ghazali dan Zainuddin Mohd. Ariffin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PrtytJdV © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan