Ahad, 25 Disember 2016

Masalah kewangan Kafa perlu selesai segera

25 DISEMBER 2016
apek
apek
PENJAGA gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat mahu masalah kewangan yang membelenggu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ketika ini diatasi segera.

Menurutnya, ia perlu bagi memastikan skuad The Red Warriors dapat membuat persediaan rapi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2017.

Khairul Fahmi yang mesra dengan panggilan 'Apek' mengakui masalah itu sedikit sebanyak mengganggu emosi pemain tetapi yakin ia mampu diatasi oleh pengurusan pasukan.

"Kami (pemain) sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Sekiranya keputusan kurang positif dicapai pada 29 Dis nanti, saya harap KAFA masih mengutamakan kebajikan pemain yang telah banyak berjasa selama ini," katanya.

Khairul Fahmi baru dinamakan sebagai Penjaga Gol Terbaik buat kali kelima pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016, Jumaat lepas.

Sebagai rekod, Khairul Fahmi pernah memenangi anugerah sama dari 2010 sehingga 2013.

Menurut Khairul Fahmi, skuad Kelantan kini giat menjalani latihan pra-musim di bawah kendalian Zahasmi Ismail yang merupakan bekas pemain pasukan itu pada era 1990-an.

KAFA dilaporkan mahu menarik diri daripada Liga-M 2017 memandangkan persatuan itu hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil sedangkan mereka memerlukan kira-kira RM15 juta untuk kos keseluruhan pasukan tersebut.

Keputusan terakhir sama ada Kelantan akan menarik diri daripada menyertai Liga-M musim depan akan dibuat menerusi Kongres Luar Biasa KAFA pada 29 Dis ini.

Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) menetapkan tempoh akhir pendaftaran pasukan untuk Liga-M 2017 pada 31 Dis ini. - Bernama

SUMBER- SINAR HARIAN ONLINE  25 DISEMBER 2016

Khairul Fahmi: Bersedia segala kemungkinan bersama TRW

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 DISEMBER 2016
Khairul Fahmi Che Mat

Khairul Fahmi Che Mat Khairul Fahmi dinobat sebagai Penjaga Gol Terbaik ABK 2016. Turut kelihatan penerima Pertahanan Terbaik, Rizal Ghazali (tengah), Jurulatih Terbaik, Tan Cheng Hoe.
PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menyatakan kesediaan menghadapi segala kemungkinan bersama Kelantan yang masih dibelenggu isu penajaan dan berkemungkinan untuk menarik diri dari saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Walaupun nasibnya masih menjadi tanda tanya, Khairul Fahmi tetap mengharapkan ada berita gembira menanti The Red Warriors (TRW) itu.

"Bila dengar berita ada penaja sudi menaja Kelantan, kami yang masih kekal berasa lega sikitlah.

"Saya amat berharap pihak pengurusan  akan mencari jalan terbaik untuk pasukan sebab masih ramai lagi pemain yang kekal bersama Kelantan. Jadi diharapkan ada berita gembira menanti kami semua.

"Buat masa sekarang, kami masih berlatih seperti biasa, namun tetap bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan nanti," ujarnya.

Pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) yang berlangsung kelmarin, Khairul Fahmi atau Apex sekali lagi membuktikan dirinya sebagai antara penjaga gol terbaik di Malaysia apabila dinobatkan Penjaga Gol Terbaik buat kali kelima.

Apex mengetepikan pencabar-pencabarnya  seperti  Farizal Marlias (JDT), Syazwan Yusoff (Melaka), Hafizul Hakim Khairul Nizam (Perak) dan Khairul Azhan Khalid (Selangor).

SUMBER- SINAR HARIAN ONLINE  25 DISEMBER 2016

Tagih KAFA selesai segera kemelut

 
APEX (tengah) optimis KAFA mampu mengatasi kemelut kewangan yang melanda skuad The Red Warriors ketika ini.

PENJAGA gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat mahu masalah kewangan yang membelenggu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ketika ini diatasi segera.

Menurutnya, ia perlu bagi memastikan skuad The Red Warriors dapat membuat persediaan rapi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2017.

Khairul Fahmi yang mesra de­ngan panggilan Apex mengakui masalah itu sedikit sebanyak mengganggu emosi pemain tetapi yakin ia mampu diatasi oleh pe­ngurusan pasukan.

“Kami (pemain) sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Sekiranya keputusan kurang positif dicapai pada 29 Disember ini, saya harap KAFA masih meng­utamakan kebajikan pemain yang telah banyak berjasa selama ini,” katanya.

Khairul Fahmi baru dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik buat kali kelima pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016, Jumaat lepas.

Sebagai rekod, Khairul Fahmi pernah memenangi anugerah sama dari 2010 sehingga 2013.

Menurut Khairul Fahmi, skuad Kelantan giat menjalani latihan pra-musim di bawah kendalian Zahasmi Ismail yang merupakan bekas pemain pasukan itu pada era 1990-an.

KAFA dilaporkan mahu menarik diri daripada Liga M 2017 memandangkan persatuan itu hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil sedangkan mereka memerlukan kira-kira RM15 juta untuk kos keseluruhan pasukan tersebut.

Keputusan terakhir sama ada Kelantan akan menarik diri daripada menyertai Liga M musim depan akan dibuat menerusi Kongres Luar Biasa KAFA pada 29 Disember ini.

Football Malaysia Limited Lia­bility Partnership (FMLLP) menetapkan tempoh akhir pendaftaran pasukan untuk Liga M 2017 pada 31 Disember. – Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4TtcYN6Zf Hakcipta terpelihara

Khamis, 22 Disember 2016

Piya tetap tunjuk komitmen bersama Kelantan

ISNIN, 12 DISEMBER 2016 @ 5:02 PM
Oleh Attirmidzie Rahman bhsukan@bh.com.my
 
Pemain tengah skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warrior (PQPTRW), Mohd Badhri Mohd Radhzi atau nama panggilan Piya. KOTA BHARU: Walaupun status skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warrior (PQPTRW) masih tidak menentu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan, namun pemain tengahnya, Mohd Badhri Mohd Radhzi tetap menunjukkan komitmen tinggi bersama pasukannya.

Mohd Badhri, 34, atau lebih mesra dengan sapaan Piya, mengakui beliau tidak mahu ambil pusing mengenai kemelut yang melanda pasukan itu sebaliknya kekal dengan azam membantu pasukan itu walaupun menyedari majikannya mempunyai masalah kewangan yang kritikal. "Saya tidak mahu komen mengenai krisis yang sedang melanda..... biarlah Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyelesaikan...saya hanya mengikut arahan majikan selagi saya masih bersama pasukan ini.

"Walau bagaimanapun, saya masih ada azam tinggi untuk bermain dengan Kelantan dan saya berharap KAFA segera mencari jalan sebaik mungkin untuk melayakkan pasukan ke Liga M tahun hadapan," katanya ketika ditemui selepas Sambutan Maulidur Rasul anjuran Majlis Belia Kelantan (MBK) di sini, hari ini.

BH Online sebelum ini melaporkan pada Khamis ini akan menentukan status bola sepak Kelantan untuk layak ke Liga Malaysia musim hadapan. Tarikh keramat itu mungkin menjadi sejarah hitam KAFA, sekiranya gagal menyelesaikan masalah kewangan yang amat kritikal seterusnya terpaksa menarik diri dalam saingan bola sepak musim 2017. Perkara itu disahkan Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail selepas akui mengakui pihaknya masih buntu mencari jalan untuk mengisi kantung persatuan bagi membiayai pasukan musim depan.

 Katanya, sehingga kini belum ada pihak yang tampil untuk menaja pasukan dan lebih mengecewakan apabila Kerajaan Negeri sendiri tidak mahu sepakat membantu KAFA dalam mencari jalan penyelesaian. KAFA memerlukan sekurang-kurangnya 15 juta bagi membolehkan pasukan kekal bersaing dalam saingan Liga Malaysia. Sebelum ini, Kerajaan Kelantan pernah ditawar untuk mengambil alih pengurusan KAFA bagaimanapun ia ditolak Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.


Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/223130

Red One idam taja Kelantan

YATIMIN ABDULLAH  |  22 Disember 2016 6:19 PM
 Ben Teh (tengah) ketika menghadiri sidang akhbar di Kota Bharu hari ini.
Ben Teh (tengah) ketika menghadiri sidang akhbar di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU 22 Dis. - Syarikat telekomunikasi Red One menyatakan hasrat menjadi penaja utama The Red Warriors (TRW) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2017.
Ketua Pegawai Pemasarannya, Ben Teh berkata, bagaimanapun pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengenai hasrat tersebut.
“Kita akan mengadakan perbincangan dengan Kafa dalam masa terdekat.
“Menjadi penaja utama kepada TRW merupakan sebahagian daripada impian kami untuk berbuat demikian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Kafa tetap dengan keputusan untuk menarik diri dari saingan Liga M gara-gara masalah kewangan yang dihadapi oleh badan induk tersebut.
Bagaimanapun keputusan berhubung hala tuju Kelantan akan diputuskan pada 29 Disember ini menerusi mesyuarat agung luar biasanya.
Badan induk bola sepak Kelantan itu memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta bagi membolehkan pasukan kekal bersaing secara kompetitif namun persatuan masih bergelut mencari sumber kewangan selepas Tan Sri Annuar Musa meletakkan jawatan sebagai Presiden, awal bulan lalu. - UTUSAN ONLINE

SUMBER-- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/red-one-idam-taja-kelantan-1.423194#sthash.5uWsF2Dk.dpuf

Dua syarikat setuju jadi penaja Kelantan

YATIMIN ABDULLAH  |  23 Disember 2016 12:09 AM
Omar Ali
Omar Ali
KOTA BHARU 22 Dis. – Harapan penyokong Kelantan untuk melihat pasukan mereka bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan mendapat suntikan semangat baharu apabila dua buah syarikat bersetuju untuk menjalin hubu­ngan strategik dengan The Red Warriors dengan salah satu daripadanya berhasrat menjadi penaja utama.
Sebuah syarikat milik bumiputera, OAR Teguh Sdn. Bhd. akan memberikan tajaan dalam bentuk wang tunai manakala syarikat telekomunikasi Red One meluahkan kesediaan menjadi penaja utama untuk musim 2017 yang dikatakan bernilai jutaan ringgit.
Pengasas dan Pengarah Urusan OAR Teguh, Omar Ali berkata pihaknya akan memberikan tajaan tunai kepada persatuan itu bagi memastikan kepemimpinan Kafa dapat menguruskan pasukan dengan baik.
Justeru, beliau berharap Kafa bersedia mempertimbangkan bagi memberikan ruang kepada pihaknya untuk bersama-sama berganding bahu demi bola sepak negara.
“Walaupun kami berasal dari negeri lain namun dalam memastikan arena bola sepak negara terus segar, kami akan cuba membantu Kafa sedaya yang mampu.
“Kelantan merupakan sebuah pasukan yang amat di­segani, tanpa kehadiran Kelantan Liga M tidak akan berseri. Tambahan pula, The Red Warriors mempunyai peminat yang cukup hebat dalam memberikan sokongan kepada pasukan mereka.
“Semangat setiakawan peminat ini juga memberikan sema­ngat kepada kami untuk membantu Kafa dalam memastikan Kelantan terus kekal beraksi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kafa berhadapan dengan krisis kewangan yang amat serius sejak akhir-akhir ini sehingga menyebabkan Tan Sri Annuar Musa meletakkan jawatan sebagai Presiden persatuan tersebut.
Kafa memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta untuk memastikan The Red Warriors bersaing secara kompetitif dalam Liga M musim depan.
Sementara itu Ketua Pegawai Pemasaran Red One, Ben Teh berkata, pihaknya akan me­ngadakan pertemuan dengan pengurusan Kafa sebelum 29 Disember.
“Hubungan Red One dengan Kafa sudah lama terjalin dan kami hampir dua tahun menaja TRW,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah tajaan mereka.Ben memberitahu, sekiranya Red One dipilih menjadi penaja utama pihaknya berharap sumbangan itu mampu melahirkan lebih ramai bakat-bakat muda yang berkaliber dalam sukan bola sepak.

SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dua-syarikat-setuju-jadi-penaja-kelantan-1.423269#sthash.2kYfChIe.dpuf

Dua pemain Kelantan dihukum

ARKIB : 26/05/2000
KELANTAN terlepas hukuman berat apabila dapat meneruskan aksi dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-8 walaupun tanpa dua pemainnya yang dikenakan pergantungan kesemua perlawanan oleh Jawatankuasa Disiplin Bola Sepak Sukma kerana tindakan mereka memukul pengadil kelmarin.

Dua pemain tersebut, Mohd. Farrid Rizal Ismail dan Ahmad Syiham Mohamad dikenakan hukuman setelah didapati bersalah memukul pengadil perlawanan, Roslan Ais dari Sarawak dalam perlawanan kumpulan C antara Kelantan dengan Perak di Stadium Universiti Sains Malaysia (USM).

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Mohd. Zain Omar memberitahu, hukuman itu diambil mengikut peruntukan 15.4 Peraturan Bola Sepak Sukma seperti ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selain itu, kata beliau, jurulatih, Nik Fauzi Hassan dan penolong jurulatih, Surial Yaacob tidak dibenarkan berada di bangku pemain simpanan dalam perlawanan di antara Kelantan dan PDRM hari ini kerana tindakan kedua-duanya memasuki padang ketika insiden tersebut.

Kelmarin, perlawanan Kelantan - Perak dihentikan pada minit ke-73 kerana tindakan pemain Kelantan menyerang pengadil sewaktu Perak mendahului 2-1.

Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat lebih dua jam oleh jawatankuasa itu yang dipengerusikan Zain. Turut menganggotai jawatankuasa tersebut ialah Gary Nair, Joned Mohd. Nor dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Lee Hang Son.

Bagaimanapun, kata Zain, walaupun dikenakan hukuman, kedua-dua pemain, jurulatih dan penolong jurulatih yang terlibat perlu berdepan dengan FAM untuk tindakan selanjutnya.

Zain berkata, dua lagi pemain Kelantan, Muhammad Hazly Zain dan Armanzairi Md. Johan masing-masing dikenakan pergantungan satu dan dua perlawanan.

Beliau memberitahu, Hazly digantung satu perlawanan kerana mengutip dua kad kuning manakala Arman dikenakan pergantungan dua perlawanan disebabkan menerima kad merah ketika perlawanan menentang Perak itu.

Jawatankuasa Pertandingan Bola Sepak Sukma Ke-8 yang turut bermesyuarat kelmarin mengambil keputusan memberi tiga mata kepada Perak.

Setiausaha jawatankuasa itu, Abdul Wahab Mohd. berkata, mesyuarat tersebut memberi kemenangan 2-0 kepada Perak.

Sementara itu, Bernama melaporkan polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden pemain Kelantan menyerang dan mencederakan pengadil dan dua penolongnya itu.

Ketua Polis Daerah Georgetown SAC II Mustafa Abdullah berkata, siasatan dijalankan setelah pihaknya menerima aduan daripada anggota yang bertugas di stesen polis Sukma di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.

''Siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 147 Acara Kanun Jenayah kerana ia melibatkan rusuhan,'' katanya semalam.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Ta71ANwk © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 20 Disember 2016

Kelantan masih unggul

PENDAHULU liga, Kelantan terus menguasai takhta teratas bola sepak Liga Perdana Dua biarpun sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan TNB Kelantan di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota Bharu.

Kelantan selaku pasukan senior ternyata tidak berupaya mencipta jaringan gol malah sering kali serangan yang dilakukan dapat dipatahkan oleh kesebelasan TNB Kelantan.

Malah, jentera serangan Kelantan yang diperkuatkan dengan gandingan Zool Ihsan Yunus dan Anuar Abu Bakar tidak berkesan untuk menembusi benteng pertahanan TNB Kelantan.

TNB Kelantan yang bermain dengan strategi bertahan perlu berterima kasih kepada penjaga golnya, Noramri Md. Nawi yang banyak menyelamatkan percubaan-percubaan bahaya Kelantan.

Corak persembahan yang agak membosankan akhirnya membawa kepada keputusan seri sehingga tamat permainan.

Sementara itu, di Stadium KLFA di Cheras, Tentera mencatatkan kemenangan pertama musim ini apabila mengejutkan pasukan pilihan, Johor FC 2-0.

Johor FC yang pada awalnya dijangka tidak menghadapi masalah untuk membawa pulang mata penuh, gagal menunjukkan persembahan sebenar seperti diharapkan untuk membuka ruang buat Tentera memanfaatkan peluang.

Di sebalik gahnya nama Johor FC dengan dibarisi empat pemain dari Sabah, Tentera menguasai permainan sejak awal dan pada minit ke-15 berhasil memperoleh gol sulungnya menerusi gerakan cantik yang bermula dari sayap kiri.

Mohd. Zahid Hashim yang menerima hantaran lintang di dalam kotak penalti terus menanduk kepada rakan penyerangnya, Saifullizan Hashim yang terus merembat kencang ke penjuru kiri gol Johor pada minit ke-15.

Walaupun ketinggalan, anak buah Bruce Stowell seperti tidak berazam untuk mencari gol penyamaan apabila gagal menyusun gerakan kemas dengan hantaran-hantaran liar kepada rakan di bahagian serangan.

Pasukan dari selatan itu mendapat dua peluang terbaik untuk menghasilkan gol pada minit ke-20 dan 40, masing-masing menerusi penyerang utamanya, Sheikh Ahmad Redzuan dan Azni Ariffin, tetapi hanya dua percubaan itu yang benar-benar mendebarkan kubu tuan rumah sepanjang perlawanan tersebut.

Pada babak kedua, Stowell membuat tiga pertukaran termasuk menggantikan Md. Shahrul Ismail dengan Harun Laban, namun bekas penyerang Sabah itu gagal menerima sokongan rakan-rakan dari bahagian tengah.

Kealpaan benteng Johor FC pada minit-minit terakhir sekali lagi mengundang padah apabila pemain gantian, Mohd. Zain Roslan membuat hantaran lintang dari sebelah kiri, dan umpanan cantiknya berjaya disempurnakan dengan tandukan kemas Rosli Dollah, pemain yang turut dimasukkan pada babak kedua untuk gol kedua Tentera.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TNJSPiJt © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 19 Disember 2016

Kelantan, Johor menang bergaya


 

ARKIB : 22/04/2000
PEMAIN KL Malay Mail, Azizul Jamaluddin (kanan) mengawal bola daripada dicabar pemain NS Chempaka, Ahmad Shukri Mustaffa pada perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium KLFA, Cheras semalam yang berkesudahan seri 2-2.

PERTUKARAN gelanggang perlawanan dari Stadium Kubu, Melaka memberi tuah kepada pasukan tuan rumah, Johor FC apabila menewaskan Melaka 3-0 dalam perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium Larkin, Johor, semalam.

Pasukan tuan rumah memperoleh jaringan pertama menerusi Hairy Azli Mahamad pada minit ke-35 selepas dia memperdayakan seorang pemain pertahanan Melaka sebelum merembat kencang dari luar kotak penalti melepasi jangkauan Zainal Rabin.

Dua minit sebelum itu, Melaka membuat satu percubaan melalui Shahril Nizam Khalil yang menanduk bola hasil tendangan sudut Rashid Mamud pada minit ke-33 tetapi tersasar keluar.

Gol kedua Johor FC diperoleh melalui pemain gantian, Mohd. Shahrul Ismail yang membuat larian solo dari sebelah kiri padang dan bola rembatannya menyaksikan Zainal tertewas buat kali kedua.

Johor FC terus mengasak kubu Melaka yang semakin tertekan dan pada minit ke-80, Harun Laban menyempurnakan gol ketiga Johor FC setelah hantaran dari Azni Ariffin muntah daripada tangkapan Zainal.

Di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Bahru, Kelantan bermula garang di tempat sendiri selepas membenam Tentera 5-0.

Jaringan awal tuan rumah diperoleh seawal minit ke-15 menerusi penyerang Zul Ihsan Yunus yang mudah menolak bola masuk ke gawang lawan selepas menerima hantaran rakan sepasukan.

Selang beberapa minit kemudian Kelantan berjaya mendapatkan tendangan penalti pada minit ke-17 hasil sepakan yang diambil oleh Zul Ihsan berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol Tentera, Arif Fadillah Aziz.

Kehampaan itu bagaimanapun tidak lama apabila empat minit kemudian tuan rumah berjaya mendapat gol sagu hati apabila bola sepakan Tuan Kamree Tuan Yahya menerjah ke jaring lawan selepas terkena kaki pemain Tentera, S. Ragu minit ke-19.

Tuan rumah yang bermain dengan cemerlang terus mengukuhkan kedudukan apabila memperoleh gol ketiga menerusi tandukan pemain tengah Bahruddin Ali pada minit ke-40.

Derita Tentera bertambah parah apabila pemain muda Kelantan, Shahrudy Aziz menanduk bola sepakan sudut minIt ke-77.

Tuan Kamtree terus menghukum Tentera apabila menyempurnakan gol terakhir tuan rumah pada minit ke-86.

Sementara Tentera yang mempamerkan rentak permainan yang konsisten di awal permainan bagaimana pun gagal untuk mencipta jaringan gol apabila serangan pasukan itu sering dipatahkan oleh benteng pertahanan tuan rumah.

Sementara itu, Malay Mail Kuala Lumpur berkongsi mata lagi selepas seri 2-2 menentang NS Chempaka di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Gol pasukan Malay Mail dijaringkan oleh Mohamad Sham Nor pada minit ke-25 dan 55 sementara NS Chempaka menerusi gol jaringan sendiri Mohd. Ishak kunju Mohd minit ke-32 dan S. Ramis dua minit sebelum tamat permainan.

Kongsi Konten di :

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TI11B3rw © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 18 Disember 2016

Andai Kelantan tarik diri, pemain berdepan kesukaran

SABTU, 17 DISEMBER 2016 @ 3:31 PM
Oleh Azidan Nahar azidan@bh.com.my Hairuddin Omar
 
 KUALA LUMPUR: Pemain Kelantan akan berdepan masalah besar sekiranya pasukan itu tetap dengan keputusan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan jika tiada penyelesaian dapat dilakukan secepat mungkin.

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar berkata, jika pemain Kelantan mahu berpindah ke pasukan lain, pelbagai perkara perlu diselesaikan termasuk berkaitan kontrak.

"Kebanyakan pasukan yang bermain dalam liga ketika ini sudah (ada senarai) penuh (pemain). Kalau ada pun kosong ia hanya pasukan biasa-biasa saja," katanya ketika dihubungi BH Online, sebentar tadi. Semalam, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memutuskan untuk menarik diri kerana tidak mampu menyediakan dana yang mencukupi untuk pengurusan skuad Kelantan dalam menghadapi saingan Liga M musim 2017.

Setiausaha KAFA , Datuk Ismail Md Noor, berkata mesyuarat khas EXCO KAFA yang diadakan kelmarin sudah mengambil kata sepakat bahawa Kelantan tidak mampu dan terpaksa menarik diri pada musim hadapan. Bagaimanapun katanya, keputusan terakhir akan dibuat menerusi kongres luar biasa yang diadakan pada 29 Disember nanti sekiranya berlaku keajaiban hingga mengubah keputusan asal.

Hairuddin menjelaskan, pihak yang mahu mengambil pemain Kelantan juga perlu menyelesaikan masalah kontrak yang mungkin masih berbaki dengan pasukan lama dan itu akan turut menimbulkan banyak masalah. Katanya, jika Kelantan mahu meminjamkan pemain mereka kepada pasukan lain, masih wujud masalah kerana pasukan lain juga sudah cukup pemain dan ia juga membabitkan kos lain seperti gaji dan sebagainya.

 Berikutan itu, menurut Hairuddin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pengendali Liga Malaysia, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) perlu mencari penyelesaian segera.

"Saya positif masalah ini sedang diuruskan sedaya upaya oleh pihak terbabit. "Mereka perlu buat apa saja kerana adalah satu kerugian pada pemain dan pasukan kerana pasukan Kelantan ada penonton yang ramai, kemeriahan Liga M akan hilang jika tiada pasukan Kelantan," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Hairuddin menasihatkan pemain supaya meneruskan latihan seperti biasa kerana penyelesaian kepada perkara itu masih belum diputuskan. "Jika Kelantan menarik diri, mereka perlukan masa yang lama untuk kembali ke tahap seperti ini. Mungkin tiga hingga empat tahun, kerana itu semua pihak perlu mencari penyelesaian terbaik.

"Jika pasukan Kelantan perlu berhutang, mereka perlu melakukannya kerana bagi saya pasukan ini tidak boleh menarik diri kerana kesannya amat besar bukan saja kepada pemain tetapi kepada bola sepak Malaysia secara keseluruhan," katanya


Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/224704

Tarik diri bunuh karier pemain, semangat penyokong - Yassin

SABTU, 17 DISEMBER 2016 @ 5:45 PM
 
Oleh Hasbullah Ibrahim bhsukan@bh.com.my BEKAS pemain kebangsaan, Yassin Mohd Noor. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Bekas pemain Kelantan mahu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memikirkan semula keputusan menarik diri daripada menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan kerana tindakan itu boleh membunuh karier pemain berbakat dan minat penyokong di peringkat akar umbi bola sepak negeri itu. Yassin Mohd Noor yang pernah beraksi bersama Kelantan dan Sukan Olimpik 1980 berkata, sudah tentu impak negatif bakal diterima peminat dan pemain bola sepak di negeri Che Siti Wan Kembang yang terkenal dengan gelaran 'The Red Warriors.'

"Pembabitan pemain berbakat dalam saingan liga seperti Piala Presiden dan Piala Belia sudah tentu menjadi sia-sia kerana mereka tidak berpeluang bermain dengan pasukan senior selepas pasukan itu menarik diri  dalam saingan berprestij terutama Liga Super. "Sukan bola sepak di Kelantan juga mempunyai aura dan kelasnya tersendiri yang dianggap hiburan utama di samping menyatukan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Saya melihat peminat sering kali menjadikan pemain sebagai idola mereka dan berupaya mencegah mereka terhindar dari terjebak dengan aktiviti tidak sihat," katanya. Beliau berkata, berita penarikan diri boleh melenyapkan semangat puluhan ribu peminat yang sentiasa hadir ke Stadium Sultan Muhammad IV setiap kali pasukan kesayangan mereka beraksi.

"KAFA sepatutnya membuat kenyataan ini sebaik sahaja saingan liga berakhir bagi membolehkan bekas pemain membantu mencari tajaan dengan mendapatkan tokoh korporat atau individu berkaitan. "Dalam masa yang agak singkat ini agak mustahil saya mendapatkan penajaan dengan jumlah yang agak besar kira-kira RM12 juta untuk membiayai kos pengurusan pasukan.

"Bagaimanapun, saya percaya KAFA masih mempunyai alternatif terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini sebelum memuktamadkan sebarang keputusan dalam kongres persatuan itu pada 29 Disember ini," katanya ketika dihubungi, hari ini. Sementara itu, seorang lagi bekas pemain Kelantan, Afandi Yusof, berkata penjenamaan semula pasukan Gomo Kelate Gomo yang kini dikenali dengan gelaran The Red Warriors dengan logo pasukan yang baharu hanya tinggal kenangan sahaja selepas ini.

 "Sudah tentu hasil kerja keras membentuk pasukan yang mantap dengan lahirnya bintang tersohor seperti Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Badhri Radzi dan ramai lagi pemain berbakat hanya sia-sia sahaja.

"Tindakan menarik diri juga menjadikan pemain hilang arah tuju bagi meneruskan kerjaya profesional mereka malah proses membentuk kembali pasukan tentu mengambil masa yang agak panjang setelah ramai pemain berhijrah ke pasukan lain," katanya.


SUMBER-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/224741

Ahad, 11 Disember 2016

Apek setia bersama Kelantan

11 Disember 2016 12:11 AM
Khairul Fahmi
Khairul Fahmi
KUALA LUMPUR 10 Dis. – Walaupun status penyertaan Kelantan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan masih tidak menentu, namun penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menegaskan, dia tetap setia bersama The Red Warriors.
Khairul Fahmi, 27, berkata, kontraknya bersama Kelantan hanya akan tamat pada hujung 2017, namun dia enggan menekan butang panik biarpun ­menyedari majikannya mempunyai masalah kewangan yang kritikal.
“Saya tetap setia bersama Kelantan, lagi pun kontrak saya masih berbaki setahun,” kata­nya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Ketika di­tanya apakah dia sudah mula mencari pasukan baharu gara-gara kedudukan Kelantan yang bergelut ketika ini, Khairul Fahmi berkata, dia tidak mahu memikirkan tentang masalah kewangan The Red Warriors.
Katanya, dia menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk menyelesaikan isu ber­kenaan.
“Saya tidak boleh jawab mengenai perkara itu. Pihak pengurusan akan menjawab hal itu. Saya minta maaf,” katanya lagi.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Khamis depan mungkin menjadi detik hitam buat bola sepak Kelantan sekiranya Kafa masih gagal menyelesaikan masalah kewangan yang amat kritikal.
Tarikh itu merupakan hari penting bagi Kafa yang me­ngadakan mesyuarat khas untuk menentukan hala tuju mereka sebelum Liga M 2017 dibuka Januari ini.
Perkara tersebut disahkan Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail selepas mengakui, pihaknya mengalami masalah kewangan yang amat serius sehingga kantung persatuan kosong untuk membiayai pasukan musim depan.
Malah, sehingga kini pihak­nya tidak mendapat sebarang tajaan dan paling mengecewakan apabila Kerajaan Pas Kelantan tidak memberi apa-apa bantuan kepada persatuan tersebut.
Badan induk bola sepak Kelantan itu memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta bagi membolehkan pasukan kekal bersaing secara kompetitif, namun persatuan masih bergelut mencari sumber kewa­ngan selepas Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatan Presiden, awal bulan lalu.
Sebelum ini, pengurusan Kafa menawarkan kepada Kerajaan Pas Kelantan untuk mengambil alih teraju kepemimpinan bagaimanapun ditolak Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/apek-setia-bersama-kelantan-1.418567#sthash.0N5RT35V.dpuf

Syarat Dr. Vida buat Kelantan

Oleh YATIMIN ABDULLAH
SYARIKAT Vida Beauty Sdn. Bhd. menawarkan bantuan bersyarat kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh badan induk itu ketika ini.

Pengasasnya, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Dr. Vida (gambar) berkata, syarat tersebut ialah dengan membantu beliau menjual produk keluaran syarikatnya menerusi penganjuran karnival Pamoga Qu Puteh.

Katanya, sekiranya KAFA bersetuju de­ngan syarat tersebut, Vida Beauty sedia menyumbangkan sebanyak 20 peratus keuntungan hasil jualan bara­ngan sepanjang karnival ber­kenaan.

“Bagi saya, ia adil untuk kedua-dua pihak. Saya dapat jual barang, manakala KAFA dapat dana untuk menggerakkan pasukan.

“Saya yakin dan percaya peminat akan memberikan sokongan padu terhadap KAFA menerusi pembelian pada karnival berkenaan,” kata­nya.

Beliau mengulas mengenai hasrat KAFA untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan ekoran masalah kewangan.

Vida memberitahu, pihaknya bersedia bila-bila masa untuk menganjurkan karnival berkenaan sebaik sahaja mendapat ‘lampu hijau’ daripada KAFA.

Katanya, Wisma DSV yang sudah lengkap de­ngan segala kemudahan itu sentiasa bersedia untuk menganjurkan karnival ber­kenaan.

“Sekiranya karnival tersebut berjaya, kita sedia menjelajah ke seluruh negara bagi membantu KAFA mendapatkan dana menerusi jualan tersebut.

“Saya tahu, Kelantan mempunyai kekuatan penyokong yang luar biasa, tidak mustahil kita mampu membantu KAFA menerusi karnival tersebut,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Vida berkata, beliau akan me­lancarkan kempen #BantuDSVBantuKafa untuk melihat sokongan rakyat Kelantan terhadap usaha tersebut.

Katanya, kempen tersebut boleh dibuat menerusi pembe­lian sebarang produk kelua­ran syarikat Vida Beauty.

“Bermula esok (hari ini) saya nak lihat penyokong Kelantan yang membeli produk Vida Beauty boleh menggunakan #BantuDSVBantuKafa di laman sosial Facebook Sayang-Sayang DSV.

“Selain itu boleh menggunakan Instagram milik saya iaitu datoserivida,” ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4SZgUDBVP Hakcipta terpelihara

Khamis, 8 Disember 2016

Kelantan lupakan sahaja Piala Malaysia

ARKIB : 06/09/1999
KELANTAN terpaksa akur dan menerima hakikat bahawa peluang untuk beraksi ke Piala Malaysia musim ini sudah tertutup rapat apabila mengalami kekalahan keempat berturut-turut.

Kelantan yang menduduki tangga terbawah dalam kumpulan apabila kalah kepada Perlis dengan sepakan penalti 2-4, kecundang dengan Brunei 0-1, kalah 0-1 dengan Kedah dan tumpas kepada Perlis 1-2 pada pusingan kedua, kelmarin.

Skuad Kijang itu hanya akan menghabiskan sisa dua perlawanan pada pusingan kedua menentang Kedah dan Brunei di gelanggang sendiri, pada 11 dan 14 September ini.

Walaupun keputusan itu tidak membawa erti kepada Kelantan, tetapi jurulatihnya Mosthakeen Omar tetap mahukan anak buahnya meraih kemenangan bagi menebus maruah.

Beliau yang ditawarkan kontrak setahun bersama Kelantan musim ini terpaksa menerima hakikat bahawa Kelantan sekali lagi terpaksa menduduki Liga Perdana Dua, musim depan.

''Saya akur dengan kehebatan pasukan-pasukan yang bertanding dalam kumpulan A dan menerima hakikat bahawa Kelantan masih ketandusan pemain bahagian serangan,'' katanya.

Ditanya sama ada kontraknya bersama Kelantan musim depan akan disambung atau sebaliknya, Mosthakeen berkata ia terserah kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (Kafa).

''Sekiranya Kafa masih berminat mendapatkan khidmatnya beliau sanggup bersama Kelantan musim depan.

''Kita terpaksa menerima hakikat bahawa kita masih belum mempunyai penyerang berwibawa dan perancangan awal termasuk menyediakan pemain itu perlu dirancang mulai sekarang,'' katanya.

Mengulas kekalahan 1-2 kepada Perlis kelmarin, Mosthakeen berkata prestasi pemain meningkat cuma barisan serangan tidak mampu menembusi pertahanan Perlis. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SFeXnYHT © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 7 Disember 2016

Kelantan berwajah baru

ARKIB : 19/08/1999
KELANTAN membuat percaturan nekad apabila menggugurkan lima lagi pemain utamanya dalam mengharungi persaingan play-off bola sepak Piala Malaysia yang bermula 20 Ogos ini.

Ia sekali gus menjadikan hampir sebahagian besar skuad Kelantan akan berwajah baru ketika menghadapi Perlis di Kota Bharu nanti dengan tekad melayakkan diri ke Piala Malaysia.

Dengan tindakan drastik terbaru itu bermakna Kelantan sehingga kini telah menggugurkan tujuh pemain termasuk pemain tengah, Affendi Julaihi dan penjaga gol, Halim Napi.

Lima senarai yang baru digugurkan ialah Azlan Ismail (penjaga gol simpanan), Mohd. Zaidi Napiah (penyerang), Zahariman Ghazli (pemain tengah), Azman Shamsuddin (penyerang) dan Fuad Adam (penyerang).

Selain Perlis, Kelantan diletakkan dalam kumpulan bersama-sama dengan Kedah dan Brunei.

Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan Daud mengakui bukan mudah bagi Kelantan memenangi perlawanan itu kerana ketiadaan beberapa pemain utama.

Bagaimanapun, ia bukan bermakna Kelantan tidak menjanjikan corak permainan yang bertenaga nanti, malah lebih bersemangat.

Kelantan mengakhiri persaingan liga musim lepas pada kedudukan kelima daripada sembilan pasukan dalam Perdana Dua.

Wan Hashim tidak menolak kemungkinan beberapa pemain Liga Simpanan akan dikerah menggantikan mereka yang digugurkan di samping memastikan kemenangan bagi mengembalikan semula keyakinan para penyokong.

Antara yang disebut-sebut ialah Fatrurazi Rozi, Mohd Shahrizan Ismail, Muhd. Hardi Awang dan Rosmaini Ismail. ''Saya percaya jika para pemain mempunyai disiplin, bermain dengan cermat, kita boleh menang,'' katanya ketika ditemui di Kota Bharu, semalam.

Oleh: SAROJI MOKHTAR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4S8dLgynq © Utusan Melayu (M) Bhd