Jumaat, 15 Februari 2019

Azzamuddin perkuat Red Warriors pertahankan Piala Malaysia


ARKIB : 09/08/2011
KOTA BHARU - Penggempur sensasi Pahang, Azzamuddin Mohd. Akil, 26, sah akan beraksi bersama Kelantan sebagai pemain pinjaman bagi memperkuatkan pasukan Red Warriors dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini.

Kehadiran pemain yang berasal dari Kampung Relong, Kuala Lipis Pahang itu disahkan sendiri oleh pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim sekali gus menamatkan khabar angin mengenai siapa pemain pinjaman yang akan membantu Red Warriors mengharungi cabaran edisi kali ini.

Azman berkata, pemain tersebut akan mula melaporkan diri bagi menyertai sesi latihan bersama skuad bimbingan Datuk M. Karathu hari ini.

Menurutnya, kehadiran Azzamuddin dijangka memantapkan lagi jentera serangan Kelantan di ketuai oleh penggempur berbisa negara, Norsharul Idlan Talaha.

"Daripada tiga kuota pemain pinjaman diperuntukkan, kita hanya meminjam Azammuddin bagi memperkuatkan pasukan dan dia bakal digandingkan bersama Norshahrul Idlan (Talaha) di posisi serangan.

"Saya melihat pemilihan Azzamuddin tepat pada masanya setelah posisi serangan kita menghadapi masalah penyudah dalam kempen Liga Super baru-baru ini.

Kehadiran pemain ini memberi pilihan kepada jurulatih Datuk M. Karathu untuk menyelesaikan masalah di posisi tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tambahnya, Azzamuddin yang juga penjaring gol kedua terbanyak pasukan Tok Gajah musim ini, merupakan satu-satunya pemain tunggal yang dipinjam oleh The Red Warriors.

Dalam pada itu, Azman menegaskan, kehadiran Azammuddin bukan bermakna tempat baginya sudah terjamin, sebaliknya beliau juga perlu bersaing dengan penyerang yang lain bagi merebut posisi di bahagian serangan itu.

"Peluang terbuka untuk penyerang yang lain seperti Muhammad Ramzul Zahini (Adenan), Mohd. Nizab (Ayub) dan Muhammad Khalid (Jamlus) merebut tempat dengan syarat mereka perlu membuktikan prestasi mereka berada ditahap terbaik.

"Selama ini pun mereka juga sentiasa diberi peluang oleh pihak pengurusan. Jadi dengan kehadiran Azammudin itu diharap mencetuskan persaingan yang sihat dalam kalangan mereka untuk merebut posisi tersebut," ujarnya.

Jelasnya, dengan kehadiran pemain ini serta lima pemain dari skuad Piala Presiden Kelantan yang diserap ke dalam skuad senior, Red Warriors dilihat mampu mempertahankan kejuaraan musim lalu.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kerana memberi kelulusan kepada The Red Warriors meminjamkan pemain tersebut.

Azammuddin atau lebih dikenali dengan panggilan 'Alex' pernah beraksi dengan kelab Shahzan Muda dan UPB Perak - MyTeam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5fatgezch
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 4 Februari 2019

Pelita Jaya minat bintang muda Kelantan


ARKIB : 11/07/2011
 
Izuan Salahuddin berjaya melepasi penjaga gol Pelita Jaya ketika menjaringkan gol Kelantan pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu semalam.
KOTA BHARU - Kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya berminat untuk mendapatkan khidmat pemain muda Kelantan, Izuan Salahuddin.

Hasrat tersebut dinyatakan Pengurus kelab itu, Lalu Mara selepas menyaksikan kelibat Izuan, yang menjaringkan gol pada aksi persahabatan dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, di sini kelmarin yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Menurut Lalu, dia kagum dengan kepantasan Izuan, pemain yang disenaraikan ke dalam skuad Harimau Muda untuk menjalani latihan ke Slovakia serta aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana England, Chelsea

"Pemain itu (Izuan) memiliki kepantasan larian yang begitu baik. Dia memiliki potensi sebagai pemain yang mampu menyerlah pada masa akan datang," katanya.

Izuan merupakan pemain dari skuad Piala Presiden yang diserapkan ke skuad utama Red Warriors mulai pertengahan musim ini.

Pelita Jaya sudah pun mendapat sentuhan pemain kebangsaan, Safee Sali.

Safee tidak diturunkan pada perlawanan kelmarin, yang menyaksikan Red Warriors beraksi tanpa lima pemain tonggak yang bersama skuad kebangsaan.

Kelantan turut mengambil kesempatan daripada perlawanan tersebut dengan menurunkan pemain jemputan dari Crotia, Jocip Bonasin, yang beraksi pada bahagian pertahanan.

Kelantan mendahului Pelita Jaya hasil jaringan Mohd. Izuan pada ke-72, hasil hantaran menarik Mohd. Badri Radzi.

Joko Sasongko menjadikan kedudukan 1-1 menerusi jaringan pada minit akhir perlawanan.

Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu memuji persembahan pemainnya dan yakin pasukannya mampu melangkah lebih jauh sekiranya diberi pendedahan beraksi dengan pasukan luar negara.

"Kita sebenarnya beraksi menentang pasukan yang kuat dan dalam perlawanan ini saya berpeluang menilai sejauh mana keupayaan pemain simpanan sekiranya berlaku situasi buruk terhadap pasukan ini dalam saingan Piala Malaysia nanti," katanya.

Mengenai persembahan Bonacin, Karathu berpuas hati dengan aksi pemain Croatia itu.

"Dia bermain dengan bagus, saiz fizikalnya sesuai selain mempunyai kelebihan kaki kiri. Namun, saya tidak boleh menilai persembahan dia dalam satu perlawanan sahaja. Dia ada kualiti tetapi saya mahu lebih daripada itu," katanya.

Sementara itu, Lalu berkata, perlawanan tersebut membuka lembaran baru dalam hubungan antara kedua-dua pasukan dan berhasrat mengundang Kelantan beraksi di Indonesia.

"Perlawanan ini amat berharga kepada Pelita Jaya kerana kebanyakan pemain yang diturunkan, pemain muda. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di atas pelawaan ini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eYBc2dE3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kelantan sahkan kejuaraan


ARKIB : 07/07/2011
 
Pemain Kelantan meraikan kejayaan menjuarai Liga Super 2011 selepas mengalahkan Sabah 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam. - UTUSAN/Ghazali Basri
KUALA LUMPUR - Kelantan cemas seketika sebelum mengesahkan kejuaraan Liga Super 2011 apabila diasak pasukan tuan rumah Sabah pada babak akhir perlawanan, sebelum menang 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu semalam.

Peledak utama Red Warriors, Noorshahrul Idlan Talaha muncul wira pasukannya apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-5 dan ke-71.

Selepas jaringan kedua itu, Kelantan yang hanya menantikan wisel penamat dibunyikan, cemas apabila Sabah bangkit memberi tentangan dengan memperoleh gol menerusi Razlan Otoh, minit ke-76.

Jaringan tersebut menyuntik semangat pemain Sabah untuk memburu gol penyamaan dengan melakukan asak bertali arus, namun gagal menembusi gawang Kelantan yang dikawal kemas Khairul Fahmi Che Mat.

Kemenangan pada perlawanan terakhir semalam membolehkan Kelantan mengumpul 56 mata dan tidak mampu dicabar Selangor dan Terengganu.

Sebaliknya Selangor menutup saingan musim ini dengan penuh kehampaan, apabila bukan sahaja gagal memintas Kelantan, sebaliknya tercicir ke tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan dengan Perak di Stadium Perak, Ipoh.

Kedudukan naib juara pula menjadi milik Terengganu apabila berpesta gol dengan membelasah Felda United 6-2 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya meledak empat gol pada minit ke-22, ke-42, ke-70 dan ke-82, manakala dua gol lagi dijaringkan Ree Shafiq Alwi minit ke-16 dan Abdul Manaf Mamat minit ke-18.

Gol Felda United pula dijaringkan Mat Asmarul Fadzil Hassan minit ke-45 dan Mohd. Shazwan Zainon minit ke-85.

Negeri Sembilan menutup saingan musim ini dengan kemenangan 2-0 ke atas Perlis di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hasil jaringan Ahmad Fakri Sharani minit ke-36 dan Shahurain Abu Samah minit ke-59.

Kedah menamatkan saingan di tangga keempat selepas menang 1-0 ke atas pasukan kedua tercorot, Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan menerusi jaringan tunggal Mohd. Fiqri Md. Isa minit ke-69.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eY3llhLu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 3 Februari 2019

Kelantan juara Liga Super 2011


ARKIB : 06/07/2011
06/07/2011 11:33pm

KUALA LUMPUR 6 Julai - Penyerang berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha muncul wira Red Worriors selepas membantu pasukannya menjulang trofi Liga Super 2011 buat kali pertama, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Datuk M. Karathu itu dinobat sebagai juara musim ini selepas menundukkan Sabah dengan keputusan 2-1 di Stadium Likas.

Lebih manis kejuaraan semalam juga membolehkan skuad Red Warriors menamatkan kemarau tujuh tahun tanpa gelaran Liga Super sejak diperkenalkan pada tahun 2004.

Keputusan lain, Negeri Sembilan menewaskan Perlis 2-0, Pahang kecundang kepada Kedah 0-1, Harimau Muda A sekadar seri 2-2 menentang Johor FC, Selangor seri tanpa jaringan menentang Perak dan Terengganu menang 6-2 menewaskan Felda United. - Utusan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_46.htm#ixzz5eXU4BzCW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 2 Februari 2019

Kelantan Red Warriors lebih pro


MyMetroArena
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my
 
BAGI menjadikan Kelantan pasukan yang lebih profesional dan terancang, persatuan bola sepak negeri itu mengumumkan penubuhan syarikat Kelantan Red Warriors Sdn Bhd.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, penubuhan syarikat itu dengan kerjasama Myinspiration Sdn Bhd dapat memacu kemajuan bola sepak negeri itu dalam tempoh jangka panjang.

Langkah itu dilihat seiring dengan saranan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mengangkat status bola sepak negara ke arah profesional sepenuhnya melalui perancangan lebih efektif.

“Pada masa sama, penubuhan syarikat ini dapat membantu menyediakan keperluan kewangan yang lebih mampan dan teguh.

“Keputusan ini dipersetujui sebulat suara oleh Exco KAFA dengan satu hasrat untuk membawa pasukan negeri mampu bergerak lebih tersusun dan maju,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua pihak begitu optimis dan komited dalam merealisasikan pembangunan pemain pasukan Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia.

“Insya-Allah KAFA akan mengadakan satu sidang media bersama dalam masa terdekat untuk mengumumkan rancangan terperinci seperti yang dipersetujui,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 7:35 PM

Red Warriors mahu pikat pemain ke-12


NIK AKIF SYAHIRAN
NIK AKIF SYAHIRAN
02 Februari 2019 3:00 AM
KOTA BHARU 1 Feb. – Kemenangan dalam aksi pembukaan Liga Perdana menentang Selangor United di Selayang esok amat penting buat Kelantan jika mahu mengembalikan semula keyakinan penyokong.

Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat berkata, pertemuan itu pasti amat dinantikan peminat Red Warriors bagi menilai kekuatan sebenar pasukan untuk mengharungi saingan liga musim ini.


“Ia tekanan kepada kami kerana perlawanan itu akan memberikan kesan terhadap kehadiran penyokong ke stadium sepanjang liga berlangsung.

“Jika keputusan tewas, sekurang-kurang kami perlu memberikan persembahan yang terbaik bagi memberikan keyakinan kepada penyokong untuk terus bersama kami,” katanya hari ini.

Kelantan antara nama besar dalam saingan Liga Super yang terpaksa beraksi pada Liga Perdana musim ini selepas gagal mengekalkan kedudukan 10 teratas pada saingan Liga Super musim lalu.

Nik Akif berkata, dia juga mengharapkan tiga pemain import baharu pasukan itu memainkan peranan yang besar bagi membantu pasukan untuk membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu.

“Sepanjang sesi latihan dan beberapa perlawanan pemanas badan saya lihat ketiga-tiga pemain import menunjukkan impak positif kepada pasukan, terutama bahagian serangan dengan kehadiran penyerang import dari Uruguay, Raul Adres Tarragona.

“Posisi tengah, saya akan berusaha sedaya mampu untuk mencipta peluang kepada barisan penyerang untuk menjaringkan gol,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/i-red-warriors-i-mahu-pikat-pemain-ke-12-1.833983#ixzz5eQiqAVkZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada sebab hukum Daudsu - Annuar


 ARKIB : 15/06/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak akan menghukum Daudsu Jamaluddin kerana tertanduk bola ke gawang sendiri ketika cuba menyelamatkan pintu gol Kelantan daripada dibolosi dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu Sabtu lalu.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemain tersebut tidak sengaja melakukan kesilapan itu, sebaliknya berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkan bola daripada membolosi jaring.

"Kafa tidak akan menghukum beliau di atas kesilapan yang dilakukan itu. Tiada sebab untuk dia dihukum," katanya.

Beliau merasmikan Majlis Menabur Benih Padi Musim 1/2011 di Bendang Permatang Pusu, dekat sini, semalam.

Sementara itu Annuar berkata, permohonan maaf yang dibuat Daudsu yang disiarkan oleh media kelmarin, merupakan sesuatu yang sangat baik kerana ia dilakukan secara terbuka.

Dalam perkembangan lain katanya, Kafa akan menganjurkan program 'Bersamamu The Red Warriors' yang bertujuan untuk menghargai sokongan padu yang telah diberikan oleh peminat kepada pasukan Kelantan pada 2 Julai ini di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV di sini.

Katanya, pelbagai acara menarik telah disediakan untuk memeriahkan program tersebut termasuk perlawanan persahabatan antarabangsa antara The Red Warriors dengan salah sebuah kelab sama ada dari Indonesia atau Thailand.

"Saya harap semua peminat menyimpan kedua-dua keratan tiket perlawanan melibatkan Kelantan dan Perak (semalam) serta pertemuan Malaysia dengan Myanmar Sabtu ini jika mahu masuk secara percuma menyaksikan perlawanan pada 2 Julai nanti," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eMVK0DJf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Gol sendiri rentap semangat


ARKIB : 13/06/2011
KUALA LUMPUR – Gol penyamaan pada penghujung masa kecederaan babak kedua menjadi titik tolak Kelantan tersungkur daripada menggapai Piala FA buat kali pertama selepas perlawanan akhir menentang Terengganu di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Kelantan di ambang kemenangan hasil jaringan Nurul Azwan Roya pada minit ke-79 perlawanan akhir edisi ke-22, tetapi angkara gol sendiri Daudsu Jamaludin ketika cuba menghalang percubaan lawan, meranapkan segala impian mereka.

Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu mengakui gol yang digerakkan penyerang Terengganu, Abdul Manaf Mamat mematahkan terus semangat perjuangan dan keinginan anak buahnya untuk bangkit dalam masa tambahan 30 minit.

“Gol pada minit-minit terakhir itu mematahkan langsung semangat pemain saya. Memang bukan mudah untuk memulihkannya walaupun dalam 30 minit masa tambahan. Sebaliknya lawan yang lebih yakin dan bertambah bersemangat sehingga beroleh gol kedua.

“Saya memang sudah jangka perlawanan pasti sengit tetapi Kelantan sepatutnya mengawal bola dan tidak mudah hilang bola terutama pada saat-saat genting itu (masa kecederaan babak kedua),” katanya, yang kecewa apabula terlepas peluang untuk menambah koleksi gelaran musim ini selepas menjulang Piala Sultan Ahmad Shah, Januari lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eMRny2cY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Maafkan saya – Daudsu


ARKIB : 13/06/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - ‘Saya minta maaf’. Itu permintaan Daudsu Jamaluddin selepas hajatnya untuk mengelak gawang daripada dibolosi akhirnya bertukar bencana apabila dia tertanduk bola ke gawang sendiri, membawa kepada kekalahan 1-2 Kelantan kepada Terengganu pada final Piala FA kelmarin.

Tegas Daudsu, dia tidak berniat meletakan bola ke gawang sendiri.

Katanya, malang yang menimpanya sehingga tertanduk bola ke gawang sendiri disebabkan situasi ketika itu berlaku terlalu pantas.

Menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, katanya dia mahu menanduk bola keluar, namun nasib tidak menyebelahinya kerana bola akhirnya menggegar gol sendiri.

Jaringan tersebut memberikan Terengganu gol penyamaan dan akhirnya Penyu menang hasil jaringan Ahmad Nordin Alias pada minit ke-109.

“Saya tak ada niat (menjaringkan gol sendiri), ia berlaku dengan cepat. Masa itu saya berlari laju kerana mahu menerkam bola untuk mengelak bola daripada menggegar jaring. Saya tidak ada pilihan kecuali cuba menanduk bola tersebut keluar tetapi ia masuk ke gawang.

“Sebagai pemain, ia sesuatu yang tidak pernah anda fikir untuk terjadi dan tidak mahu ia berlaku tetapi inilah bola sepak. Saya minta maaf kepada penyokong jika mereka menganggap saya punca kekalahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Tambahnya, selepas Terengganu menyamakan kedudukan, moral pemain Kelantan mulai jatuh dan terpaksa melalui masa tambahan yang cukup memeritkan.

“Saya tak nafikan ada kata-kata yang kurang enak sampai ke telinga saya, tetapi saya sudah lali.

“Sebagai pemain, kami sedia menerima hakikat, popular seorang pemain kerana peminat dan jatuh juga kerana peminat,” katanya..

Jelasnya, rezeki mungkin belum berpihak Kelantan untuk menjulang Piala FA biarpun sudah dua kali beraksi di pentas final.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eMOiUvyf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Piala FA milik siapa?

ARKIB : 11/06/2011
Piala FA milik siapa?
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
MILIK siapa... Badhri Radzi (kanan) dan Mazuki Yusof bersama trofi Piala FA yang menjadi rebutan, malam ini.

KUALA LUMPUR – Ketika Kelantan berkeras bahawa kemenangan 3-0 dalam saingan Liga Super, Isnin lalu bukan sekadar nasib, Terengganu pula menegaskan, perlawanan akhir Piala FA malam ini adalah cerita baru dan kekalahan enam hari lalu sama sekali tidak akan berulang.

Kapten Terengganu, Marzuki Yusof menegaskan, keputusan di Kuala Terengganu itu tidak boleh diambil kira apabila pasukannya melayani skuad Kijang sekali lagi, kali ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malah tegasnya lagi, skuad Penyu telah memperbaiki segala kelemahan yang membawa kepada kekalahan tempoh hari, malah beliau percaya, situasi Piala FA dan Liga Super jauh berbeza.

Namun bagi ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi, kemenangan Isnin lalu bukan kerana nasib, disebabkan lawan tidak dapat menurunkan tonggak utama, sebaliknya mereka terbukti pasukan yang lebih baik.

Pertembungan akhir klasik antara dua negeri berjiran itu amat dinantikan penyokong fanatik mereka kerana ini merupakan kali pertama Kelantan dan Terengganu bertemu dalam mana-mana perlawanan akhir.

“Saya tidak menganggap kemenangan ke atas Terengganu sebelum ini sekadar nasib kerana mereka tidak dapat menurunkan Ashaari (Shamsuddin). Kami akan membuktikan Kelantan adalah yang terbaik pada perlawanan akhir .

“Saya berpesan kepada rakan-rakan agar mengekang asakan rangkaian serangan Terengganu, terutama dengan kepulangan semula Ashaari,” kata Badhri.

Menurut Badhri, yang turut dikenali sebagai Piya, dia mahu membantu pasukannya menjulang piala yang diperkenalkan pada 1990 buat pertama kali sekali gus memadam kekecewaan final 2009 tewas kepada Selangor.

Sementara Marzuki pula optimis Terengganu mampu membawa kejuaraan, meskipun sedar pasukannya tidak memiliki kelebihan psikologi ekoran kekalahan buruk, Isnin lalu.

“Kami banyak buat kesilapan pada perlawanan itu tetapi esok (hari ini) kami tidak boleh mengulanginya dan harus memperbaiki segala kelemahan.

“Ini adalah penampilan kedua saya dalam final Piala FA, kali pertama ketika bertemu Perak pada 2004 tetapi ketika itu kami tewas 0-3, saya tidak mahu sejarah berulang lagi,” katanya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eML4MHYM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kijang sedia 'gomo' Penyu


ARKIB : 10/06/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@utusan.com.my
 
KOTA BHARU - Penampilan sulung pada perlawanan akhir Piala FA akan digunakan sebaik mungkin oleh pemain sayap lincah Red Warriors, Nurul Azuwan Roya bagi membantu pasukannya meraih kejuaraan buat kali pertama.

Nurul Azuwan atau Awe, mahu menjadikan perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil esok sebagai medan terbaik untuk membalas kepercayaan yang telah diberikan oleh pengurusan pasukan termasuk Ketua Jurulatih, Datuk M. Karathu.

Menurutnya, meskipun kali pertama beraksi pada pentas perlawanan akhir, dia tidak gentar untuk berhadapan dengan puluhan ribu penyokong lawan, yang dijangka menguasai veneu final nanti.

"Saya rasa semakin bersemangat dan tidak sabar untuk beraksi. Inilah peluang terbaik buat saya dan pasukan mencipta sejarah baru bola sepak Kelantan dengan membawa pulang kejuaraan Piala FA buat kali pertama ke bumi Kelantan.

"Selaku anak jati negeri ini, saya akan mempamerkan aksi terbaik dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan tersebut. Namun jangan terlalu yakin walaupun kita pernah menewaskan mereka 3-0 dalam saingan Liga Super Isnin lalu," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, dia yakin Kelantan mampu muncul juara sekiranya rakan-rakan sepasukan memberi tumpuan sepenuhnya dan mengikuti segala arahan yang telah ditetapkan oleh ketua jurulatih.

Anak kelahiran Seremak, Pasir Puteh itu menjangkakan, perlawanan akhir sengit dan Terengganu pastinya tidak akan memberikan laluan mudah buat Kelantan.

"Terengganu pasti akan turun bermati-matian selepas mereka tumpas kepada kita baru-baru ini. Untuk itu, saya dan rakan-rakan sudah bersedia menghadapi perlawanan ini," tegasnya.

Sementara itu, Mohd. Izuan Solahuddin yang menjaring gol dalam pertemuan menentang Terengganu, mahu menjadikan penampilan kedua pada pentas akhir Piala FA sebagai penebus kekecewaan selepas tewas kepada Selangor menerusi sepakan penalti pada 2009.

Meskipun hanya memanaskan bangku simpanan pada penampilan pertamanya, dia bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik sekiranya diberi kepercayaan menggalas tugas selaku pemain utama pada perlawanan akhir tersebut.

"Pada final 2009 saya hanya menjadi pemain simpanan sahaja, namun untuk tahun ini sekiranya diberikan kepercayaan oleh ketua jurulatih saya akan memberikan yang terbaik pada perlawanan tersebut.

"Ini peluang terbaik buat saya, jadi ia harus digunakan sebaik mungkin dengan membantu pasukan meraih kejuaraan," ujarnya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eMIkrPQx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 1 Februari 2019

Kelantan hampiri gelaran liga


ARKIB : 07/06/2011
Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
sukan@utusan.com.my
 
Pemain Terengganu, Ismail Faruqi Asha'ri (kiri) berebut bola dengan pemain Kelantan, Mohd. Shakir Shaari (tengah) dan Mohd. Abd Aziz Ismail pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu semalam. - UTUSAN/Shaifudin Mohd Nor
KUALA TERENGGANU - Kelantan terus mengorak langkah besar untuk memburu kejuaraan Liga Super buat kali pertama selepas mengecewakan Terengganu 3-0 di gelanggang lawan pada ketika saingan hanya berbaki dua perlawanan.

Malah, kemenangan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin semalam memberi kelebihan psikologi buat skuad bimbingan Datuk M. Karathu menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu di Bukit Jalil, Sabtu ini.

Namun, Kelantan masih belum boleh menarik nafas lega kerana terus dihambat rapat oleh penyandang juara, Selangor yang membuktikan kesungguhan untuk mengejar pendahulu apabila membelasah pasukan tercorot, Perlis 7-1 di Stadium Shah Alam.

Beraksi di hadapan lebih 10,000 penyokong sendiri, anak didik Irfan Bakti tidak mampu membendung asakan hebat pelawat yang diketuai penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.

Ketiadaan Ashaari Samsudin yang digantung satu perlawanan juga menjejaskan corak permainan tuan rumah sehingga mengakibatkan dua lagi penyerang iaitu Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf Mamat seakan kehilangan punca pada babak pertama.

Pelawat pula sebaliknya bijak mengawal perlawanan dan memanfaatkan peluang terhidang apabila Mohd. Izuan membuka jaringan seawal minit ketujuh setelah berlaku kekalutan di depan gawang tuan rumah yang dikawal Mohd. Sharbinee Allawee.

Bermula separuh masa kedua, tuan rumah mula menampilkan aksi yang lebih kemas, namun masih gagal memecah kebuntuan untuk memperoleh sekurang-kurang gol penyamaan, sebaliknya Norshahrul Idlan bijak menyempurnakan peluang untuk gol kedua pelawat pada minit ke-72.

Norshahrul sekali lagi menjadi duri dalam daging Terengganu apabila menghukum kealpaan tuan rumah dengan gol ketiga pada masa kecederaan, sekali gus menghapuskan sisa perjuangan skuad Penyu.

Sementara itu, Selangor garang mendahului 5-0 pada babak pertama di Shah Alam dengan Mohd. Asrarudin Putra Omar mengetuai amukan skuad Merah Kuning apabila meledakkan empat gol, manakala Rudie Ramli, Fitri Syazwan Raduan dan Mohd. Amirul Hadi Zainal masing-masing menambah satu gol.

Azmizi Azmi tidak mampu melegakan kesengsaraan Perlis biarpun berjaya memperoleh gol saguhati pelawat pada minit ke-75. Selangor kini menghambat Kelantan dengan dua mata di belakang ketika saingan berbaki dua perlawanan. Kelantan mengumpul 50 mata selepas 24 perlawanan, diikuti Selangor 48, manakala Terengganu jatuh ke tangga ketiga dengan 47 mata.

Negeri Sembilan turut mengamuk di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi apabila membelasah T-Team 4-0, bagaimanapun perlawanan semalam dicemari dengan dua layangan kad merah, yang menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan saingan dengan 10 pemain.

S. Kunalan meletakkan tuan rumah di depan seawal minit pertama permainan, sebelum Firdaus Azizul menambah dua gol pada minit ke-22 dan 42, manakala Hairuddin Omar melengkapkan gol keempat pada minit ke-46.

Dalam satu lagi saingan, Kedah memintas Perak untuk menghuni tangga keempat liga dengan 41 mata selepas menundukkan Felda United 2-1 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, pada ketika Perak hanya mampu seri 1-1 dengan Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang untuk meletakkan pasukan itu di tangga kelima.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eM4ef96L
© Utusan Melayu (M) Bhd