Rabu, 21 Oktober 2020

‘The Professor’ jadi Penasihat Teknikal Kelantan FC

HAZELEN LIANA KAMARUDIN | | 20 Oktober 2020








Nasir Yusoff
BEKAS legenda bola sepak negara, Nasir Yusoff atau The Professor dilantik sebagai Penasihat Teknikal Kelantan FC berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamburger berkata, pelantikan bekas pemain Johor itu merupakan manifestasi baharu ke arah memperkasakan lagi pasukan pada masa hadapan.
"Saya cukup optimis beliau mampu menggalas tanggungjawab untuk membantu melonjakkan lagi Kelantan FC ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nama Nasir bukanlah asing dalam kalangan peminat bola sepak negara apabila pernah membantu skuad kebangsaan bermula tahun 1982 sehingga 1994 dengan melakukan 86 penampilan bersama Harimau Malaya.
Bukan itu sahaja, Nasir pernah terlibat dalam pembangunan akar umbi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurutnya, pemilihan Nasir dibuat berpandukan kepada pengalaman luas yang dimiliki oleh anak kelahiran Johor itu dalam bola sepak.
Katanya, Nasir juga akan memainkan peranan untuk pembangunan pasukan di peringkat akar umbi.
Zamburger berkata, khidmat The Professor turut ditagih untuk membantu TRW mengharungi saingan Piala Malaysia musim ini.
Katanya, TRW telah membuat persediaan dari segi mental dan fizikal dalam mengharungi saingan Piala Malaysia.
"Saya optimis kejutan mampu dilakukan berpandukan kepada persembahan pemain dalam saingan Liga Perdana baru-baru ini.
"Saya harap pemain terus kekal fokus untuk saingan Piala Malaysia nanti dan bersedia melakukan kejutan," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/106185/BERITA/Sukan/The-Professor-jadi-Penasihat-Teknikal-Kelantan-FC
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Khamis, 15 Oktober 2020

Individu berpengalaman dalam bisnes kendali Kelantan FC

Oktober 14, 2020 @ 10:54pm



Skuad KUFC kembali ke padang latihan hari ini. Persiapan Sang Kijang Hijau sementara menanti majlis undian dan sepak mula Piala Malaysia 2020, November ini. - Foto FB Kelantan United Football Club

KOTA BHARU: Individu yang mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan akan membarisi struktur pentadbiran pasukan Kelantan FC untuk mengukuhkan 'kantung' kewangan pasukan itu, dalam menghadapi cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim depan serta musim berikutnya.

Pengurus Operasi Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd, Jamilulail Jamiludin berkata, kaedah itu bakal dilakukan selari dengan kemahuan pemilik pasukan Norizam Tukiman, iaitu selaras dengan konsep penswastaan pasukan.

"Individu yang akan membarisi pentadbiran pasukan Kelantan FC sudah dikenal pasti oleh Norizam dan pihaknya yakin individu itu mampu membantu pasukan, dalam usaha memperkukuhkan kedudukan kewangan TRW Sdn.Bhd selepas ini dan Kelantan FC," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jamilulail berkata, perkara ini turut menjadi penambahbaikan baharu yang mahu dilakukan pemilik pasukan, bagi mengembalikan kecemerlangan imej pasukan tersebut di pentas bola sepak negara.

Selain itu, Jamilulail berkata pihaknya sedang mengenal pasti beberapa lokasi terbaik untuk dibangunkan sebagai pusat latihan kepada pasukan itu.

"Pusat latihan merupakan perkara utama yang dititik beratkan oleh pemilik Kelantan FC dan kami berharap perkara ini dapat direalisasikan secepat mungkin, bagi memastikan perjalanan Kelantan FC lebih baik selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan Kelantan FC dan KAFA telah berpisah, apabila berlaku penswastaan pasukan pada saingan Liga M musim depan.

"Kami akui ramai penyokong yang masih keliru dengan isu penswastaan, di mana mereka beranggapan Kelantan FC masih mempunyai hubungan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

"Kelantan FC dan KAFA masing-masing sudah menjadi entiti yang berbeza, selepas ini penyokong tidak lagi keliru peranan yang dimainkan oleh Kelantan FC dan KAFA," katanya.

Kelantan The Red Warriors (TRW) ketika ini diuruskan sepenuhnya oleh TRW Sdn Bhd, apabila Norizam membeli 100 peratus saham syarikat itu daripada KAFA pada September lalu. - BERNAMA. SUMBER-BH ONLINE

Rabu, 14 Oktober 2020

KAFA janji langsai hutang

MyMetroArena



BERNAMA

Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk melangsaikan baki tunggakan hutang lapuk sekiranya wang hasil penjualan saham Syarikat Team The Red Warriors (TRW) Sdn Bhd kepada usahawan Norizam Tukiman tidak mencukupi.

Setiausaha Agung KAFA Husin Deraman berkata, bayaran penjualan saham adalah sebanyak RM6.8 juta mengikut perjanjian yang termaktub semasa proses pengambilalihan pasukan Kelantan, antara KAFA dengan Norizam.

"Jumlah RM6.8 juta itu membabitkan pelbagai usaha untuk mendapatkan lesen bagi memastikan pasukan Kelantan boleh melayakkan diri bersaing di Liga Malaysia (Liga M) musim depan. Keseluruhan hutang KAFA berjumlah RM8 juta dan kami tidak akan lepas tangan dalam urusan ini," katanya.

Sebelum ini, Norizam dilaporkan hanya melunaskan bayaran hutang TRW berjumlah RM6.8 juta sahaja sebagaimana dalam perjanjian antara kedua-dua pihak dan selebihnya KAFA perlu bertanggungjawab.

Husin berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk melangsaikan baki hutang berkenaan yang membabitkan stadium dan beberapa agensi berkaitan.

"Ketika ini bayaran tersebut dibuat secara berperingkat dan perlu dilunaskan sebelum penghujung Disember ini," katanya.

Pasukan Kelantan yang beraksi dalam saingan Liga Perdana ketika ini diuruskan oleh TRW manakala KAFA pula menguruskan program pembangunan sukan bola sepak di Kelantan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 9:35 PM

Ahad, 11 Oktober 2020

KUFC idam lakar kejutan di Piala Malaysia

  SUKAN TERKINI



KUFC idam lakar kejutan di Piala Malaysia

Oleh KOSMO!

11 Oktober 2020, 8:49 pm

Oleh YATIMIN ABDULLAH

PENGENDALI Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC), Nazrulerwan Makmor mahu pasukannya melakukan kejutan dalam saingan Piala Malaysia bermula 20 Oktober nanti.

Nazrulerwan berkata, meskipun bakal berdepan ujian getir, namun dia tetap optimis mampu melakukan kejutan dengan barisan pemain yang dimiliki oleh KUFC.

Saya faham, kesemua pasukan yang layak dalam saingan Piala Malaysia mempunyai kualiti dan berada dalam kelasnya tersendiri.

Bagaimanapun, dalam bola sepak semua perkara boleh berlaku dan kita cuba bersaing dengan semua pasukan yang layak dengan sebaik mungkin,” katanya.

Nazrulerwan memberitahu, ruang rehat sementara yang ada ketika ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencari resepi terbaik dalam mengharungi saingan berprestij itu nanti.

Katanya, dia mahu pemain KUFC kekal fokus dan mengikut segala perancangan yang telah direncana menjelang aksi itu nanti.

Mengulas mengenai kejayaan layak ke pentas Piala Malaysia, Nazrulerwan menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian terbaik KUFC musim ini.

Katanya, ia adalah hasil komitmen tinggi semua pemain termasuk pihak pengurusan KUFC yang mahu pasukan itu layak ke Piala Malaysia.

KUFC layak ke Piala Malaysia selepas merakamkan kemenangan tipis 2-1 keatas Selangor II pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat lalu.

Selepas mengharungi 11 perlawanan KUFC yang membuat penampilan sulung dalam saingan Liga Perdana menduduki tangga kelapan dengan mengumpul 12 mata. SUMBER-K! ONLINE

Rabu, 7 Oktober 2020

Norfarhan puas akhirnya dakap trofi

SHAH ALAM - Setelah sekian lama mempamer aksi yang cemerlang pada saban tahun, akhirnya Mohd. Norfarhan Muhammad merangkul anugerah Penyerang Terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2013 100 Plus-Astro Arena-FAM buat kali pertama.


Tiada perkara lain yang dilafazkan oleh bakal pemain Terengganu itu pada musim depan, selain rasa bersyukur dengan kemenangan berkenaan selain melabelkan kemenangan itu sebagai hadiah perpisahan kepada Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2014.

''Trofi ini saya dedikasi kepada seluruh ahli keluarga saya dan paling utama kepada seluruh warga The Red Warriors yang tidak pernah putus-putus sama ada dalam atau luar padang memberikan sokongan padu.

''Kemenangan ini adalah pelengkap saya menamatkan kerjaya saya bersama Kelantan sebelum berhijrah ke pasukan baru saya, Terengganu bagi menghadapi saingan musim depan, " katanya.

Norfarhan berjaya mengetepikan saingan yang kuat daripada beberapa pemain kebangsaan seperti pemenang tiga kali Anugerah Pemain Paling Bernilai, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd. Amri Yahyah selain pemain veteran, Hairuddin Omar, bintang Pahang, Azamuddin Akil dan pemain Lions XII, Shahril Ishak.

Sementara itu, Baihakki Khaizan yang dinobat sebagai Pertahanan Terbaik mengakui, nasib mungkin memihak dirinya apabila mengetahui namanya diangkat sebagai pemenang memandangkan persaingan yang cukup sengit, selain turut mengumumkan dia akan bersama Johor Darul Takzim (JDT) dan bukannya Johor DT II seperti mana diketahui sebelum ini.

''Dalam setiap perlawanan saya sentiasa berikan yang termampu dan kebetulan saya berjaya membantu pasukan dalam setiap perlawanan, itu mungkin menjadikan saya diangkat sebagai pemenang.

''Untuk musim depan, saya akan bersama JDT, perkhabaran ini baru saya terima beberapa hari lalu dan kejayaan ini pasti akan menjadi loncatan semangat saya bagi meraih tempat dalam kesebelasan utama, " katanya.

RUJUKAN:http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131201/su_02/Norfarhan-puas-akhirnya-dakap-trofi. © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 6 Oktober 2020

Kelantan, Negeri Sembilan kongsi mata



PEMAIN sayap Kelantan, Mohamad Amirul Shafik (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini. - ORANG MUDA/HAZMIN HUSIN

Oleh YATIMIN ABDULLAH

3 October 2020, 11:09 pm

KOTA BHARU: Kelantan terlepas peluang meraih kemenangan apabila diikat 2-2 oleh Negeri Sembilan dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi.

Penyerang import Negeri Sembilan, Igor Carneiro menjadi penyelamat pasukan apabila bijak mencuri peluang di depan pintu gol Kelantan untuk menyamakan kedudukan menjadi 2-2 pada minit ke-87.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan awal pelawat menerusi sepakan penalti pada minit ke-14 yang tenang disempurnakan oleh Jose Neto untuk menewaskan Mohamad Fikri Che Soh di gawang gol Kelantan FC.

Pemain muda The Red Warriors (TRW), Amirul Shafik Che Soh meredakan seketika tekanan pasukannya apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-28 untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Selang tujuh minit kemudian, Mohammad Amirul Shafik hampir menggandakan jaringan TRW namun rembatan derasnya gagal menepati sasaran.

Bersambung babak kedua, TRW memperagakan aksi lebih bertenaga dengan asakan bertali arus ke kubu pelawat namun dihampakan oleh ketumpulan penyudah.

Keghairan Kelantan FC memburu jaringan hampir dihukum Negeri Sembilan pada minit ke-55, namun Mohamad Fikri menjadi wira pasukan apabila berjaya menepis tandukan silang pemain pelawat Izaaq Izhan Yuswardi.

Minit ke-74, pemain gantian Muhammad Hakimi Abdullah yang tidak dikawal ketika itu terlepas peluang meledakan jaringan kedua Kelantan FC apabila rembatannya berjaya diselamatkan oleh pemain pertahanan pelawat.

Tindakan Che Mohammad Safwan Hazman Che Hassan menjatuhkan Amirul Shafik pada minit ke-81 mengundang padah apabila pengadil Ahmad Zuhadi Dzulkifli memberikan sepakan penalti untuk TRW.

Perancang tengah sensasi TRW, Nik Akif Syahiran Nik Mat tenang menyempurnakan sepakan penalti menerusi rembatan padu ke sudut sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan untuk menewaskan Muhamad Hamka Daud pada minit ke-82.

Bagaimanapun jaringan itu hanya bertahan selama lima minit apabila Igor Carneiro menyelamatkan Negeri Sembilan menerusi keputusan 2-2.SUMBER SUKAN UM ONLINE