Isnin, 6 April 2015

KAFA intai pemain import baharu - Annuar

ISNIN, 6 APRIL 2015 @ 11:53 AM
KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedang meneliti beberapa pemain import baharu untuk dibawa masuk selepas prestasi hambar dipamerkan oleh pemain import sedia ada dalam pasukan itu.

Presidennya Tan Sri Annuar Musa, berkata pasukan itu memerlukan perubahan dari segi pemain import sekiranya Kelantan mahu terus mencabar kejuaraan pada musim ini.

"Kita sedang membawa beberapa lagi pemain import, hari itu kita sudah bawa dua pemain iaitu Gonzalo Bonafina dan Federico Fioramonti dari Argentina dan kita tidak puas hati.

"Dua lagi pemain sudah sampai iaitu pemain kebangsaan Benin, Adjai Moussa dan pemain kebangsaan Nigeria, Austin Amutu. Kita juga membuat jemputan kepada pemain dari Brazil dan Macedonia, mereka akan sampai (dalam masa terdekat)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, malam tadi.



Beliau berkata kedudukan pemain import sedia ada akan dinilai apabila pasukan Kelantan bertemu Sime Darby dalam saingan Piala FA, esok.

"Dalam minggu ini kita akan tengok perlawanan dengan Sime Darby untuk kita buat keputusan muktamad tentang kedudukan pemain import kita.

"Ini untuk memberi keadilan (untuk pemain import) dan selepas itu KAFA akan buat satu ketetapan, kalau keadaan memerlukan kita menukar (pemain import), kita tidak teragak-agak kerana kita mahu pasukan jadi kuat," katanya.

Sebelum ini, jurulatih baharu Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah dilaporkan berkata pasukan itu perlu membuat rombakan barisan pemain import sedia ada bagi memantapkan lagi kesebelasan utama pasukan itu.

Jendela perpindahan pemain dibuka bermula April ini dan Kelantan kini memiliki empat pemain import iaitu Emmanuel Kenmogne dari Cameroon, Isaac Pupo dari Liberia, Jonathan McKain dari Australia dan Erwin Carillo dari Colombia.

Pada musim ini, Kelantan mempamerkan aksi hambar dalam saingan Liga Super selepas hanya mampu mencatatkan dua kemenangan dalam enam perlawanan dan kini berada pada kedudukan kelapan liga dengan tujuh mata.

Ketika ditanya adakah tiket perlawanan pasukan Kelantan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV di sini akan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), Annuar berkata tiket perlawanan akan dikenakan cukai berkenaan.

"Kalau kita nak serap CBP, kita pun sudah memang miskin kalau tidak bertambah miskin ditambah beli pemain baharu, kos lagi.

"Jadi kita tidak boleh bermurah hati dari segi itu (CBP) tetapi kalau ingin (harga) dinaikkan macam mana, astaka berapa dan terbuka berapa, anggota jawatankuasa (AJK) KAFA akan putuskan tetapi telahpun disahkan tiket ada CBP," katanya. – Bernama

SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE 6.4.2015

Khamis, 2 April 2015

Apek tak rela bolos!

Oleh Azlan Hafeedz-sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Penjaga gol kebangsaan Mohd Khairul Fahmi Che Mat, 26, menggesa barisan pertahanan Kelantan supaya bersedia menghadapi jentera serangan Terengganu ketika kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.
Pemain yang lebih mesra dengan panggilan Apek itu menganggap Terengganu bukan calang-calang pasukan kerana skuad kendalian Abd Rahman Ibrahim itu mampu bangkit pada saat akhir walaupun ketinggalan.
Berdasarkan rekod pertemuan lalu, kedua-dua pasukan sentiasa bersaing sengit sekali gus mengakibatkan perlawanan bertambah ‘panas’.
Namun, kelebihan bermain di gelanggang sendiri selain dibantu sokongan peminat pasti dimanfaatkan sepenuhnya skuad Penyu dalam usaha memburu kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam liga.
Apek berkata, memandangkan Terengganu disenaraikan sebagai antara pasukan terhebat musim ini, dia bersama barisan pemain Kelantan akan tetap memberi komitmen tinggi bagi memastikan gawang mereka tidak dibolosi.
Katanya, tempoh rehat dua minggu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih baru Mohd Azraai Khor Abdullah.
“Saya sedar, Terengganu memiliki jentera serangan yang berbisa dan licik namun itu bukan alasan untuk kami menyerah kalah.
“Saya nekad mempertahankan pintu gol Kelantan daripada dibolosi dan berjanji berjuang bermati-matian dalam memburu tiga mata,” katanya.
Sementara itu, pertahanan Kelantan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, 25, berkata, dia tidak kekok beraksi di mana-mana posisi pertahanan namun mengakui lebih gemar bermain di sebelah kiri.
Katanya, dia bersama pemain pertahanan lain seperti Jonathan McKain, Nor Hafiz Zamani Misbah dan Mohd Fitri Omar akan berusaha mengurangkan kesilapan bagi mengelak Terengganu memperoleh sepakan percuma kerana tuan rumah memiliki dua pakar sepakan percuma.
“Siapa saja yang diturunkan, sama ada saya atau Mohd Noor Hazrul, Mohd Zairul Fitree Ishak dan Mohd Farisham Ismail tidak penting. Yang penting, setiap pemain mesti konsisten serta fokus untuk mengawal benteng daripada dibolosi.
“Jika kami berjaya mengikuti segala arahan jurulatih, pasti peluang menang pada malam itu cerah,” katanya.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/40879#sthash.NEriI8oB.dpuf