Sabtu, 9 Januari 2016

Vida Beauty taja Kelantan

Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI
 
DR. VIDA (kiri) menyerahkan syarat perjanjian kepada Annuar selepas mengadakan perbincangan di Bangunan Mara, Kuala Lumpur semalam.

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) kini boleh menarik nafas lega selepas syarikat kosmetik, Vida Beauty bersetuju untuk menaja pasukan Kelantan mengharungi saingan Liga Super musim ini.

KAFA telah bersetuju dengan syarat-syarat yang dikenakan syarikat tersebut pada satu perjumpaan khas antara presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dan pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida di Kuala Lumpur semalam.

Perjanjian penajaan selama dua musim bernilai RM16 juta itu bakal dimeterai selepas spekulasi mengenai perkara tersebut berlarutan hampir dua minggu.

Justeru, pengumuman rasmi berhubung perjanjian tersebut akan dilakukan pada

15 Januari ini di Bangunan Mara, Kuala Lumpur.

Ketika ditemui, Annuar menjelaskan bahawa dia menyambut baik niat murni pengasas syarikat tersebut, Dr. Vida yang mahu meletakkan bola sepak Kelantan kembali digeruni.

“Dengan kerjasama ini, saya yakin pengalaman Dr. Vida dalam bidang pemasaran dapat memberi banyak manfaat kepada Kelantan,” kata Annuar kepada pemberita selepas perbincangan bersama Dr. Vida di Bangunan Mara, Kuala Lumpur semalam.

Dalam perbincangan hampir dua jam itu juga, Annuar turut mengumumkan pelantikan Dr. Vida sebagai Penasihat Kehormat KAFA.

“Ideanya (Dr. Vida) diharap mampu membantu KAFA dalam memajukan bola sepak Kelantan. Beliau akan bertindak sebagai penasihat kepada KAFA dan pasukan Kelantan,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Annuar turut menjelaskan kerjasama tersebut merupakan hadiah paling bermakna buat bola sepak Kelantan serta penyokong setia The Red Warriors.

Menurut Annuar, kerjasama tersebut pastinya memberi kelegaan kepada KAFA yang sering berdepan kekangan kewangan pada setiap musim.

“Segala syarat serta permintaan daripada syarikat tersebut hanya akan diumumkan pada 15 Januari nanti.”

Pada saingan musim lalu, Kelantan menduduki tangga kesembilan Liga Super dengan 28 mata manakala pada kempen Piala Malaysia, mereka tersingkir pada peringkat kumpulan.


Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3wjWymePe Hakcipta terpelihara