Ahad, 19 Mac 2017

Hardi pastikan jaringan banyak

ARKIB : 28/12/2001
Oleh ZAIDI AWANG HAMAT
PENYERANG utama Kelantan, Mohd. Hardi Ahmad berazam untuk menjaringkan lebih banyak gol musim depan sekali gus meletakkan pasukan itu ke tahap lebih baik dalam persada bola sepak negara.

Hardi, 23, yang menjaringkan 11 gol musim lalu berkata, hasrat tersebut akan dapat dicapai berdasarkan persefahaman lebih baik dengan rakan-rakan penyerang terutama pasangannya, Mohd. Faturazi Rozi.

Katanya, setelah dua musim bersama Faturazi, dia bagaikan sudah serasi mengenai kehendak serta hantaran rakannya itu.

``Saya percaya musim depan, persefahaman menjadi lebih baik antara kami setelah bersama sejak beraksi dalam pasukan pelapis Kelantan,'' katanya ketika ditemui selepas menjalani latihan di Padang Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu semalam.

Hardi yang tetap merendah diri itu memberitahu, keupayaan Kijang sudah tentu akan lebih mantap dengan kehadiran beberapa pemain baru.

Katanya, kehadiran Mohd. Nor Derus, Rozmin Musa, Zaidi Mat Ail serta pemain Thailand, Syed Bukhari akan memberi kekuatan kepada semua posisi pasukan.

Beliau berkata, walaupun kehilangan bekas pemain kebangsaan, Anuar Abu Bakar yang beralih angin ke Pulau Pinang, turut dirasakan, namun beliau yakin kekurangan itu dapat diatasi oleh pemain-pemain yang ada terutama ketua pasukan musim lalu, Tuan Kamree Tuan Yahya.

``Saya berazam untuk memberikan persembahan terbaik musim ini sebagai menghargai sumbangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan penyokong setia Kelantan,'' katanya.

Ditanya mengenai penghijrahan beberapa pemain musim lepas ke pasukan lain, Hardi berkata, perkara itu adalah hak pemain-pemain terbabit.

Katanya, sebagai pemain profesional setiap pemain berhak untuk membuat pilihan sendiri demi kepentingan dan masa depan mereka.

Beberapa pemain musim lalu yang berhijrah ke pasukan lain adalah Anuar Abu Bakar, Mohd. Nazreen Tee Abdullah, Nik Ahmad Fadly Nik Leh, Roslisham Mohd. Nor, Rezal Zamberi Yahya, Baharuddin Ali, Nik Musanif Nik Kob dan Armin Shariff.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bq6xkUKs

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan