Isnin, 6 Mac 2017

Kelantan juara Perdana Dua

ARKIB : 29/07/2000
PARA penyokong Kelantan bersorak gembira selepas pasukan tuan rumah menjuarai Piala Liga Perdana Dua dengan menewaskan Kedah 3-1 pada perlawanan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di Kota Bharu, semalam. - Gambar NIDZUWAN ZAINAL ABIDIN.

KELANTAN menjulang Piala Liga Perdana Dua apabila menamatkan cabaran di tangga teratas dengan 36 mata selepas menewaskan Kedah 3-1 pada perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu, semalam.

Pesaing terdekat, Melaka sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Malay Mail Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras, untuk kekal di tangga kedua dengan 33 mata.

Begitupun, Kedah yang mengekalkan kedudukan di tangga ketiga, berpeluang mengiringi Kelantan dan Melaka ke persaingan Piala Malaysia musim ini yang memperuntukan tiga tempat teratas dari Perdana Dua.

Namun kelebihan tetap memihak kepada Kelantan dan Melaka untuk mengisi tempat secara automatik ke Liga Perdana Satu musim depan.

Kelantan membolot hadiah RM75,000 selaku juara liga manakala Melaka yang muncul naib juara membawa pulang RM50,000.

Pada perlawanan semalam, Kedah terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Mohd. Nidzam Adzhar Yusuf seawal minit keenam permainan.

Kelantan bangkit menguasai permainan di babak kedua dan Annuar Abu Bakar berjaya menyamakan kedudukan di minit ke-50.

Jaringan itu membangkitkan semangat pemain Kelantan yang menambah gol kedua hasil jaringan Zool Ihsan Yunus, hanya seminit selepas itu.

Hasrat Kelantan untuk menjulang gelaran juara terlaksana apabila Nik Mohd. Musanif Nik Cob menyumbat masuk gol kemenangan pada minit ke-87.

Sementara itu, keputusan seri 2-2 Melaka dan Malay Mail Kuala Lumpur menyaksikan pasukan dari Kuala Lumpur itu tersingkir dari persaingan Perdana Dua musim depan selepas kekal di tangga ketiga tercorot.

Perlawanan semalam menyaksikan Melaka menguasai babak pertama perlawanan tetapi gagal menyempurnakan beberapa peluang untuk mendahului tuan rumah.

Sebaliknya, KL Malay Mail bangkit selepas masa rehat dan mengejutkan pasukan pelawat dengan gol sulung menerusi S. Sangar pada minit ke-66.

Namun, Melaka tidak menunggu lama untuk menghasilkan gol penyamaan setelah penyerangnya, Mohd. Ariffadillah Nordin menyepak masuk bola dari hujung kotak penalti pada minit ke-67.

KL Malay Mail sekali lagi mendahului hasil sepakan penalti U. Suresh pada minit ke-76 setelah Sangar dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pertahanan pelawat, V. Sivam.

Ketika harapan KL Malay Mail untuk mencatatkan kemenangan sekali gus mengelakkan diri daripada tersingkir semula ke Liga FAM nampak cerah, kesilapan pertahanannya, K. Viajatheran menjadi pemusnah.

Viajatheran menjatuhkan Mohd. Ariffadillah dalam kotak penalti, memaksa pengadil dari Pulau Pinang, Mohd. Nazri Abdullah menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-85.

Ketua pasukan Melaka, S. Arumugam dengan tenang menyepak masuk gol kedua pasukannya sekali gus menghampakan harapan tuan rumah.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4aYb5mcHo © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan