ARKIB : 07/11/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Kelantan tidak
gentar dengan rekod tanpa kalah Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia
apabila kedua-dua pasukan berentap pada perlawanan akhir merebut trofi bola
sepak tempatan paling berprestij di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Begitu juga kekebalan benteng
pertahanan Negeri Sembilan yang hanya dua kali dibolosi di peringkat kumpulan
sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia tidak melemahkan semangat jentera
serangan Red Warriors.
Sebaliknya, Kelantan sudah
bersedia untuk meleburkan rekod gah Negeri Sembilan hari ini, seterusnya
membawa Piala Malaysia ke Kelantan buat pertama kali.
Bagi Presiden Persatuan Bola
Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa, pertembungan akhir malam ini satu
perlawanan berbeza berbanding saingan peringkat sebelum ini.
Jelasnya, ini kerana bahang
perlawanan akhir tidak sama seperti saingan peringkat kumpulan atau kalah mati.
''Saya akui Negeri Sembilan satu
pasukan yang kuat dan berpengalaman. Mereka tidak pernah kalah di peringkat
kumpulan atau kalah mati (Piala Malaysia).
"Hanya dua kali dibolosi
oleh Johor dan Terengganu. Jurulatih (Wan Jamak Hassan) sudah tiga musim
menerajui Negeri Sembilan.
''Mereka juga tidak pernah
tercicir dari saingan Liga Super sejak ia diperkenalkan. Memang mereka lebih
baik.
''Namun, kita akan beraksi esok
(malam ini) dengan minda yang betul menjurus ke arah membawa pulang Piala
Malaysia ke bumi Kelantan buat pertama kali.
"Inilah yang saya harapkan
kepada para pemain esok. Bagi saya final esok bukan sekadar percaturan
taktikal, tetapi lebih kepada pertempuran minda di kalangan pemain kedua-dua
pasukan,'' katanya selepas majlis penyerahan imbuhan sebanyak RM100,000 oleh
Badan Perhubungan UMNO Kelantan kepada KAFA di sini, semalam.
Cek disampaikan oleh Pengerusi
Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.
Tambah Annuar, jangkaan kehadiran
lebih 60,000 penyokong Kelantan di Stadium Nasional hari ini bakal merangsang
permainan Kelantan.
''Saya jangkakan venue perlawanan
akhir esok akan dibanjiri hampir 100,000 penonton kedua-dua pasukan.
''Ini menyebabkan para pemain
terpaksa menyesuaikan minda, bukan sahaja debaran ketika perlawanan tetapi
tekanan untuk merealisasikan harapan peminat dari tempat duduk penonton,''
katanya.
Sementara itu, Mustapa berkata,
sumbangan yang dihulurkan merupakan perbelanjaan skuad Kelantan yang akan
bercuti selepas ini, sebagai ganjaran setelah berjaya melangkah ke final.
''Sumbangan ini diharapkan akan
menaikkan semangat para pemain Kelantan pada perlawanan akhir nanti,'' katanya.
Ditanya mengenai destinasi
percutian skuad Kelantan, Annuar menjelaskan, beliau memberi peluang kepada
para pemain untuk menentukan ke mana mereka mahu bercuti.
''Mereka boleh ke mana sahaja,
selagi ada penerbangan yang boleh sampai ke tempat yang mereka mahukan,''
katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YcEnGImJ
© Utusan Melayu (M) Bhd