Rabu, 30 Januari 2019

Kelantan kekal teraju


ARKIB : 04/05/2011
KUALA LUMPUR - Ketua pasukan, Badri Radzi memastikan Kelantan kekal sebagai peneraju carta bola sepak Liga Super 2011 dengan gol tunggalnya pada minit ke-45 yang menewaskan Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang, semalam.

Tandukan tepatnya daripada sepakan sudut terus membawa Red Warriors mengatasi pencabar di tempat kedua, Selangor dengan kelebihan perbezaan gol, 37 berbanding 23 walaupun masing-masing terikat 36 mata.

Selangor pula menewaskan Kuala Lumpur 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hasil jaringan Rudie Ramli pada minit ke-11 dan 90 dan sepakan bebas ketua pasukan negara, Safiq Rahim, dua minit selepas rehat.

Di tempat ketiga, Terengganu terus mengejar rapat Red Giants walaupun cuma dipisahkan satu mata dalam carta liga selepas mencipta kemenangan 3-1 ke atas Perlis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Biarpun ketinggalan dengan gol pemain pelawat, Nik Shahrul Anizam Mohamad pada minit ke-17, tuan rumah bangkit tetap menggenggam tiga mata menerusi dua gol Abdul Manaf Mamat (54 dan 76) serta Ashari Samsudin (67).

Dua gol Hairuddin Omar selain satu daripada Khairul Ridzwan pula menyerlahkan kebangkitan Negeri Sembilan dengan menewaskan Perak 3-1 sekali gus menunda hajat pelawat untuk melonjak ke tangga keempat.

Kemenangan anak buah baru Azraai Khor Abdullah dengan gol minit ke-33, 55 dan 72 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban ini turut membolehkan Si Rusa memperbaiki tiga kedudukan dari tangga ke-11.

Perak cuma beroleh gol tunggal sagu hatinya hasil jaringan penyerang kontroversi tetapi masih berbisa, Razali Umar Kandasamy pada masa kecederaan babak kedua hasil hantaran lintang dari sebelah kanan.

Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5e9xWpICB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kelantan pintas Selangor nasib Perlis tidak berubah


ARKIB : 01/05/2011
KUALA LUMPUR - Kelantan mengambil alih teraju Liga Super daripada Selangor apabila mengalahkan Kuala Lumpur 2-0 pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammed V, semalam.

Jaringan ketua pasukan Mohd. Badri Radzi pada minit ke-24 dan S. Chanturu pada minit ke-79 memastikan skuad Datuk M. Karathu sama 33 mata dengan Selangor, yang hampir melepaskan teraju liga kelmarin.

Namun, Kelantan yang turut memintas pasukan di tangga kedua Terengganu, memintas Selangor berdasarkan kelebihan jaringan.

Perlawanan hambar menghiasi pertembungan T-Team dan Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu menyebabkan keputusan terikat tanpa jaringan.

Felda United dan Negeri Sembilan juga berkongsi mata di Stadium Bola Sepak Kuala, Cheras apabila terikat 2-2.

Negeri Sembilan menolak tuah untuk mengutip tiga mata apabila mendahului 2-0 menerusi Mohd. Shukor Adan minit ke-43 dan Mohd. Firdaus Azizul empat minit kemudian.

Namun, Felda bangkit menerusi jaringan bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof pada minit ke-57 dan Mohd. Lot Hassan memberikan gol penyamaan pada minit ke-84.

Di utara tanah air, skuad Singa Utara, Perlis terus dirundung malang apabila kalah lagi, kali ini 1-3 kepada pasukan Harimau Muda A di Stadium Utama, Kangar.

Perlis yang mendapatkan sentuhan jurulatih baru dari Hungary, Janos Krecska yang memulakan tugasan pertama semalam, gagal mengelak kekalahan terbaru setelah kalah 1-2 kepada Pahang minggu lalu dan 0-4 kepada Kelantan sebelum itu.

Di Stadium JCorp, Pasir Gudang pasukan berstatus kelab, Johor FC tidak berdepan masalah mengutip tiga mata penuh apabila menang selesa 3-0 ke atas Sabah.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5e99ftZ00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Karathu tidak mahu pemain dibuai mimpi


ARKIB : 22/04/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Biarpun masih segar dengan kejayaan membenam Perlis 5-1 Selasa lalu, ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu mengingatkan pemainnya supaya tidak terus dibuai 'mimpi indah' ketika melayan kunjungan Singa Utara dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, malam ini.

Beliau menganggap pertemuan malam ini tidak boleh dipandang mudah, sebaliknya mahu Red Warriors berwaspada dengan kekuatan pemain muda yang dimiliki oleh Singa Utara.

"Memang kita perlu mencari gol awal untuk menaikkan semangat pasukan dan juga memberi tekanan kepada pasukan lawan.

"Namun, harus diingat kita jangan bagi ruang kepada mereka untuk bergerak bebas. Saya fikir gol pertama nanti mampu mengubah rentak permainan kita dalam pertemuan ini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambahnya, ini merupakan peluang terbaik Kelantan untuk mengutip tiga mata di gelanggang sendiri setelah menang besar di Kangar tempoh hari dan mahu pemain meneruskan rentak cemerlang.

"Pertemuan ini harus dimanfaatkan sebaiknya oleh barisan pemain Kelantan. Mana-mana pemain yang diturunkan tidak boleh melakukan kesilapan. Saya mahu semua pemain memberikan komitmen terbaik," ujar Karathu.

Beliau juga mahu pemain-pemain tampil lebih 'bernafsu' terutama ketika berada di hadapan pintu gol Perlis kerana jumlah jaringan gol boleh mempengaruhi kedudukan sesebuah pasukan untuk bergelar juara.

Ditanya mengenai percaturan taktikal bagi menghadapi Singa Utara, Karathu berkata, beliau sekali lagi bersedia menurunkan barisan yang sama ketika diturunkan dalam aksi di Kangar.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz5e6S6CrOP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tonggak kembali julang Kelantan


ARKIB : 21/04/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
 
Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (depan) mengelak asakan pertahanan Perlis, Mohd. Hafiszuan Salehuddin pada perlawanan Liga Super di Stadium Utama Negeri di Kangar, kelmarin. - UTUSAN/Faizal Abu Hassan

KOTA BHARU - Datuk M. Karathu menyifatkan kemenangan besar 5-1 ke atas Perlis di Stadium Utama, Kangar dalam aksi Liga Super kelmarin, cukup bermakna buat selepas hambar dalam dua perlawanan sebelum ini.

Menurut ketua jurulatih Kelantan itu, kemenangan tersebut menjadi titik tolak kebangkitan Red Warriors untuk perlawanan pusingan kedua Liga Super, yang bermula esok.

"Saya berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan oleh pemain. Kemenangan ini amat berharga buat kami dalam usaha merapatkan jurang mata dengan dua pasukan di tangga teratas liga.

"Aksi sebegini mesti diteruskan jika mahu meneruskan tekanan ke atas pencabar terdekat. Ini merupakan kemenangan kedua kami di tempat lawan selepas menumbangkan Selangor pada perlawanan pembukaan liga awal Januari lalu," katanya semalam.

Karathu mengakui kemenangan ke atas Perlis dibantu semangat berpasukan di kalangan pemain, selain kembalinya tiga pemain tonggak iaitu Norshahrul Ildan Talaha, Daudsu Jamaluddin dan Mohd. Shakir Shaari.

Beliau memuji ketua pasukan Mohd. Badri Razhi yang kembali dengan sentuhan berbisa apabila meledak jaringan hatrik.

"Saya gembira dengan prestasi Mohd. Badri kerana dia menunjukkan peningkatan yang baik selepas direhatkan dalam beberapa perlawanan lalu,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5e6PfaA4E
© Utusan Melayu (M) Bhd

Prestasi Kelantan buat Karathu resah


ARKIB : 18/04/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Kegagalan Kelantan memungut tiga mata ketika melayan kunjungan Sabah dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV kelmarin mengundang resah ketua jurulatihnya, Datuk M. Karathu.

Tanpa berselindung, Karathu mengakui keputusan seri tanpa jaringan dengan skuad Badak itu cukup perit untuk diterima selepas pasukannya dibelasah 0-4 oleh Perak minggu lalu.

Menurutnya, kekalahan tersebut memberikan tamparan hebat buat pemain Kelantan yang dilihat tertekan apabila seringkali gagal memanfaatkan beberapa peluang dimiliki.

"Memang diakui ia memberikan tekanan kepada pasukan dan saya percaya mereka beraksi dalam keadaan tertekan. Inilah dunia bola sepak, namun kita kena bersedia dengan situasi ini.

"Begitupun mereka berjaya bangkit di separuh masa kedua dan berjaya mencipta beberapa peluang terbaik untuk menghasilkan gol, namun apa boleh buat nasib tidak menyebelahi kita," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5e68ztEhh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 29 Januari 2019

Dibelasah Perak 0-4, Kelantan turun takhta

ARKIB : 13/04/2011
 
Pemain Perak, Akmal Rizal (kiri) dihalang pemain Kelantan, Mohd. Farisham Ismail pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak, semalam. – UTUSAN/Mohd. Najib Mohd. Nor

KUALA LUMPUR – Perak membuktikan bisa di gelanggang sendiri apabila membelasah Kelantan 4-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.

Kekalahan tersebut menyebabkan skuad Datuk M. Karathu terpaksa menyerahkan takhta liga kepada Selangor, yang menang 1- 0 ke atas Felda United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Lebih malang kekalahan tersebut menyebabkan Kelantan tercicir ke tangga keempat di belakang Selangor, Perak dan Terengganu.

Pada pertembungan hangat di Ipoh, anak buah Norizan Bakar garang apabila meraih gol pembukaan seawal minit kelima menerusi gerakan solo Mohd. Fazrul Hazli Kadri.

Gol awal itu menyemarakkan pasukan tuan rumah sehingga menghasilkan jaringan kedua pada minit ke-29 menerusi kerja keras Akmal Rizal Ahmad Rakhli, yang melakukan hantaran dari sebelah kiri sebelum disambar Mohd. Shafiq Jamal yang menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Perak memadam semangat Kelantan melalui gol ketiga menerusi rembatan jarak jauh Akmal Rizal pada minit ke-80.

Pemain kontroversi, Razali Umar Kandasamy yang masuk selaku pemain gantian, menambahkan derita Red Warriors menerusi jaringan terakhir Perak, dua minit kemudian.

Fadzli Saari menjaringkan gol tunggal Selangor pada minit ke-31 bagi membolehkan Red Giant melakar kemenangan tipis ke atas Felda United, 1-0.

Di Stadium Sultan Ismail Nasirrudin Shah, T-Team kalah 0-1 kepada Terengganu menerusi Jaringan Abdul Hadi Yahya pada minit ke-47.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e0nI8qKD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Gol awal pemusnah Kelantan


ARKIB : 07/04/2011
Gol awal pemusnah Kelantan
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
 
gaya pemain T-Team, Mohd. Norfarhan Muhammad (tengah) meraikan gol kedua pasukannya ketika menentang Kelantan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin. - UTUSAN/Shaifudin Mohd. Nor
KOTA BHARU - Kekalahan Kelantan kepada T-Team 3-4 pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin cukup perit untuk diterima ketua jurulatihnya, Datuk M. Karathu.

Kekalahan tersebut menyebabkan Kelantan bukan sahaja terpaksa melepaskan teraju liga kepada Selangor, malahan tercicir ke tangga ketiga di belakang Perak.

Karathu mengakui kecewa dengan aksi pemain, terutama pada babak pertama apabila memberikan dua gol mudah kepada lawan.

Menurutnya, kedua-dua gol awal itu 'membunuh' semangat juang pemainnya apabila kemudiannya seakan-akan hilang punca.

"Saya akui kami tertekan dengan jaringan yang diperolehi pasukan lawan, mental pemain tidak kuat menyebabkan mereka melakukan banyak kesilapan mudah.

"Lawan pula bijak memanfaatkan setiap peluang yang diperoleh apabila menjaringkan gol," katanya.

Karathu memberitahu, pemainnya beraksi lebih baik pada babak kedua.

"Kami cuba bangkit pada babak kedua, walaupun dikejutkan dengan jaringan ketiga lawan pada minit ke- 51, kami tetap tidak putus asa.

"Hasilnya kami berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-62 dan 64, sebelum tuan rumah menambah gol keempat pada minit ke-79, begitu pun kita berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-86.

"Semangat tidak putus asa inilah yang saya mahukan dalam setiap perlawanan, selain memberikan tumpuan dan fokus," ujarnya.

Beliau juga mahu pemain menjadikan kekalahan kepada T-Team sebagai pengajaran bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

"Saya harap pemain kembali ke prestasi sebenar selain mendisiplinkan diri dan mengelak gawang daripada dibolosi," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5e0T4e3Re
© Utusan Melayu (M) Bhd