Selasa, 17 Mac 2015

Boateng direhatkan, Azraai ambil alih?

YATIMIN ABDULLAH  |  18 Mac 2015 12:17 AM

KOTA BHARU - Nasib pengendali The Red Warriors, Goerge Boateng ‘bagaikan telur di hujung tanduk’ apabila Persatuan Bola­sepak kelantan (KAFA) dikhabarkan sedang mencari muka baharu bagi menggantikan jurulatih dari Belanda itu ekoran prestasi hambar yang dipamerkan sepanjang saingan Liga Super setakat ini.
Spekulasi itu bertambah kuat apabila pengendali berusia 39 tahun itu direhatkan buat seketika daripada me­ngendalikan pasukan walaupun Kelantan bakal berdepan dengan Kuala Lumpur dalam pusi­ngan ketiga Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV dan tugas tersebut kini dipangku oleh penolong jurulatih Mohd. Nafuzi Zain.
‘Direhatkan’ adalah istilah yang biasa digunakan oleh pihak pe­ngurusan persatuan bo­la sepak tempatan apabila ‘menamatkan khidmat’ jurulatih lebih awal.

Sementara itu, nama bekas jurulatih Kedah mu­sim 2007 dan 2008, Azraai Khor Abdullah dikatakan berada dalam radar KAFA untuk dibawa masuk menggantikan Boa­teng untuk baki saingan musim ini.
Menurut sumber, KAFA telah menghubungi Azraai untuk menyampaikan hajat me­reka membawa jurulatih berprofil tinggi itu ke negeri ini.

“Ketika ini Azraai sedang mengikuti kursus kejurulatihan di Brazil dan dijangka kembali ke tanah air pada 20 Mac.
“Sebaik sahaja kembali ke tanah air, Azraai akan ke Kota Bharu untuk melihat sesi latihan pasukan Kelantan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sumber itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Katanya, Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa dijangka mengadakan sidang akhbar mengenai hal itu dalam masa terdekat, selain menjelaskan mengenai hala tuju pasukan Kelantan selepas ini.
Katanya, keputusan untuk merehatkan Boateng dibuat selepas mengambil kira pencapaian jurulatih itu sepanjang mengendalikan pasukan dalam enam perlawanan setakat ini termasuklah dalam kempen Piala FA.
“Prestasi pasukan yang tidak konsisten menyebabkan pihak pengurusan membuat keputusan untuk merehatkan beliau sambil mencari jalan bagi menyelesaikan masalah ini,” tegasnya.
Selepas mengharungi lima perlawanan liga, Kelantan kini berada di anak tangga ke tujuh hasil dua kemenangan, satu seri dan dua kalah untuk mengumpul tujuh mata.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/boateng-direhatkan-azraai-ambil-alih-1.70663#sthash.QVIxVERj.dpuf

Jumaat, 6 Mac 2015

Perak hanya seri, terlepas 
peluang kukuhkan cengkaman


SAYED HESHAM IDRIS  |  07 Mac 2015 1:28 AM
 PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat (kanan) menepis tandukan
PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat (kanan) menepis tandukan pemain Perak, Muhd. Nurridzuan Abu Hassan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh semalam. – utusan/Zulkarnain Mohd. Saidin

IPOH – Perak melepaskan peluang untuk mendahului carta liga dengan kelebihan tiga mata apabila terikat tanpa jaringan dengan Kelantan dalam perlawanan tunggal Liga Super yang berlangsung semalam di Stadium Perak, Ipoh.
Namun satu mata yang diraih sudah mencukupi untuk skuad bimbingan Datuk M. Karathu menerajui carta liga untuk tempoh sekurang-kurangnya 24 jam apabila mengumpul lapan mata, satu mata di hadapan Felda United.
Keputusan semalam turut menyaksikan Kelantan mengumpul tujuh mata untuk melonjak ke anak tangga ketiga dari tempat kelima manakala PDRM keempat dengan enam mata.

Jangkaan perlawanan bakal berlangsung sengit tidak dapat disaksikan pada awal babak pertama apabila tidak banyak gerakan dan percubaan berjaya dilakukan oleh kedua-dua pasukan.
Kelantan terlebih dahulu mencemaskan pasukan tuan rumah seawal minit ketiga menerusi Erwin Albeiro Carillo yang hanya berdepan penjaga gol pasukan tuan rumah Zamir Selamat namun sepakannya dapat dibaca dan ditepis ke penjuru kanan.

Perak bangkit memberikan saingan seminit kemudian hasil hantaran jauh kepada Marco Tulio tetapi sepakannya tepat ke arah Khairul Fahmi Che Mat untuk mudah ditepis keluar oleh penjaga gol Kelantan itu.
Rentak permainan bertukar pantas selepas rehat ketika kedua-dua pasukan cuba memburu gol sehingga pasukan tuan rumah memasukkan Mohd. Haris Safwan Kamal menggantikan Tulio untuk memperkuatkan jentera serangan.
Namun kemasukan bekas pemain kebangsaan itu gagal memberikan impak sebaliknya pasukan pelawat lebih banyak melakukan asakan dan menguasai permainan.
Begitupun, Perak hampir diha­diahkan gol sendiri oleh pasukan pelawat pada minit ke-80 apabila Nik Mohd. Sharul Azim tertampan bola ke arah gol namun sempat ditepis kemas oleh Khairul Fahmi.
Perak cemas di hujung perlawanan namun Wan Zack Haikal menyaksikan rembat derasnya melepasi sedikit palang gol.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/perak-hanya-seri-terlepas-8232-peluang-kukuhkan-cengkaman-1.66729#sthash.Jagg9qz8.dpuf

Peneraju sementara

Oleh Azizan Hashim-sukan@hmetro.com.my


Ipoh: Pertahanan kental serta ketangkasan penjaga gol, Mohd Zamer Selamat membantu Perak mengikat Kelantan 0-0 di Stadium Perak malam tadi, sekali gus melonjak ke tangga teratas Liga Super 2015 sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam.

Ketika jentera di bahagian lain kurang berfungsi Thiago Junio Aquino, Mohd Syazwan Roslan, Mohd Idris Ahmad dan Mohd Arif Ismail berjuang mati-matian untuk menyekat kemaraan lawan.

Manakala Zamer bertindak cemerang untuk menafikan rembatan Erwin Albeiro Carillo dan jentera serangan pelawat.

Keputusan itu menyaksikan Perak mengutip lapan mata selepas empat perlawanan mengatasi pencabar terdekat FELDA United FC dengan satu mata. FELDA hanya akan bermain malam ini menentang Lions XII.

Begitupun, dalam perlawanan di hadapan 30,000 penonton itu, barisan Datuk M Karathu tidak mempamerkan persembahan diharapkan. Selepas lebih banyak bertahan, Perak bangkit dalam baki 10 minit terakhir perlawanan, tetapi segala usaha mereka tidak berjaya.

Sebaliknya pelawat dengan corak hantaran pendek dan umpanan tepat sentiasa mencemaskan kubu tuan rumah, tetapi dikecewakan ketiadaan penyudah.

Dengan Mohd Badhri Radzi serta Pupo Isaac Tuku di bahagian tengah, Kelantan menguasai permainan untuk menenggelam pasukan tuan rumah.

Mujur buat Perak kerana memiliki pertahanan kukuh, jika tidak pasti gawang mereka bocor.

Kesungguhan Kelantan jelas terbayang apabila menyerbu garang di awal permainan menghidu peluang pertama melalui Erwin Albeiro Carillo seawal minit ke-3, tetapi Zamer bertindak cemerlang menguis keluar bola.

Manakala Perak yang bersandar kepada serangan balas turut memiliki peluang melalui Charles Souza Chad, tetapi penyerang Brazil itu gagal memanfaatkan kesempatan terhidang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 4:55 AM

PENJAGA Gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan cubaan Charles Souza Chad di Stadium Ipoh.

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/35209#sthash.PbA2qcIo.dpuf