Isnin, 27 Mac 2017

Skuad Kelantan yakin masih gah

ARKIB : 21/01/2003
BIARPUN kehilangan beberapa pemain utama musim lalu, Kelantan musim ini ternyata masih berpeluang untuk menyaingi pasukan-pasukan utama dalam saingan bola sepak Perdana Satu yang bermula bulan depan.

Dengan pengalaman yang dimiliki oleh Zaidi Mat Ail, Akmal Ahmad Tabarani, Rozmin Musa, Mohd Hardi Ahmad, Fatrurazi Rozi serta penjaga gol Mohd Shahrizan Ismail, Kelantan dilihat mampu mencabar kedudukan liga dengan kesungguhan serta disiplin tinggi pemain.

Apalah ertinya memiliki barisan pemain yang dikatakan `handal' tetapi sebaliknya gagal memperlihatkan semangat juang yang kental serta tahap disiplin tinggi.

Malahan keadaan itu sebenarnya menjadi punca kegagalan Kelantan pada akhir musim lalu walaupun menampilkan persembahan menarik di babak awal liga Perdana Satu. Bagaimanapun masalah semangat dan disipilin pemain sering dikaitkan dengan persembahan yang tidak konsistan dan kurang daya saing terutama pada penghujung liga.

Sehubungan itu langkah Presiden Persatuan Bola sepak Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan Daud memberi penekanan utama terhadap soal semangat dan disiplin pemain musim ini amatlah wajar dan dialu-alukan.

Wan Hashim dalam kenyataan sebelum ini memberi amaran tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pemain yang terbabit dengan masalah tersebut.

Katanya, tidak ada tempat dalam pasukan Kelantan musim ini bagi pemain yang tidak menunjukkan semangat juang yang tinggi serta tahap disiplin yang rendah.

Dengan memiliki pemain yang berdisiplin, tentu lebih mudah bagi jurulatih Kelantan Abdullah Mohamad dan rakannya Dali Omar untuk menggilap sebuah pasukan yang mantap dan mampu bersaing
smberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cW4FK5mV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 24 Mac 2017

Kelantan sedia gempur Selangor



ARKIB : 10/08/2002
WALAUPUN dihimpit masalah pengurusan dalam persatuan serta tanpa kehadiran jurulatih K. Rajagopal, kesebelasan utama Kelantan kini sedia menggempur Selangor dalam perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia di stadium Sultan Mohammed IV hari ini, lapor ZAIDI AWANG HAMAT.

Setelah berjaya memungut tiga mata ketika menewaskan Perlis 3-2 di gelanggang lawan sebelum ini, Kelantan berazam mencatatkan kemenangan kedua di tempat sendiri untuk mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan.

Pasukan Kijang kini berada di tangga ketiga dengan tiga mata dalam kumpulan C yang turut disertai Selangor, Perlis dan Selangor Public Bank.

Penolong Pengurus Kelantan, Affandi Hamzah berkata, kesebelasan pemain Kelantan kini begitu bersemangat dan bersedia untuk perlawanan bertemu Selangor nanti.

Katanya, para pemain mahu membuktikan pasukan Kelantan bukanlah pasukan yang lemah walaupun gagal menampilkan prestasi baik dalam liga Perdana Satu sebelum ini.

``Kemenangan keatas Perlis sebelum ini juga menjadi pencetus semangat pemain untuk mengalahkan Selangor di hadapan penonton sendiri ,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Dalam pada itu Affandi tidak menolak faktor kemasukan pemain kelahiran Kelantan yang beraksi di Negeri Sembilan, Zami Mohd Nor dan juga A Elanggo turut mendorong pemain lain beraksi lebih cemerlang.

Menurutnya, walaupun didapati kurang persefahaman dalam perlawanan pertama bertemu Selangor Public Bank, namun ianya mula meningkat ketika bertemu Perlis.

Beliau yakin persefahaman itu akan memuncak ketika bertemu Selangor nanti setelah mereka memahami corak permainan masing-masing.

Sehubungan itu beliau mahukan para penyokong setia Kelantan datang untuk memberi sokongan kepada pasukan itu dalam pertemuan dengan Selangor malam ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cFWIMySC© Utusan Melayu (M) Bhd

Rajagopal letak jawatan jurulatih Kelantan



ARKIB : 17/07/2002

JURULATIH K. Rajagopal membuat kejutan apabila mengumumkan meninggalkan pasukan Kelantan, yang dibimbingnya sejak musim lepas.

Katanya, keputusan itu diambil bagi memberi laluan kepada jurulatih lain.

``Saya tiada perasaan tidak puas hati. Keputusan saya muktamad dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak,'' katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

``Cuma saya tiada jodoh lagi bersama pasukan Kelantan,'' katanya.

Menurutnya keputusan itu telah dipersetujui oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) melalui rundingan secara aman dan profesional malam semalam.

Keputusan Rajagopal itu menyaksikan berulangnya sejarah bola sepak Kelantan apabila banyak jurulatih luar yang mengendalikan pasukan itu meletak jawatan atau disingkirkan pada pertengahan musim atas pelbagai alasan termasuk prestasi pasukan tidak memuaskan.

Persembahan Kelantan pada aksi pusingan pertama Liga Perdana memang membanggakan apabila menduduki senarai tiga pasukan teratas, tetapi mula merosot pada pusingan kedua, dan berakhir di tangga kesepuluh daripada 14 pasukan.

Rajagopal, bekas pemain kebangsaan dan bekas jurulatih Selangor, mula berkhidmat dengan Kelantan musim lepas (2001) dan berjaya menaikkan imej Kelantan dengan layak ke Perdana Satu.

Rajagopal mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada peminat bola sepak Kelantan serta pihak pengurusan Kafa, yang memberikan kerjasama dalam merealisasikan harapan Kelantan untuk layak ke Piala Malaysia musim lepas dan juga musim ini.

Beliau meminta pemain Kelantan beraksi bersungguh-sungguh bagi memastikan Kelantan terus maju dan mencipta kejutan dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

``Buat masa ini saya akan berehat bersama keluarga dan akan mengikuti perkembangan bola sepak Kelantan dari jauh,'' katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui bola sepak telah ``menjadi darah dagingnya'' dan bersedia melatih mana-mana pasukan yang berminat mendapat khidmatnya.

``Mana-mana negeri yang ingin mendapatkan khidmat saya sebagai jurulatih boleh menghubungi saya untuk perbincangan lanjut,'' katanya.

Sementara itu, jurucakap Kafa ketika dihubungi enggan mengulas tindakan Rajagopal meletakkan jawatan.

Katanya pihak pengurusan sedang berusaha mendapatkan jurulatih baru bagi membimbing Kelantan dalam kempen Piala Malaysia.

Dalam pada itu, peminat bola sepak Kelantan terkilan dengan keputusan jurulatih itu.

Seorang peminat, Rusli Mat berkata mungkin ada sesuatu yang tidak kena menyebabkan Rajagopal meninggalkan Kelantan.

``Kita minta Kafa mendapatkan semula khidmat Rajagopal kerana Kelantan masih memerlukannya,'' katanya.

Menurutnya walaupun Kelantan mempunyai banyak jurulatih yang berkaliber, tetapi keupayaan mereka tidak sama dengan jurulatih luar kerana kebanyakan kejayaan yang dicipta Kelantan adalah hasil bimbingan dari jurulatih luar. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cEVm6DM8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 23 Mac 2017

Kelantan anggap menang lebih penting



ARKIB : 15/04/2002
BIARPUN gagal menampilkan corak permainan menarik, namun kejayaan mengatasi Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Sultan Mohd. IV kelmarin merupakan kemenangan amat penting bagi skuad Kelantan.

Pengurus Pasukan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud berkata, kejayaan mengutip tiga mata penuh itu boleh menjadi pencetus semangat untuk mengharungi cabaran perlawanan pusingan kedua ini.

Katanya, kemenangan itu penting kerana sudah menjadi kelaziman mana-mana pasukan akan memperbaiki setiap kelemahan yang dikesan semasa perlawanan pusingan pertama dahulu dan saingan menjadi lebih sengit.

``Kita berpuas hati dengan kejayaan malam tadi, walaupun secara keseluruhannya kita tidak memperlihatkan corak permainan sebenar,'' katanya kepada Sukan Utusan selepas perlawanan bertemu Kuala Lumpur malam semalam.

Kelantan meperoleh gol pertama melalui jaringan sendiri pemain Kuala Lumpur, Roslisham Mohd. Nor pada minit 63 sebelum penyerang import Worrawoot Sri Maka menambahkan jaringan pada minit ke 67.

Kuala Lumpur memperolehi gol tunggal melalui tendangan penalti Roslisham Mohd Nor pada minit ke 89 setelah kekasaran berlaku di dalam kotak penalti sebelumnya.

Kelantan memulakan saingan pusingan kedua dengan berada di tangga ke enam di belakang Perlis setelah mengumpul 22 mata dari 14 perlawanan.

Wan Hashim berkata, sebenarnya Kelantan mampu untuk menambahkan jaringan malam semalam jika penyerang pasukan itu pandai memanfaatkan setiap peluang yang ada di hadapan gol.

Bagaimanapun katanya, beberapa peluang keemasan itu terbiar begitu sahaja sama ada akibat kegopohan pemain mahupun lebih suka bertindak sendirian.

``Para penyerang Kelantan haruslah lebih bijak lagi untuk mencipta jaringan apabila memperoleh peluang berbuat demikian,'' katanya.

Namun demikian beliau yakin, persembahan pasukan Kelantan akan terus meningkat dalam beberapa perlawanan berikutnya untuk merebut kedudukan terbaik Liga Perdana Satu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4c8TOVbHM© Utusan Melayu (M) Bhd