Selasa, 29 November 2016

Mosthakeen lega Kelantan menang

ARKIB : 07/04/1999
GELAGAT jurulatih Kelantan, Mosthakeen Omar yang kerap menunjukkan kerut wajahnya di pinggir padang kelmarin cukup membayangkan kegelisahannya dengan permainan anak-anak buahnya.

Mosthakeen akui, jika anak-anak buahnya dimalukan oleh TNB Kelantan, maruah mereka tentunya tercalar sekali gus menyemarakkan lagi cemuhan penonton yang kecewa setiap kali beraksi di tempat sendiri.

Mujur Kelantan memenangi perlawanan itu dengan 2-0 yang memberi tiga mata penuh sekali gus memperbaiki kedudukan mereka dalam Perdana Dua.

Begitupun, Kelantan lebih banyak bertahan sepanjang babak pertama ketika menentang TNB yang kekal di tangga tercorot.

Persembahan hambar dengan gerakan yang sumbang dan tidak terarah itu perlu segera diatasi.

''Perasaan tertekan masih belum dapat dikikis sepenuhnya oleh pemain setiap kali bermain di tempat sendiri.

Pertemuan menentang Melaka di Stadium Kubu, Jumaat ini memberi ruang terbaik kepada Kelantan untuk membuktikan kehebatan mereka musim ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RSAQWxYT © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 15 November 2016

Affendi ikut rentak Kijang

ARKIB : 09/03/1999
BEKAS penyerang kebangsaan, Affendi Julaihi telah menemui rentaknya bersama skuad Kijang yang dipilihnya dan bertekad untuk tidak mengecewakan harapan dalam membawa Kelantan ke Bola Sepak Liga Malaysia Perdana Satu, musim ini.

Affendi yang akan menghabiskan dua musim di Kelantan mengakui cabaran sememangnya berat tetapi sengaja memilih untuk menempuhnya kerana ia menjadi ujian sebenar ketika semakin hampir ke kemuncak kerjayanya.

Setelah hampir sebulan di Kota Bharu dan melalui empat siri perlawanan persabahatan sebagai persiapan awal, Affendi berkata dia sudah berupaya serasikan diri dengan rakan-rakan dan mudah menerima pendekatan jurulatih, Mosthakeen Omar.

Namun Affendi berharap kecederaan yang dialaminya pada musim lalu semasa bersama Negri Sembilan sehingga banyak menghabiskan masa di luar padang tidak akan berulang semasa tahap kecergasannya cukup baik.

''Saya seronok dengan suasana di sini manakala dengan rakan sepasukan, tiada jurang antara pemain walau dari pelbagai negeri dan pengalaman sehingga persefahaman mudah terbentuk,'' katanya ketika ditemui semalam.

Selain memilih cabaran itu Affendi berkata, keinginannya untuk mendalami agama di Kelantan yang turut mempengaruhi pertimbangannya, akan cuba dipenuhi.

''Masa terluang akan saya ambil kesempatan untuk belajar agama dan saya telah pun meninjau beberapa buah pondok pengajian dan memilih untuk belajar di pondok Pasir Tumbuh, yang tidak jauh dari kediaman saya tidak lama lagi.

Affendi, anak kelahiran Petra Jaya yang kini mencecah usia 30 tahun turut membayangkan hasrat untuk mengakhir zaman bujangnya di Kelantan. ''Usia macam ini patutnya dah kahwin tetapi sebenarnya saya tengah cari lagi, tak kisahlah jika jodoh di Kelantan atau di Sarawak, '' ujar Affendi.

Affendi meletakkan sasarannya untuk beraksi sehingga lima tahun lagi dan sebelum meninggalkan bola sepak beliau tetap berharap untuk mengakhirinya di tanah kelahiran, Sarawak.

Oleh: WAN ZULKIFLEE WAN YAACOB

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Q9kQmgyc © Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad Kijang tunjuk tanda positif

ARKIB : 03/03/1999
DISIPLIN dan motivasi mungkin bukan lagi masalah besar yang kerap dikaitkan dengan skuad bola sepak Kelantan dan ia cukup menggembirakan jurulatih Mosthakeen Omar yang dipertanggungjawabkan mengasuh skuad Kijang agar mampu melompat halangan ke Liga Perdana Satu.

Malah hubungan antara pemain semakin terbentuk bagi satu keluarga dan tiada jurang antara mereka yang sebilangannya juga berstatus bintang dengan pemain muda dan baru memudahkan persefahaman dan sekali gus memudahkan perancangannya.

''Tengok, mereka datang awal lebih sejam sebelum latihan bermula, bersembahyang lebih dahulu, siap berpakaian dan memanaskan badan sebelum saya tiba, '' ujar Mosthakeen sebelum turun ke padang Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian petang kelmarin.

Bagi Mosthakeen, ini petanda yang cukup baik dan kefahaman terhadap konsep bola sepak profesional ini sentiasa ditekankan supaya mereka mempunyai persediaan mental yang cukup kental.

Katanya, mereka harus mengembali kepercayaan peminat di negeri ini kerana mereka bukan sahaja bertanggungjawab kepada diri sendiri dan pasukan dengan amanah dan ganjaran yang diberikan.

Melalui kem motivasi sebelum melepaskan mereka beraksi dalam empat perlawanan persahabatan setakat ini ia memberi keyakinan kepada Mosthakeen bahawa tugas sukar dan kepercayaan yang diberikan kepadanya dapat dipenuhi.

Mereka memenangi dua perlawanan di Thai sebelum tewas kepada Terengganu di Kuala Terengganu dan terakhirnya menang di Kuantan menentang Pahang.

Beliau mengakui pertemuan dengan Terengganu lebih merupakan ujian sebenar dan walaupun tewas 0-2 mereka telah menunjukkan tanda penguasaan yang jelas.

''Pemain muda yang diuji agak mudah hilang penumpuan dan barisan serangan perlu dipertajamkan dan menyedari kelemahan mereka mula bangkit menewaskan Pahang 1-0.

''Mereka (pemain muda) tentunya perlu diberi masa untuk atasi masalah itu dan tumpuan kita sekarang adalah untuk mempertajamkan barisan serangan dengan memantapkan gandingan Affandi Julaihi dan Nidzam Adzha.

Lanjutan tarikh perlawanan pertama pusingan kelayakan Piala FA dari 2 Mac kepada 9 Mac memberi kesempatan kepada Mosthakeen menyiapkan keupayaan anak buahnya untuk membawa cabaran Kelantan.

Bagaimanapun Mosthakeen mengambil pendekatan lebih berhati- hati agar mengelak pemainnya daripada cedera kerana ini dengan mudah mempengaruhi rentak skuad, menjejaskan prestasi dan harapan Kelantan.

Oleh: WAN ZULKIFLI WAN YAACOB

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Q4KyOTfb © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 13 November 2016

Perlawanan mengesan kelemahan

ARKIB : 24/02/1999
PEMAIN Terengganu gigih menjalani latihan di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah di Kuala Terengganu semalam. - Gambar ABD RAHMAN SALEH.

PERLAWANAN persahabatan antara Terengganu dan Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala Terengganu malam ini, merupakan 'ujian' penting untuk mengenal pasti kelemahan yang wujud dalam skuad Penyu, lapor AMIR SARIFUDIN.

Perlawanan itu juga adalah persiapan terakhir Terengganu bagi melengkapkan diri mengharungi Liga Malaysia musim ini.

Bagi Terengganu, beberapa kekurangan akan dapat diatasi melalui perlawanan persahabatan itu termasuk menentang Pahang.

Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh memberitahu Sukan Utusan, perlawanan persahabatan itu juga adalah persediaan terakhir buat naib juara Piala Malaysia itu dalam menguatkan mental pemain.

''Kita mahu setiap pemain benar-benar bersedia sebelum Liga M bermula bulan depan.

''Perasaan dan mental pemain terhadap perlawanan sebenar harus bermula sekarang,'' katanya.

Che Mat melihat perlawanan persahabatan itu kelak bukan sahaja dapat mengenali setiap posisi pemain, malah meningkatkan kecergasan mereka.

Xby ads

Di samping itu, dari perlawanan itu juga pemain diminta mempraktikkan segala taktikal yang telah diterapkan oleh jurulatih Yunus Alif.

''Walaupun ia perlawanan persahabatan tetapi kita memilih Kelantan kerana ramai pemain pasukan itu mempunyai kebolehan yang tinggi.

''Oleh itu kita mahu skuad Penyu menampilkan segala latihan teknikal yang telah diajar ketika perlawanan berlangsung,'' katanya.

Mengenai keupayaan pemain, Che Mat berkata, pemain Terengganu kini berada dalam keadaan baik, namun masih banyak yang boleh dilakukan untuk meningkatkan prestasi diri masing-masing.

Menurut Che Mat, Terengganu hanya seri 1-1 pada perlawanan persahabatan pertama menentang pasukan Majlis Bandaran Sungai Golok, Thailand Ahad lalu.

''Walaupun seri, tetapi kita berpuas hati kerana terdapat beberapa pemain utama yang tidak dapat turun disebabkan komitmen dengan pasukan kebangsaan.

''Perlawanan persahabatan dengan skuad dari selatan Thailand itu sedikit sebanyak dapat mendedahkan kelemahan-kelemahan yang ada dan ini akan kita perbaiki,'' katanya.

Che Mat melahirkan keyakinan Terengganu berupaya memberi cabaran lebih hebat apabila menurunkan barisan sebenar pada Perdana Satu nanti.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Pu1div98 © Utusan Melayu (M) Bhd

Hashim jurulatih kelab JKR Kelantan

RKIB : 09/02/1999
BEKAS pemain kebangsaan dan Kelantan, Hashim Mustapa, yang memilih untuk tidak mewakili Kelantan musim ini telah dilantik sebagai pembantu jurulatih kelab JKR Kelantan, selain beraksi sebagai pemain.

Pengurus Kelab JKR, Ikmal Hakimi Ibrahim berkata pemain itu dilantik oleh pihak pengurusan sebagai pembantu kepada jurulatih Awang Isa dan Yassin Mohd. Nor untuk menjana pasukan itu layak ke pertandingan Liga Perdana Dua musim ini.

Kelab JKR akan bertemu Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada pusingan kelayakan di Kuala Terengganu 15 Februari ini sebelum menyertai perlawanan penentuan dengan pasukan Malay Mail, Tentera dan Polis.

''Sumbangan dan pengalaman Hashim kepada JKR amat penting dan bermakna,'' kata beliau di Kota Bharu semalam.

Rabu lepas, Hashim, bekas pemenang kasut emas dua tahun berturut-turut pada 1993 dan 1994 memutuskan menyertai Kelab JKR Kelantan bagi mengetuai cabaran kelab itu melayakkan diri ke Liga Perdana Dua musim ini.

Ikmal berkata, Hashim masih belum menandatangani kontrak dengan Kelab JKR, tetapi akan berbuat demikian tidak lama lagi.

Beliau yakin dengan komitmen yang ada pada setiap pemain Kelab JKR Kelantan, pasukan itu akan berjaya menyertai Perdana Dua musim ini.

Kelab JKR akan dibarisi oleh beberapa bekas pemain Kelantan seperti Rosli Rejab, Rojani Hussain, Bakri Mohamad, Mohd Hafoz Mohd. Romi, Aziz Mustapa, Rosli Ismail, Adnan Musa, Fauzi Musa dan Azahar Ismail serta beberapa pemain baru.

Katanya, bekas penjaga gol Terengganu dan Kelantan Wan Kamarulzaman Wan Mohamad dan penyerang Pahang Marah Ismail dan Perlis Shamsul Abdul Rahman akan turut bersama pasukan itu musim ini. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4Psnqoow5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Affendi yakin Jalil mampu

ARKIB : 06/02/1999
BEKAS pemain Sarawak, Affendi Julaihi menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan jurulatih, Abdul Jalil Rambli dalam membawa skuad Bujang Senang mencapai kejayaan cemerlang pada cabaran Liga Malaysia musim ini.

ANUAR ARIFFIN melaporkan, berdasarkan kepada pengalaman yang ada pada Jalil, 38, selaku bekas penolong jurulatih dan pemain, tidak mustahil pasukan Bumi Kenyalang mampu bertindak 'garang' kali ini.

Menurut Affendi, 30, Jalil mempunyai kekuatan sendiri dalam membentuk sebuah pasukan yang benar-benar berwibawa dan tangkas.

''Saya pernah menjalani latihan bersama skuad Sarawak di bawah bimbingan Jalil. Saya menyenangi corak latihan yang diajar olehnya.

''Jadi, saya yakin pemain-pemain baru yang bakal mewarnai skuad Kenyalang kali ini akan mudah dapat dibentuk dan seterusnya menjadikan Sarawak sebagai sebuah pasukan yang digeruni pihak lawan nanti,'' katanya ketika dihubungi di Kuching, semalam.

Sementara itu, Affendi yang mencetuskan kontroversi ekoran keputusannya untuk mewakili pasukan Kelantan musim ini berkata, buat masa ini beliau masih lagi belum bersedia untuk kembali mencurahkan keringat bersama skuad Bujang Senang.

Ini kerana, menurutnya, dia ingin menimba seberapa banyak pengalaman terlebih dahulu sebelum mahu memikirkan untuk kembali menyarung jersi negeri kelahirannya sendiri.

''Saya mahu bermain di negeri-negeri lain dahulu. Lagipun, setakat ini pengalaman saya masih lagi kurang.

''Bukan itu saja, kini Sarawak sudahpun mempunyai ramai pemain muda yang berpotensi yang jika digilap mampu menjadi pemain terbilang suatu hari nanti,'' jelasnya yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan.

Affendi menambah: ''Apabila saya sudah memperoleh pengalaman yang banyak, barulah saya bersedia untuk memanfaatkan ilmu yang didapati itu untuk kemajuan bola sepak di Sarawak.''

Dalam pada itu, anak kelahiran Petra Jaya itu berkata, dia berazam untuk membantu Kelantan menempatkan semula kedudukan dalam Divisyen Satu musim ini.

Katanya, untuk tujuan itu, dia akan bermain dengan semangat yang tinggi bagi melengkapkan hasrat tersebut.

''Saya tidak menghadapi masalah untuk bermain dengan skuad Kijang.

''Malah, saya pernah bermain dengan beberapa orang pemain dalam pasukan itu seperti Kamal Idris, Zahasmi Ismail, Nizam Adha dan Zaidi Napiah sewaktu menjalani latihan kebangsaan sedikit masa dahulu,'' ujarnya.

Affendi berkata, beliau juga tidak kekok untuk menjalani latihan di bawah jurulatih Kelantan, Mosthakeen Omar

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4PsW93eM4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Affendi tetap pilih skuad Kelantan

ARKIB : 05/02/1999
BEKAS penyerang kebangsaan, Affendi Julaihi tidak berganjak dengan pendiriannya untuk mewakili pasukan Kelantan pada persaingan Liga Malaysia musim ini, lapor ANUAR ARIFFIN.

Bagi pemain berusia 30 tahun itu, biarpun tindakan itu tidak boleh diterima oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), namun keputusan yang diambil adalah muktamad.

Menurut Affendi, dia sudah menimbang dengan teliti dan semasak-masaknya sebelum membuat ketetapan.

Justeru itu, beliau berharap tindakan yang diambil itu tidak akan mencetuskan perbalahan antara KFA dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

''Selain berbincang dengan kaum keluarga, saya juga telah beristiqarah memohon petunjuk daripada Allah agar menetapkan pendirian berhubung perkara ini.

''Apa yang saya peroleh daripada istiqarah itu ialah Tuhan telah memberi kekuatan kepada saya untuk memilih Kelantan,'' katanya ketika dihubungi di rumahnya di Petra Jaya, Kuching, semalam.

Menurut Affendi, keluarganya juga telah merestuinya untuk berhijrah ke Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Mengulas mengenai kontroversi yang timbul ekoran kenyataan KFA bahawa beliau tidak mengotakan janji untuk bermain bersama Kedah tetapi sebaliknya memilih Kelantan, Affendi berkata: ''Saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Cukup bagi saya mengatakan bahawa saya tetap memilih Kelantan musim ini.''.

Anak kelahiran Petra Jaya itu berkata, dia akan bertolak ke Kota Bharu, Ahad ini, untuk urusan menandatangani perjanjian kontrak permainan.

Apa yang penting, menurut Affendi, dia akan dapat meluas dan mendalami pengajian agama Islam apabila berada di Kelantan nanti.

''Sudah sampai masanya saya meluaskan pengajian agama Islam di samping bermain bola sepak sebagai satu kerjaya.

''Saya memilih Kelantan berdasarkan suasana keislaman yang lebih menyerlah di negeri itu,'' ujarnya.

Affendi berkata: ''Saya bukannya pemain yang mengejar kebendaan. Kalau ada negeri lain yang sanggup menawarkan tawaran yang lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan oleh Kelantan, saya tetap akan memilih Kelantan.''

Ditanya mengapa beliau menolak tawaran KFA, bekas pemain Bujang Senang dan Si Rusa itu menjelaskan, KFA sebenarnya ada menghubunginya beberapa kali tahun lalu untuk mempelawa bermain dengan Kedah musim ini.

Menurut Affendi, dia bersetuju untuk memenuhi hasrat itu tetapi dengan syarat KFA mengemukakan sepucuk surat tawaran 'tanda jadi' kepadanya sebagai tanda keprihatinan persatuan itu untuk memilikinya.

Bagaimanapun, katanya, pengurus pasukan Kedah, Datuk Mohd. Shariff Abu Samah memberitahu dia tidak boleh berbuat demikian disebabkan pengurusan skuad Kenari masih lagi belum memilih jurulatih dan sebagainya.

''Jadi, saya tidak boleh disalahkan kerana mungkir janji. Kalau surat 'tanda jadi dan keprihatinan' itu ada, takkanlah tergamak hati saya mahu bermain dengan pasukan lain,'' ujarnya.

Affendi juga berkata, dia tidak tahu bagaimana perasaannya mula berputik untuk mengibar cabaran bersama Kelantan musim ini.

''Segalanya bermula pada 30 Januari lalu apabila saya menerima mesej dari rakan sepermainan, Zahasmi Ismail supaya menghubunginya di Kelantan,'' ujarnya.

Sebenarnya, beliau berkata, pasukan Kelantan juga pernah melamarnya pada 1995 dan 1997.

Dalam pada itu, Affendi turut tidak lupa menghargai jasa baik KFA dan Mohd. Shariff yang sudi mempelawanya bermain bersama Kenari musim ini.

''Mereka terlalu baik, sukar untuk melupakan jasa-jasa mereka. Mungkin pada waktu yang lain, saya akan menyarung jersi Kedah pula,'' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PsURWU6R © Utusan Melayu (M) Bhd

Hashim merajuk dengan Kelantan

ARKIB : 04/02/1999
SAH..! Era Hashim Mustapha di Kelantan telah tamat. Penyerang berpengalaman itu tidak lagi akan menyarung jersi bola sepak Liga Malaysia negeri Kelantan musim ini, lapor SAROJI MOKHTAR.

Malah dia membayangkan tidak juga akan bermain dengan pasukan-pasukan lain walaupun ditawarkan selepas ini.

Dengan demikian terjawablah teka-teki di kalangan peminat bola sepak Kijang Mas selama ini kenapa pemain yang pernah memenangi kasut emas tahun 1990 (divisen dua), 1993 dan 1994 itu tidak menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Hashim melontarkan kejutan sedemikian setelah memikirkan semasak-masak bahawa itulah keputusan yang sebaik-baiknya sebagai menjaga maruah harga diri.

Walaupun berat untuk berbuat demikian, tetapi kerana hatinya sudah kecewa dengan sikap pengurusan baru KAFA yang seolah-olah tidak langsung menghargai jasa-jasanya selama ini.

''Saya memang berhasrat untuk bersama skuad Kelantan sebagai menunaikan janji saya sebelum ini untuk membantu meningkatkan skuad negeri.

''Bagaimanapun, apa boleh buat pengurusan baru nampaknya tidak lagi mahu khidmat saya,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Kota Bharu, petang semalam untuk mengetahui kedudukan sebenar kenapa tidak menandatangani kontrak dengan KAFA sedangkan namanya masih tercatat dalam senarai nama pemain skuad negeri itu musim ini.

Menurut Presiden KAFA, Datuk Wan Hashim Wan Daud, pihak pengurusan sentiasa menunggu Hashim dan peluang masih terbuka sama ada sedia bersama skuad negeri musim ini atau sebaliknya.

Hashim berkata, dia sebelum ini sebenarnya ternanti-nanti pihak KAFA menghubunginya mengenai pengesahan untuk menyertai skuad negeri musim ini sebagaimana dijanjikan, tetapi sehingga hari ini tidak ada sesiapa yang berbuat demikian.

''Sekembalinya dari Brazil, memang saya berhasrat untuk mencurahkan khidmat dengan skuad Kelantan dan sempat menjalani beberapa latihan bersama jurulatih Mosthakeen Omar,'' ujarnya.

Beliau memberitahu selain itu, masalah tawaran bayaran gaji yang dianggap tidak mansabah juga antara faktor beliau tidak dapat bersama skuad Kelantan tahun ini.

Katanya, beliau sedia menerima bayaran gaji yang kecil asalkan pemain-pemain lain yang dianggap setaraf dengan beliau juga dibayar dengan kadar yang sama.

''Kalau perbezaan jumlah bayaran gaji terlalu jauh, beratlah saya hendak menerimanya, kalau terima rasa terhina saya,'' tambahnya yang enggan menyatakan jumlah gaji yang ditawarkan KAFA.

Menurutnya, beliau tidak sampai hati hendak memberitahu jumlah tawaran gaji dan meminta supaya tanya pihak pengurusan baru KAFA kalau hendak tahu gaji yang ditawarkan.

Bila ditanya apakah dengan tidak bersama skuad Kelantan musim ini bererti beliau ingin bersara daripada bermain bola, Hashim berkata, walaupun usianya kini 33 tahun beliau akan terus bermain bola.

Ditanya pasukan mana beliau bermain sekarang, beliau berkata: ''Adalah pasukannya tetapi bukan berhijrah ke negeri lain''.

Hashim yang kini mempunyai tiga orang anak menceburi dalam arena bola sepak sejak di bangku sekolah bawah umur 12 tahun, kemudian Piala Presiden, Piala Razak, Piala Mas (1982) dan 1984-1995 melibatkan secara serius dalam bola sepak.

Bagaimanapun tahun 1996 - 1997 berhijrah ke negeri Kedah kemudian kembali beraksi semula dengan skuad Kelantan tahun 1998.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PsGtmI9z © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 12 November 2016

Mosthakeen terpikat dengan pemain Johor

ARKIB : 02/02/1999
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil dua lagi pemain luar sebagai tambahan lima yang lain sebagai persiapan memantapkan lagi skuad bola sepak Liga Malaysia negeri itu, tahun ini.

Dua pemain itu ialah bekas pemain Johor, Fuad Adam dan Yusri Sham Yusoff bekas pemain dari skuad Terengganu.

Pemilihan itu dibuat atas cadangan jurulatih, Mosthakeen Omar setelah berpuas hati dengan kelincahan dua pemain berkenaan semasa menjalani latihan di Kota Bharu petang kelmarin dan pagi semalam.

Presiden KAFA, Datuk Wan Hashim Wan Daud mengesahkan, kedua-dua pemain yang dijangka diletakkan di barisan penyerang itu akan menandatangani kontrak secepat mungkin.

Lima pemain luar lain sudahpun menandatangani kontrak baru-baru ini ialah bekas pemain Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, Khamal Idris Ali, Yeow Choh Hooi manakala Tan Cheng Hoe (Kuala Lumpur) dan Mohd. Zaidi Napiah (Negeri Sembilan).

Sementara itu, seramai 17 pemain tempatan lain telah menandatangani kontrak masing-masing pada majlis tandatangani kontrak di rumah Wan Hashim di Kota Bharu malam kelmarin.

Dengan itu menjadikan jumlah keseluruhan pemain Kelantan yang sudah menandatangani kontrak setakat ini ialah seramai 22 orang.

Bagaimanapun Hashim Mustapa yang namanya tercatat dalam senarai pemain Liga M Kelantan musim ini belum lagi menandatangai kontrak.

Wan Hashim ketika ditemui pada majlis itu, yakin gandingan pemain baru dan lama akan memantapkan barisan skuad Kelantan tahun ini.

Katanya, percantuman pemain dari luar dan dalam negeri dijadikan format terbaru tahun ini bagi memastikan Kelantan mampu melangkah ke Perdana Satu dan seterusnya layak ke Piala Malaysia musim ini.

''Perbincangan yang diadakan dari masa ke semasa antara pihak pengurusan , pemain dan jurulatih akan membuat satu keputusan yang baik untuk kepentingan semua pihak,'' ujarnya.

Menurutnya, para pemain tidak perlu bimbang tentang masalah gaji kerana pihak pengurusan baru akan memberi keutamaan kepada kebajikan pemain.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama semua pihak termasuk peminat-peminat tempatan agar memberikan sokongan pada setiap kali Kelantana beraksi di gelanggang.

Pasukan yang baru dibentuk ini memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk menyuntik semangat serta menaikkan martabat pasukan Kelantan yang tercicir sejak beberapa musim sebelum ini.

Senarai pemain Liga Malaysia Kelantan yang sudah menandatangani kontrak setakat ini terdiri Mohd. Ridzuan Bulat (penjaga gol), Mohd. Halim Napi (penjaga gol), Azlan Ismail (penjaga gol), Mohd. Saiful Nizam Husin, Ahmal Ahmad Tabrani, Rosairil Asrul Mat Noor, Sarudy Aziz.

Roslisam Mohd. Nor, Mohd. Zulkipli Abdullah, Khamal Idris Ali, Aqli Ahmad Tabrani, Azman Daud, Amran Shamsudin, Zahasmi Ismail, Yew Choh Hooi, Tan Cheng Hoe, Mohd Zaidi Mohd. Napiah, Adli Daud, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff, Zahariman Ghazali dan Zainuddin Mohd. Ariffin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PrtytJdV © Utusan Melayu (M) Bhd

Kelantan ikat Nidzam dua tahun

ARKIB : 01/02/1999
KELANTAN terus memperhebatkan persiapan mereka untuk bersaing mengharungi musim baru bola sepak Liga Malaysia tahun ini dengan mengesahkan penyertaan Mohd. Nidzam Adzha.

Bekas pemain Kedah dan kebangsaan itu semalam menandatangani kontrak untuk tempoh dua tahun bersama Persatuan Bola sepak kelantan (KAFA) di Kota Bharu.

Dua lagi pemain Kedah, seorang bekas pemain Kuala Lumpur dan seorang bekas Negeri Sembilan turut menandatangani kontrak bersama pasukan Kijang dalam satu upacara rasmi yang diadakan semalam.

Dua bekas pemain Kedah selain Nidzam yang menyertai pasukan itu ialah Khamal Idris Ali dan Yeow Choh Hooi. Bekas pemain Kuala Lumpur, Tan Cheng Ho dan Zaidi Napiah bekas pemain Negeri Sembilan turut menyarung jersi Kelantan musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan Daud ketika mengesahkannya berkata, mereka menandatangani kontrak itu selepas beberapa hari sambutan Aidilfitri di Kota Bharu untuk tempoh selama dua tahun.

Katanya, pemain-pemain tersebut kini sudahpun memulakan latihan bersama barisan skuad Kelantan musim ini di bawah jurulatih baru, Mosthakeen Omar.

Katanya, dengan pemilihan lima pemain itu, Kelantan hanya perlu mencari seorang sahaja lagi pemain luar untuk beraksi bersama skuad itu bagi musim ini.

''Soal mencari pemain luar hampir selesai tinggal lagi kami memikirkan untuk memperkemaskan barisan skuad supaya ia benar-benar mantap,'' katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, menaruh keyakinan dengan penyertaan pemain-pemain yang mempunyai pengalaman itu skuad Kelantan musiam ini akan bangkit.

Ditanya soal bayaran kepada pemain-pemain berkenaan, beliau berkata, soal gaji pemaian adalah biasanya.

Menurutnya lagi, setakat ini hanya tinggal beberapa orang sahaja lagi pemain anak tempatan yang belum menandatangai kontrak yang dipercayai selesai dalam sehari dua ini.

''Antara pemain itu termasuklah Hashim Mustapa,'' tambahnya.

Sementara itu, Nidzam ketika ditemui selepas menjalani latihan di sini menyatakan, beliau berjanji untuk membantu kejayaan skuad Kelantan bersama rakan-rakan lain.

Katanya, beliau akan mencurahkan segala pengalaman selama ini iaitu dengan Kedah (enam musim) dan Perak (lima musim) untuk membawa Kelantan ke Perdana Satu.

Ditanya kenapa beliau meninggalkan Kedah, pemain penyerang itu secara terus terang menyatakan, tindakan itu disebabkan kecewa dengan sikap pengurusan.

''Saya tidak mahu cakap banyak kerana kecewa saya tinggal Kedah yang sememangnya hati saya amat berat untuk berbuat demikian,'' ujarnya.

Beliau mengakui jurulatih Kedah cuba berusaha untuk mengekalkan beliau dalam skuad Kedah musim ini tetapi apa boleh buat pihak pengurusan menolak.

''Sebenarnya saya sempat menjalani latihan kira-kira 11 hari dengan Kedah. Bagaimanapun yang menghairankan penolakan saya tidak diberikan apa-apa alasan. Mungkin saya tidak pandai bodek...,'' jelas.

SUMBE-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PrpSGKxs © Utusan Melayu (M) Bhd

Mosthakeem bimbang Kijang tiada penyerang

ARKIB : 28/01/1999
JURULATIH Kelantan, Mosthakeem Omar kini bimbang kerana pasukan yang dibimbingnya masih belum mempunyai pemain penyerang berkaliber yang diharapkan dapat membantu skuad Kijang musim ini.

Katanya, sejak pemilihan fasa pertama dan kedua diadakan, kebanyakan pemain yang menghadiri latihan adalah pemain pertahanan.

''Kita tiada pilihan kecuali membuka peluang kepada mana-mana pemain penyerang dari luar yang berminat mewakili Kelantan sebagai usaha memantapkan lagi pasukan,'' katanya di Kota Bharu, semalam.

Seramai 30 pemain terpilih untuk menjalani pemilihan fasa kedua sejak dua minggu lepas di bawah kendalian Mosthakeem, yang dibantu oleh Shamsuddin Awang dan Kamaruddin Mohamad.

Mosthakeem berkata, beliau masih menerima panggilan daripada beberapa pemain luar Kelantan yang berminat mengisi kekosongan itu.

Beliau enggan menamakan pemain berkenaan, demi kepentingan bersama.

Beliau mengakui jika masalah pemain penyerang tidak di atasi ia boleh menjejaskan matlamat skuad Kijang itu yang bertarung dalam Liga Perdana Dua musim ini, untuk layak ke Perdana Satu.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan berusaha meningkatkan ketahanan diri pemain ketika latihan kerana ia penting demi kemajuan bola sepak serta memenangi setiap perlawanan dalam Liga Perdana Dua nanti. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4PrQ4BFvs © Utusan Melayu (M) Bhd

Hashim minta pemain tingkatkan disiplin

ARKIB : 25/01/1999
BEKAS pemain kebangsaan dan Kelantan Hashim Mustapa meminta kesebelasan utama pasukan Kelantan musim ini supaya meningkatkan disiplin dan mengikuti latihan dengan penuh semangat.

Katanya, kejayaan sesebuah pasukan bergantung kepada pemain yang memberi kerjasama kepada jurulatih dan pihak pengurusan.

''Kalau boleh lupakan sejenak masalah imbuhan bulanan, sebaliknya tumpukan kepada latihan dan permainan,'' katanya di Kota Bharu, semalam.

Dia ditemui ketika menghadiri sesi latihan dan pemilihan yang diadakan di padang Penjara, Pengkalan Chepa di bawah kendalian jurulatih Mosthakeem Omar.

Katanya, sekiranya kudratnya masih diperlukan oleh Kelantan musim ini, dia akan cuba membantu menaikkan imej skuad Kijang bersama pemain lain.

Sementara itu, Mosthakeem ketika ditemui mengesahkan menerima kehadiran pemain daripada Selangor dan Negeri Sembilan untuk sesi latihan itu.

''Kita terpaksa menyembunyikan nama pemain itu demi kebaikan kedua belah pihak, lagipun pemain terbabit masih diuji,'' katanya.

Beliau berkata, corak latihan 'ala tentera' akan diadakan bagi mencari pemain yang betul-betul dapat bermain 90 minit.

Katanya, banyak tawaran diterima dari pemain luar Kelantan untuk mewakili skuad itu musim ini sebagai pemain pertahanan, sedangkan Kelantan memerlukan pemain barisan depan. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PqsL4TkL © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 11 November 2016

Kelantan kena bermain di luar

ARKIB : 18/01/1999
KELANTAN mungkin terpaksa bermain di luar Kota Bharu dalam Liga-M musim ini kerana padang Stadium Sultan Mohamed Ke-1V yang biasanya digunakan dalam setiap perlawanan, rosak.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Yusuff Ali berkata, pihaknya telah menerima surat daripada Perbadanan Stadium Kelantan mengenai kerja-kerja pembaikan padang berkenaan.

''Kita akan memaklumkan perkara ini kepada FAM secepat mungkin,'' katanya di Kota Bahru, semalam.

Kelmarin, Perbadanan Stadium Kelantan membuat kenyataan mengenai kerja-kerja membaiki padang Stadium Sultan Mohamed Ke-1V di Kota Bahru yang bermula Disember lepas dan dijangka siap pada akhir Mac ini.


Jurucakap Perbadanan Stadium Kelantan berkata, semua bentuk program yang dijadual berlangsung di stadium itu dalam tempoh berkenaan terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan kerana padang dan kawasan sekitarnya tidak dapat digunakan.

Yusuff berkata, pihaknya meminta perbadanan menyiapkan segera stadium berkenaan bagi melancarkan perjalanan Liga Perdana Dua musim ini.

Katanya, kutipan tiket kemungkinan merosot kerana Kelantan terpaksa bermain di luar untuk beberapa perlawanan sekiranya padang itu tidak dapat disiapkan secepat mungkin.

Latihan akan dijalankan di padang Penjara Pengkalan Chepa bermula pada 23 Januari depan dan kemungkinan Liga Simpanan turut bersama menjalani latihan di padang berkenaan, katanya.

Stadium Sultan Mohamed Ke-1V dibina pada tahun 1965 dan pengubahsuaian dilakukan termasuk pembinaan tempat duduk berbumbung pada tahun 1970. _ Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PiPTgUR1 © Utusan Melayu (M) Bhd