Ahad, 19 Mac 2017

Impian skuad Kelantan berkubur


 

ARKIB : 28/10/2001
PEMAIN Kelantan, Rosli Omar diasak oleh seorang pemain Terengganu dalam aksi separuh akhir kedua bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu, semalam. Perlawanan berkesudahan seri 1-1 tetapi Terengganu layak ke akhir dengan agregat 3-1.

KELANTAN gagal menafikan kemaraan Terengganu ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 pada separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu, semalam.

Kelantan menguasai penuh bahagian tengah dan mencipta banyak peluang untuk menyumbat gol yang akhirnya berhasil pada minit ke-26 menerusi penyerang, Nazreen Tee Abdullah untuk merapatkan jurang agregat kepada 2-1.

Ketua pasukan, Tuan Kamree Tuan Yahya yang memainkan peranan berkesan di bahagian tengah skuad Kelantan, membuat hantaran cantik ke dalam kawasan gol lawan. Penjaga gol Terengganu, Zubir Ibrahim menerkam keluar untuk menangkap bola berdekatan garisan gol tetapi tidak sengaja memuntahkannya hanya untuk menyaksikan Nazreen mudah menolak masuk di depan kira-kira 25,000 penonton.

Jaringan itu diraikan dengan letupan mercun dan bom asap.

Namun babak kedua menyaksikan permainan lebih seimbang dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan.

Ketika masa menuju penghujung, Kelantan mengasak garang tetapi kesilapan pertahanannya mengawal bola menyebabkan Terengganu memperoleh gol penyamaan.

Sapian Wahid yang berada di dalam kawasan penalti mengutip bola yang gagal disepak kemas oleh pertahanan lawan, untuk melepaskan rembatan kencang dari jarak dekat pada minit ke-89 sekali gus memadamkan keriuhan sorakan penyokong tuan rumah.

Ini adalah kali keempat Terengganu mara ke perlawanan akhir. Kali terakhir mereka ke akhir pada 1998, juga bertemu Perak di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk muncul naib juara.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bmZlY2sw © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan