Jumaat, 22 Disember 2017

Selangor idam robek Kelantan

ARKIB : 28/02/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Jurulatih Selangor, K. Devan (gambar) mempunyai formula rahsia untuk merobek rekod bersih Kelantan di bawah bimbingan Peter Butler apabila dua pasukan teratas Liga Super itu berentap di Stadium Shah Alam, malam ini.

Menurut Devan, berdasarkan pengamatannya, Kelantan yang hanya 'dilabel sebagai kalah' selepas dihukum oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam perlawanan pertama musim ini, gah dengan enam kemenangan setakat ini kerana tidak pernah berdepan pasukan terkuat liga.

''Saya akui Kelantan sebuah pasukan yang bagus kerana memiliki barisan penyerang yang mempunyai penyudah tajam.

''Mereka banyak menjaringkan gol, namun dalam masa yang sama juga kerap bolos.

''Kelantan menang semua perlawanan liga setakat ini kerana berdepan pasukan yang boleh dikatakan pasukan sederhana sahaja, bukan pasukan terkuat liga seperti Kedah atau KL PLUS.

''Saya melihat formula kejayaan jurulatihnya, Butler adalah disebabkan ketajaman barisan serangannya.

''Untuk itu, saya sudah bersedia untuk menyekat Kelantan esok. Namun pertembungan esok satu perlawanan yang sukar buat kami.

''Pertembungan esok (hari ini) penting untuk membuktikan Selangor masih memiliki kualiti sebuah pasukan juara, juga untuk memberi keyakinan semula kepada penyokong kami,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Kelantan kini menerajui Liga Super dengan mengumpul 18 mata, Selangor kedua dengan 15 mata, berkongsi mata dengan Perlis di tangga ketiga.

Sementara itu, Butler berkata, dia turut menjangkakan pertembungan menarik di Stadium Shah Alam hari ini dan para pemain diarah supaya beraksi seperti biasa.

Jelasnya, kehadiran penyokong kedua-dua pasukan yang dijangka akan menawan Stadium Shah Alam, akan menghangatkan lagi perlawanan.

''Memang perlawanan esok diramal menarik, namun saya tidak akan membuat banyak perubahan dalam skuad ini.

''Kami akan beraksi seperti biasa dengan sasaran untuk meneruskan rentak kemenangan.

''Kemenangan ke atas pasukan handal seperti Selangor akan menambahkan lagi semangat kepada para pemain untuk kami lebih yakin mengharungi cabaran hingga ke hujung musim,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5232aQord

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kelantan berdepan saingan sebenar

ARKIB : 27/02/2009
Oleh WAN ZULKIFLI YAACOB
sukan@utusan.com,my
KOTA BHARU - Setelah mengharungi tujuh perlawanan, Kelantan yang menunjukkan ia semakin sukar digugat, bakal berdepan dengan saingan sebenar, gergasi merah, Selangor, esok.

Kelantan yang melangkah ke Liga Super musim ini dengan penuh yakin mahu membuktikan ia tidak akan berterusan menjadi budak belasahan berdepan dengan pasukan Merah Kuning itu.

Ia mahu menamat badi kekalahan ke atas pasukan Selangor apabila beraksi di gelanggang lawan itu sejak 30 tahun lalu dan melebarkan kedudukannya di tangga teratas daripada digapai lawan.

Skuad Kelantan yang cuba diberi jolokan baru, 'Wira Merah' menjelang perlawanan menentang Selangor, esok sudah dipersiapkan dengan perancangan rapi termasuk dari segi pertarungan mental.

Malah, lebih 5,000 penyokong akan berarak ke Stadium Shah Alam termasuk menggunakan 20 buah bas untuk mengiringi perjuangan skuad Kijang.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, Kelantan mampu melakukan kejutan menewaskan pasukan Selangor berdasarkan prestasi membuak yang ditunjukkan kesebelasan pemain Kelantan pada masa ini.

Beliau akui rekod Kelantan di gelanggang lawan sebelum ini buruk tetapi skuad Kelantan pada musim ini merupakan yang terbaik dan tidak boleh diperlekehkan lagi.

''Bukan sesuatu yang mustahil Kelantan berjaya menamatkan badi kekalahan ke atas Selangor apabila beraksi di Stadium Shah Alam, Sabtu ini (esok)," katanya di Kota Bharu semalam.

Selain itu, Anuar berkata, kemenangan ke atas Selangor dalam perlawanan itu juga penting bagi mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai pendahulu Liga Super setakat ini dan juga melonjkkan moral pemain.

Bagi Annuar sekiranya Selangor dapat ditewaskan dengan bergaya, anak buahnya di bawah kendalian Peter Butler mampu menumpaskan pasukan mana sekalipun.

Bagaimanapun jelasnya, barisan pemain Kelantan tetap menghormati Selangor yang mempunyai barisan pemain muda yang hebat dan pasukan itu juga didapati ingin merampas semula sebagai pendahulu Liga Super .

''Pemain-pemain Kelantan telah berjanji akan mempamerkan persembahan yang terbaik bagi menjamin mereka dapat mengutip tiga mata penuh di gelanggang lawan," ujarnya



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5230puya9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kedah terselamat, Kelantan mengganas

ARKIB : 22/02/2009
 
PEMAIN Perlis, Nizaruddin Yussof (kiri) mengasak kapten PKNS, Ahmad Tharmini Saiban pada perlawanan Piala FA di Stadium MBPJ malam tadi. Perlis menang 2-1. - mINGGUAN/ Zulhafiz Hanafiah

KUALA LUMPUR - Jaringan penyamaan Baddrol Bakhtiar menyelamatkan juara bertahan, Kedah, daripada tersungkur di Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk mengikat UPB-MyTeam 1-1 dalam perlawanan pertama pusingan kedua bola sepak Piala FA, semalam.

Tuan rumah ketinggalan dengan gol V. Saravanan pada minit ke-18 sebelum sayap kanan Kenari itu menyamakannya pada minit ke-78.

Pendahulu Liga Super musim ini, Kelantan pula seperti sudah mampu menguak pintu suku akhir apabila berpesta gol dengan membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-1 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

Antara penjaring skuad Wira Merah ini ialah Khalid Jamlus (dua gol) dan Nor Farhan Muhammad yang meletakkan mereka selesa apabila bertandang ke gelanggang lawan.

Bekas juara empat kali, Selangor pula hanya mampu menewaskan Kuala Lumpur 1-0 dengan jaringan sendiri pemain tuan rumah, Azidan Sharudin pada minit ke-89 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Terengganu pula menyekat langkah garang pendahulu Liga Perdana 2009, Harimau Muda di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dengan menumpaskan skuad bawah 20 tahun negara itu, 2-1.

Minit ke-22 menyaksikan Abdul Manaf Mamat menyamakan gol pendahuluan pelawat, Fadhli Shas, seminit sebelumnya manakala Ismail Faruqi Ashaari memastikan kemenangan dengan jaringan sepakan bebas pada minit ke-80.

Tidak jauh dari situ, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, T-Team menang dua gol tanpa balas ke atas Sarawak.

KM Naza mengikat Perak 1-1 di Stadium Perak, Ipoh manakala di Stadium Negeri, Batu Kawan, menyaksikan Pulau Pinang terselamat dengan terikat 1-1 dengan Negeri Sembilan. Perlis pula cemerlang 2-1 mengalahkan PKNS di Stadium Petaling Jaya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51z61K2nq

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 20 Disember 2017

Amukan Kelantan benam Tok Gajah

ARKIB : 18/02/2009

PEMAIN Kelantan, Wan Zamani Wan Mustapha (tengah) berusaha melepaskan diri daripada kawalan dua pemain Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi. Kelantan menang besar 5-1. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH

KUALA LUMPUR - Ketepi Selangor, kini giliran Kelantan menerajui Liga Super.

Pasukan pantai Timur itu menepati status selaku pasukan terbaik Liga Super apabila mengambil alih teraju liga dari Selangor selepas membelasah Pahang 5-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.

Kejayaan Kelantan menjadi peneraju baru Liga Super dibantu kekalahan mengejut Selangor yang tersungkur di gelanggang sendiri di Stadium Shah Alam 0-1 kepada UPB MyTeam.

Kelantan ternyata terlalu handal buat Pahang apabila menjaringkan gol menerusi Khalid Jamlus (minit pertama, m-74), Zainol Fitri Ishak (minit kesembilan), Mohd. Badri Mohd. Radzi (m-61) dan Indra Putra Mahayuddin (m-62).

Pahang sekadar memperoleh gol sagu hati pada minit ke-25 hasil jaringan Hasmizan Kamaruddin.

Kelantan kini unggul di puncak liga dengan 18 mata selepas tujuh perlawanan.

Di Shah Alam, rentak cemerlang anak buah K. Devan tercalar apabila dikalahkan oleh pasukan di kelompok bawah liga, MyTeam hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-67.

Selangor yang jatuh di tangga kedua dengan 15 mata, terpaksa berkongsi mata dengan Perlis yang naik ke tangga ketiga selepas menang 2-1 di Stadium J-Corp, Pasir Gudang.

Skuad bimbingan Irfan Bakti itu meraih tiga mata bermula dengan jaringan menerusi sepakan penalti Ahmad Fakri Sarani di minit pertama, disusuli gol Mohd. Firdaus Faudzi enam minit kemudian sebelum Johor FC cuba bangkit menerusi gol Mohd. Syaifol Sabtu di minit 57, namun pelawat mempertahankan kedudukan sehingga perlawanan tamat.

Kejayaan Perlis melonjak di tangga ketiga dari tempat kelima dibantu keputusan seri tanpa jaringan perlawanan di antara Negeri Sembilan dan KL PLUS di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban.

Juara treble, Kedah turut memperbaiki kedudukan dari tangga kesembilan naik ke tempat ketujuh selepas menundukkan KM Naza 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Mohd. Khyril Muhymeen meletakkan Kedah di depan pada minit ketujuh, namun KM Naza bangkit mengikat kedudukan menerusi Victor Andrag pada minit ke-30.

Badrol Baktiar muncul wira apabila meledakkan gol kemenangan Kedah pada minit ke-51.

Pulau Pinang turut memperbaiki kedudukan dengan naik satu anak tangga selepas menundukkan Polis 3-1 di Stadium Negeri Batu Kawan.

Namun, pasukan pelawat memberi kejutan menerusi gol awal Khairulzal Azmi pada minit kelapan.

Mohd. Nor Azlan memulakan kebangkitan Pulau Pinang seawal minit ke-29, disusuli jaringan M. Prakash (m-90) dan Mohd. Rafiuddin Roddin.

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah mencatat kekalahan keempat apabila tewas 0-1 kepada Terengganu menerusi jaringan Hariri Mohd. Safli pada minit ke-56
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51qkhjGsF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kelantan tunggu lampu hijau Simic

 MARKO SIMIC (kanan) pernah beraksi untuk Negeri Sembilan sebelum
MARKO SIMIC (kanan) pernah beraksi untuk Negeri Sembilan sebelum menyertai Melaka United dan kini semakin hampir menyarung jersi Kelantan.
Yatimin Abdullah

17 Disember 2017 8:25 PM
KOTA BHARU 17 Dis. - Kelantan kini hanya menunggu ‘lampu hijau’ Marko Simic untuk membawa masuk bekas penyerang berbisa Melaka United itu bagi memperkuatkan jentera penggempur The Red Warriors (TRW) menghadapi musim baharu Liga Malaysia (Liga M).

Penyerang tinggi lampai dari Croatia itu dijangka tiba di Kota Bharu esok bagi membincangkan terma kontrak bersama TRW, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman.


“KAFA memang berminat mendapatkan khidmat Simic untuk musim hadapan dan ketika ini kita sedang menunggu maklum balas daripadanya.

“Sekiranya Simic setuju, kita akan ikat pemain ini secepat mungkin,” katanya kepada Utusan Online di sini, hari ini.

Kewibawaan Simic, 29, tidak perlu dipertikai apabila membantu skuad Hang Tuah kekal dalam kempen Liga Super musim depan walaupun dibawa masuk pada pintu perpindahan kedua pemain bagi saingan Liga M.

Biarpun hanya separuh musim bersama skuad kendalian Eduardo Almeida, namun ternyata sentuhan penyudah bekas tonggak Negeri Sembilan itu cukup tajam apabila meledak sembilan gol dalam lapan perlawanan termasuk pada kempen Piala Malaysia. - UTUSAN ONLINE
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kelantan-tunggu-lampu-hijau-simic-1.574665#ixzz51qdsmZKi

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 17 Disember 2017

Isu KAFA: FAM buat 'pusingan U'

ARKIB : 22/01/2009
KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat pusingan U berhubung kes kemenangan 3-0 dan tiga mata percuma buat KL PLUS ke atas Kelantan pada perlawanan Liga Super musim 2009 apabila bersedia mengkaji semula rayuan yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), semalam.

Naib Presiden FAM, Datuk Che Mat Jusoh berkata, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang dipengerusikannya turut memerlukan sedikit masa untuk memperhalusi sejauh mana asas rayuan KAFA berhubung keputusan perlawanan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu pada 3 Januari itu.

"Mesyuarat jawatankuasa tadi (di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam) bersetuju mengarahkan seorang pegawai mengkaji dan memperhalusi laporan rayuan yang diterima daripada KAFA. Saya tidak pasti bilakah kami akan mesyuarat lagi untuk memutuskannya," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kenyataan beliau jelas satu kejutan kerana Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad sebelum ini menegaskan bahawa KAFA tidak berhak merayu kerana keputusan pemberian kemenangan dan mata itu sudah muktamad dan berkaitan dengan teknikal, malah tidak boleh ditangani seperti kes tatatertib pemain atau pegawai pasukan.

Kelantan dipersalahkan kerana gagal menjalankan persediaan bagi perlawanan itu di gelanggang berkenaan walaupun mereka memberikan alasan keadaan hujan lebat sehingga mendorong sekumpulan penyokong skuad Wira Merah itu mengadakan demonstrasi bantahan di depan Wisma FAM, 9 Januari lalu.

Azzuddin bagaimanapun pernah menyatakan selepas satu sesi ceramah rasuah bola sepak di Shah Alam, 14 Januari lalu bahawa keputusan tersebut mampu diubah sekiranya Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah menggunakan kuasa budi bicaranya.

Sementara itu, Che Mat berkata, beberapa lagi perlawanan Liga Super musim ini turut akan dipinda memandangkan pembabitan Kedah dan Johor FC sebagai wakil Malaysia dalam Piala AFC 2009 yang akan bermain secara liga timbal balik di peringkat kumpulan mulai Mac ini.

"Kami tidak boleh mengelakkannya kerana undian Piala AFC itu hanya dibuat setelah musim liga kita bermula awal tahun ini malah sebelum ini berlaku pertukaran pasukan apabila Negeri Sembilan dan Selangor menolak penyertaannya," ujarnya.

Menurut Che Mat, jawatankuasa turut mahu menyarankan FAM supaya melangsungkan kejohanan jemputan tahunan antarabangsanya, Pestabola Merdeka Ke-41 pada awal Ogos.

"Tidak seperti Pestabola pada Oktober tahun lalu, kali ini ia wajar diadakan sejurus selesai Liga Super dan Perdana pada Julai apatah lagi umat Islam akan menyambut Ramadan dan Aidilfitri dari 20 Ogos hingga 20 September.

"Kami juga mungkin memulakan Piala Malaysia selepas itu pada hari keenam Syawal manakala undiannya dijadualkan pada 15 Ogos," katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51WXWarWa

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 14 Disember 2017

Keputusan muktamad

ARKIB : 10/01/2009
Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN
 
Azzuddin Ahmad (kanan) menerima memorandum daripada Marhashim Mat di Wisma FAM, semalam.
- Gambar NOORADZRENE MOHD NOOR

KUALA LUMPUR - Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada KL PLUS dalam kempen Liga Super 2009 ke atas Kelantan adalah muktamad.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan undang-undang setelah merujuk laporan lengkap komisioner perlawanan.

"FAM bukan nak sewenang-wenangnya membuat keputusan itu. Ia diambil berdasarkan laporan jawatankuasa. Kalau kita tidak tegas dalam pendirian itu (berkaitan undang-undang), bermakna tiada guna ada peraturan. Keputusan FAM dalam kes ini berlandaskan peraturan yang ada," tegasnya pada sidang akhbar selepas menerima memorandum bantahan dari Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan di Wisma FAM di sini semalam.

Memorandum tersebut diserahkan oleh presiden kelab itu, Marhashim Mat yang turut menyaksikan kira-kira 100 penyokong skuad Wira Merah dari Kota Bharu turut mengiringi presiden mereka ke Wisma FAM.

Sabtu lalu, komisioner perlawanan memutuskan untuk menunda perlawanan antara Kelantan dengan KL PLUS pada keesokan harinya kerana padang di stadium tidak mempunyai garisan.

Namun kelmarin, FAM memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada KL PLUS atas alasan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal menyediakan gelanggang perlawanan disebabkan keadaan padang yang becak dan teruk serta ditakungi air ekoran hujan lebat beberapa jam sebelumnya.

Gagal

Dalam pada itu, Azzuddin turut mendedahkan, selain padang becak, KAFA juga gagal menyediakan venue untuk perlawanan tersebut seperti yang terkandung dalam undang-undang.

Kata Azzuddin lagi, sebelum perlawanan yang dijadualkan malam Sabtu lalu, pegawai perlawanan telah memeriksa padang berkenaan sebelah siangnya dan mendapati padang itu tidak layak digunakan disebabkan garisan tidak ada (secara lengkap) atau tidak mengikut spesifikasi

"Malah, KAFA juga gagal menyediakan venue pilihan untuk membolehkan perlawanan dibuat dalam tempoh 24 jam disebabkan hanya Stadium Sultan Mohammed IV sahaja didaftarkan dengan FAM sebagai gelanggang tuan rumah," ujarnya.

Apa pun, Azzuddin turut memaklumkan, KAFA berhak mengemukakan rayuan atas keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM itu dalam tempoh 14 hari dan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah akan mempertimbangkan tindakan berkenaan atas budi bicara baginda.

"Setakat ini KAFA belum mengemukakan sebarang rayuan atas keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM itu," jelasnya.

Azzuddin turut menafikan laporan yang disiarkan oleh media tempatan semalam yang memetik sumber dari KAFA, kononnya FAM menghantar surat yang menyatakan perlawanan antara Kelantan dan KL PLUS ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"Laporan tersebut tidak benar. FAM tidak pernah mengeluarkan surat berkenaan kepada KAFA," tegasnya.

Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51IhPbscn

© Utusan Melayu (M) Bhd

FAM nak lawan kuasa Tuhan?

RKIB : 09/01/2009
Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
 
KIRA-KIRA 100 penyokong skuad Kelantan mengadakan perhimpunan membantah terhadap keputusan FAM memberikan kemenangan percuma kepada KL PLUS di Stadium Sultan Muhammed IV, semalam.

KOTA BHARU - Kira-kira 100 penyokong skuad Kijang mengadakan perhimpunan di Stadium Sultan Muhammed IV di sini semalam bagi membantah keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM yang memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada KL Plus kelmarin.

"Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) nak lawan kuasa Tuhan". Itulah antara luahan hati peminat pasukan bola sepak yang ditampilkan pada sepanduk yang dibawa sebagai tanda protes.

Setiausaha Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan, Muhammad Yatimin menganggap keputusan FAM itu sebagai satu episod malang bagi skuad kijang yang mula beraksi dalam Liga Super.

"Hujan lebat bukan disengajakan malah ia adalah kuasa Tuhan. Tindakan FAM ini seolah-olah cuba menentang kuasa Illahi.

"Sebagai penyokong setia pasukan kami tidak boleh terima kekalahan seperti ini lebih-lebih lagi ini adalah kali pertama pasukan kami beraksi di Liga Super," tegasnya ketika ditemui.

Sabtu lalu, komisioner perlawanan memutuskan untuk menunda perlawanan antara Kelantan dan KL PLUS pada keesokan harinya kerana padang di stadium tidak mempunyai garisan.

Pada keesokan harinya pula, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menerima surat daripada FAM bahawa perlawanan tersebut akan ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Namun kelmarin FAM memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada KL PLUS atas alasan KAFA gagal menyediakan venue perlawanan disebabkan keadaan padang yang becak dan teruk serta ditakungi air ekoran hujan lebat beberapa jam sebelumnya.

Selepas keputusan FAM itu, Setiausaha Agungnya, Leftenan Jeneral (B) Datuk Azzuddin Ahmad memberitahu, KAFA berhak mengemukakan rayuan atas keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM itu dalam tempoh 14 hari.

Seorang penyokong, Aidil Fitri Mohd. Adham, 26, dari Bachok berkata, keputusan FAM itu dianggap sebagai tidak adil kerana menjatuhkan kesalahan kepada pasukan tuan rumah walaupun pasukan pelawat juga bersetuju menangguhkan perlawanan.

"FAM cuba menunjukkan 'kuku besi' dengan membuat keputusan sendiri tanpa memanggil pengurusan pasukan Kelantan dan KL PLUS untuk memberi penjelasan.

"Kami boleh menerima hukuman tersebut sekiranya ia disebabkan lampu limpah tidak menyala atau gagal menyediakan pasukan keselamatan bukannya kerana hujan lebat," ujarnya kesal.

Dalam pada itu KAFA menyifatkan keputusan FAM memberi kemenangan percuma kepada KL PLUS atas dakwaan tidak mengambil berat persediaan gelanggang untuk perlawanan Liga Super Sabtu lalu ibarat 'dihukum tanpa bicara'.

Sambil menyatakan rasa terkejut terhadap keputusan itu, seorang jurucakap KAFA yang enggan dikenali berkata, pihaknya tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat bersama FAM bagi membela diri.

Katanya, pihak mereka tidak menjangka keputusan tersebut namun buat masa ini menetapkan pendirian menerima hukuman itu dan akan memikirkan tindakan selanjutnya dalam tempoh terdekat.

''Kami terkejut dengan keputusan FAM itu. Kami tidak jangka akan dikenakan hukuman kerana menyangka satu perlawanan lain akan diadakan. Sepatutnya perlawanan tempoh hari ditunda kerana ia tidak dapat dilangsungkan akibat hujan lebat sehingga padang dipenuhi air.

''Kami bukan sengaja enggan meneruskan perlawanan tetapi ia disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan. Satu Malaysia tahu Kelantan mengalami banjir ketika itu. Malah pasukan tuan rumah dan pelawat juga sudah bersedia untuk memulakan perlawanan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51IZhtccK

© Utusan Melayu (M) Bhd

Butler puas hati aksi pertama Kelantan

ARKIB : 08/01/2009
PETALING JAYA - Menang 4-2 di tempat lawan dalam perlawanan pertama Liga Super sudah cukup untuk membuatkan jurulatih Kelantan, Peter Butler berasa senang dengan pemainnya selepas mengalahkan UPB-MyTeam di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kelmarin.

Pengendali dari England itu berkata, pemainnya menunjukkan permainan yang menakjubkan walaupun pada suatu ketika ketinggalan 2-1.

''Saya berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan terutama pemain senior yang ternyata mempunyai pengalaman dan tidak gelabah untuk kembali bersaing walaupun ketinggalan,'' kata Butler dalam sidang media selepas tamat perlawanan kelmarin.

Jelasnya, walaupun agak kecewa kerana tidak dapat beraksi Sabtu lalu tetapi pemain tetap bersabar dan menyajikan permainan yang menakjubkan terutama pada separuh masa kedua.

''Ternyata mereka mempamerkan permainan berkualiti berdasarkan pengalaman yang mereka miliki dan menentang pasukan yang bagus seperti MyTeam.

''Saya juga berpuas hati dengan beberapa pemain muda terutamanya Mohamad Zamri Ramli, dia ternyata tidak kekok bergandingan dengan pemain yang lebih senior,'' kata bekas pemain West Ham United itu.

Namun Butler tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya selepas bolos dua gol pada separuh masa pertama.

''Saya kecewa sebab kami melepaskan dua gol pada separuh masa pertama tetapi pemain berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan seterunya meraih tiga mata.

''Ini adalah permulaan yang positif buat Kelantan dan kami perlu bekerja lebih keras jika mahu berada dalam kedudukan yang terbaik dalam Liga Super,'' kata Butler.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_12.htm#ixzz51IFwuJ9v

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kelantan kalah percuma dalam 24 jam

ARKIB : 08/01/2009
KUALA LUMPUR - Tidak sampai pun 24 jam meraikan kemenangan sulung kelmarin, Kelantan dipaksa menyerahkan kemenangan percuma 3-0 kepada KL PLUS gara-gara tidak mengambil berat persediaan gelanggangnya, Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu bagi perlawanan pertama bola sepak Liga Super, Sabtu lalu.

Skuad Kijang atau kini mahu digelar Wira Merah ini turut kehilangan tiga mata daripada perlawanan tersebut yang gagal dikatakan dilangsungkan oleh tuan rumah atas alasan keadaan padang yang becak dan teruk serta ditakungi air ekoran cuaca hujan lebat di Kota Bharu, beberapa jam sebelumnya.

Tarikh baru perlawanan itu juga belum ditetapkan walaupun pada kebiasaannya, setiap perlawanan yang ditunda atas alasan cuaca perlu dilangsungkan dalam tempoh 24 jam selepas itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam berkata: "Kelantan didapati gagal membuat persediaan asas sebagai tuan rumah malah tidak memaklumkan kami lebih awal. Jadi kemenangan 3-0 dan tiga mata perlawanan itu diberikan kepada lawannya, KL PLUS."

Katanya, Kelantan bagaimanapun berhak mengemukakan rayuan atas keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang bersidang (petang semalam) dalam tempoh 14 hari.

Kelmarin, skuad bimbingan Peter Butler itu menewaskan UPB-MyTeam 4-2 untuk meraih kemenangan sulung tetapi keputusan FAM itu menurunkan negeri Pantai Timur ke tangga kelapan dari kelima selepas aksi di Stadium Petaling Jaya itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51ICFpjvB

© Utusan Melayu (M) Bhd

Keyakinan Kelantan membara

ARKIB : 02/01/2009
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) meletakkan sasaran awal berada dalam kelompok tujuh terbaik daripada 14 pasukan yang bersaing dalam mengharungi cabaran Liga Super bermula esok.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, skuad Kijang yang pertama kali berjaya melangkah ke liga itu telah diperkukuhkan dengan pemain berstatus bintang seperti Khalid Jamlus, Putra Indra Mahayuddin dan Nor Farhan Mohamad.

"Kita juga menerima seorang lagi ahli baru yang sebelum ini pernah berkhidmat bersama skuad Kijang iaitu Halim Napi yang akan menjadi penjaga gol ketiga.

''Halim telah menunjukkan prestasi yang baik ketika membantu Kelantan menjuarai Piala Emas Raja-Raja 2008 menundukkan Pulau Pinang 4-0 di Kota Bharu baru-baru ini," katanya di sini, kelmarin.

Menurut Annuar, biarpun Kelantan merupakan pendatang baru dalam arena Liga Super namun semangat yang ditunjukkan oleh anak buah Peter Butler dijangka dapat memberi saingan kepada pasukan yang lebih 'senior'.

"Saya yakin Peter Butler mempunyai resipi sendiri untuk menggilap para pemain agar mereka dapat mempersembahkan prestasi terbaik setiap kali turun padang bertemu lawan sama ada di laman sendiri atau tempat lawan," jelas beliau.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz51H0aIZCF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 13 Disember 2017

Pemain Kelantan buat aktiviti sosial

ARKIB : 29/11/2008
KUALA LUMPUR - Selepas mendapat khabar gembira bakal beraksi dalam Liga Super pada musim 2009, pasukan Kelantan mengambil keputusan untuk menggalakkan pemain mereka membabitkan diri dalam aktiviti sosial.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa, langkah ini juga bukan sahaja dapat mendekatkan pemain dengan peminat setia tetapi menjadi contoh kepada masyarakat mengenai keprihatinan pemain bola sepak dalam menjaga alam sekitar serta budaya.

''Pemain bola sepak Kelantan sentiasa menjadi sanjungan peminat dan pemain dianggap sebagai idola. Oleh itu kami ingin membalas kepercayaan peminat dengan menunjukkan nilai yang baik kepada mereka,'' katanya pada majlis penajaan jersi skuad bola sepak itu di sini, semalam.

Jelasnya, pemain bukan sahaja perlu menunjukkan disiplin di dalam padang sebalik mempamerkan contoh yang murni ketika di luar padang.

''Kami tidak mahu pemain dan persatuan terjebak dengan segala kontroversi sebaliknya menunjukkan semangat seperti mencintai alam sekitar dan budaya.

''Setiap bulan kami akan mengadakan program bersama peminat seperti membersihkan bandar Kota Bharu, membersihkan pantai, mengadakan gotong-royong di sekolah dan tadika serta mengedarkan risalah di kawasan stadium,'' ujar Annuar.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz519VKAekD

© Utusan Melayu (M) Bhd

Hasrat Kelantan tercapai

ARKIB : 28/11/2008
KOTA BHARU – Hasrat penyokong Kelantan untuk melihat pasukan mereka beraksi pada saingan yang lebih berprestij, Liga Super untuk musim 2009 bakal menjadi kenyataan apabila pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menarik diri daripada Liga Malaysia ekoran masalah kewangan.

Bagaimanapun, khabar berita itu hanya disampaikan melalui lisan oleh pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Noordin Awang selepas menghadiri satu taklimat di Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Nordin berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang tawaran rasmi daripada badan induk bola sepak negara itu.

“Keputusan sama ada Kelantan layak atau tidak, hanya akan diputuskan pada Majlis Mesyuarat FAM yang akan berlangsung 6 Disember ini. Kita berdoa agar keputusan tersebut akan memihak kepada kita kerana memang impian kita untuk beraksi pada saingan liga super,” katanya.

Apa pun yang pasti, beliau menjelaskan, pasukan itu bersiap sedia sepenuhnya andai dinaik taraf ke kelompok elit bola sepak kebangsaan.

Katanya, pihak pengurusan dan para pemain bersedia untuk memberi komitmen terbaik sekiranya diberi peluang untuk beraksi dalam saingan liga tersebut
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz518xGoxBh

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 11 Disember 2017

Indra sah wakili pasukan Kelantan

ARKIB : 29/10/2008
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
 
Annuar Musa (barisan depan dua dari kiri) menerima surat kontrak daripada Indra Putra Mahayuddin pada majlis Rumah Terbuka KAFA sempena Aidilfitri di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU - Pemain bola sepak kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin semalam sah berada dalam senarai pemain berstatus bintang skuad Kelantan untuk menempuh musim baru Liga Malaysia lebih menyakinkan dan penuh harapan.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri persatuan tersebut di Wisma KAFA dekat sini, semalam.

Kedatangan bekas pemain Selangor itu telah melengkapkan pasukan tersebut dalam usahanya menyuntik nafas baru agar skuad Kijang berupaya melompat lebih jauh dan berada dalam lingkungan pasukan elit di negara ini.

Menurut Annuar, Indra telah menandatangani kontrak bersama Kelantan sejak beberapa minggu lalu, namun tidak dihebahkan kepada media kerana memberikan ruang kepadanya untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam skuad kebangsaan.

"Kita sengaja tidak menghebahkan perkara ini lebih awal kerana tidak mahu tumpuan Indra yang ketika itu sedang memikul tugas bersama skuad negara dalam Pestabola Merdeka terjejas.

"KAFA amat berharap dengan kehadiran pemain ini akan memberikan suntikan semangat dan melengkapkan pasukan dalam mengharungi cabaran dalam Liga Perdana nanti," katanya.

Sementara itu, Annuar turut mengumumkan, ketua jurulatih Kelantan, Peter Butler sebagai pengurus pasukan yang baru bagi menggantikan Timbalan Presiden KAFA, Ahmad Jazlan Yaacob.

Menurutnya, bekas jurulatih Persiba Balik Papan, Indonesia itu dilihat berupaya untuk memikul tanggungjawab tersebut selain mencorakkan pasukan yang akan dibentuk.

"Kita mahukan satu kelainan sebab itu kita memilih Peter untuk menjawat jawatan sebagai pengurus pasukan yang mempunyai kuasa sepenuhnya.

"Kita tidak mahu berlaku pertindihan atau perbezaan pendapat antara jurulatih dan pengurus dalam menentukan kedudukan pasukan," katanya.

Dalam pada itu, Indra yang baru tiba di bandar ini bersama seorang lagi pemain kebangsaan, Daudsu Jamaluddin optimis dengan keupayaan pasukan barunya ini.

Pemain sayap itu juga percaya gandingannya dengan bekas rakan sepasukan di Perak, Khalid Jamlus dalam skuad Cik Siti Wan Kembang ini mampu memberikan impak yang besar kepada pasukan lawan.

"Kami berdua tidak pernah berbincang mengenai perkara ini (menyertai Kelantan) dan saya gembira sekiranya digandingkan bersama Khalid lagi selepas kali terakhir kami bersama pada 2001 ketika mewakili Perak.

"Saya berazam untuk membantu Kelantan menjuarai Liga Perdana dan membawa negeri ini menyertai Liga Super untuk musim seterusnya selain membawa pulang beberapa piala lagi tambahan pula pasukan ini ialah tempat asal ibu saya," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz511tRKaXL

© Utusan Melayu (M) Bhd