Ahad, 11 April 2021

Menang tipis ‘hadiah’ pengorbanan pemain – Ragini



Oleh YATIMIN ABDULLAH

12 April 2021, 10:29 am

KOTA BHARU: Kemenangan tipis 1-0 The Red Warriors (TRW) ke atas Kuching City di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin hasil pengorbanan pemain.

Pengendalinya, Marco Ragini berkata, pemain Kelantan FC berhempas pulas untuk mendapatkan tiga mata penuh meskipun dalam keadaan keletihan keletihan.

Menurutnya, kemenangan itu cukup melegakan dalam usaha memburu kedudukan terbaik dalam carta liga.

Sebelum perlawanan… saya beritahu pemain jika mahu menang kita perlu banyak berkorban.

Kena keluarkan lebih banyak tenaga sehingga habis….(tapi) mereka benar-benar kepenatan dan apa yang dilakukan wajar diberi pujian,” katanya.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-45 untuk mendapatkan jaringan menerusi Natanael Siringo selepas menanduk masuk bola lambungan Dzulfahmi Abdul Hadi.

Lebih manis, ia kemenangan sulung di tempat sendiri buat TRW.

Tiga kemenangan yang dilakar skuad bimbingan Ragini itu sebelum ini dilakukan di tempat lawan.

Kemenangan itu menyaksikan Kelantan mengumpul 10 mata dan menduduki tangga keempat dalam carta Liga Perdana setakat ini.SUMBER-UM ONLINE

Selasa, 6 April 2021

Kelantan kecewa dalam gembira

 SUKAN



CHANG HOON merembat masuk bola sehingga menewaskan penjaga gol Kelantan FC, Mohd. Faridzuean pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin. – SUFC

Kelantan kecewa dalam gembira

Oleh KOSMO!

5 April 2021, 10:05 am

PENGENDALI Kelantan FC, Marko Ragini menyifatkan kekalahan tipis 0-1 di tangan Sarawak United pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini kelmarin sebagai satu perkara yang kecewa namun menggembirakan.

Ragini berkata, meskipun kekalahan itu amat pedih untuk ditelan, dia tetap gembira de­ngan aksi yang diperagakan oleh tonggak The Red Warriors (TRW).

Menurutnya, barisan pemain Kelantan telah menunjukkan corak permainan yang semakin baik pada setiap perlawanan.

Saya optimis jika pemain meneruskan rentak ini, tidak mustahil kita akan berada di landasan terbaik untuk menjadi pasukan kuat nanti,” katanya.

Pada aksi itu, rembatan jarak jauh pemain tengah Sarawak United, Lee Chang-hoon pada minit ke-39 sudah cukup buat skuad Kenyalang Emas untuk menumbangkan Kelantan FC 1-0.

Jaringan itu hasil hantaran pendek Sandro Da Silva Mendonca yang dimanfaatkan oleh Chang-Hoon untuk menewaskan Mohd. Faridzuean Kamarudin di pintu gol tuan rumah.

Mengulas lanjut, Ragini memberitahu, dia berterima kasih kepada barisan pemain yang telah memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu.

Katanya, beraksi dalam jadual padat perlawanan memberikan kesan kepada aksi pemain, namun itu bukan satu alasan untuk tidak beraksi cemerlang.

Saya harap pemain terus kekal fokus untuk perlawanan berikutnya bagi memastikan sasaran pasukan mampu dicapai,” ujarnya.SUMBER-SUKAN KOSMO ONLINE

Khamis, 1 April 2021

‘Setuju potongan, saya bayar langsai’



NORIZAM Tukiman melancarkan TRWpay, sistem pembayaran atas talian yang dibangunkan khas untuk pasukan Kelantan FC.

Oleh YATIMIN ABDULLAH

1 April 2021, 2:47 pm

KOTA BHARU: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sedia me­langsaikan semua tunggakan gaji bulan November membabitkan lima bekas tonggak The Red Warriors (TRW) musim 2020 sekiranya mereka bersetuju dengan syarat pemotongan sebagaimana telah diterima oleh rakan sepasukan yang lain sebelum ini.

Lima pemain yang membuat tuntutan menerusi Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) ialah Nazrin Nawi, Farisham Ismail, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Masaki Watanabe.

Norizam atau Zamsaham berkata, jika lima pemain itu te­rus ‘berkeras’ dengan keputusan untuk membuat tuntutan penuh, mereka perlu menunggu sehingga beliau mendapat keuntungan hasil perniagaan diusahakannya.

Saya memang nak bayar…cuma kalau nak penuh (bayaran) kena tunggu.

Sebab saya kena berniaga, jual burger atau ‘trade’ saham. Bila dah ada untung, baru ada pitih (duit) nak bayar (mereka yang mahu penuh),” katanya menerusi Facebook miliknya, semalam.

Tunggakan gaji lima pemain itu membabitkan bayaran bagi November tahun lalu yang berjumlah RM158,857.

Zamsaham memberitahu, beliau terpaksa berbuat demikian kerana tidak mendapat sebarang tajaan atau geran daripada mana-mana pihak.

Katanya, beliau juga sentiasa terbuka untuk melakukan rundi­ngan berhubung perkara itu.

Saya cuma berharap pemain terlibat memahami situasi di mana kita semua sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 yang memberikan kesan tidak baik pada ekonomi ketika ini,”

Lagipun 90 peratus pemain Kelantan FC sudah bersetuju dengan pemotongan itu, namun masih ada yang menolak tawaran tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Kelantan FC mungkin menjadi kelab bola sepak pertama yang mempunyai sistem pembayaran atas talian sendiri.

Menurut Zamsaham, sistem pembayaran atas talian TRWpay merupakan satu anjakan paradigma bagi kelab tersebut.

Katanya, TRWpay dibangunkan oleh TRW Kelantan FC sendiri dengan disokong oleh SecurePay dan Cool Code.

Selepas ini semua penyokong TRW Kelantan FC yang ingin menyaksikan perlawanan secara atas talian tidak lagi berdepan masalah berkenaan pembayaran kerana ia boleh dilakukan secara atas talian.

Peniaga-peniaga kecil dan penjaja di tepi jalan juga boleh menggunakan TRWpay kerana sistem ini dibangunkan untuk kegunaan peniaga kecil sehinggalah kepada syarikat-syarikat besar,” katanya.SUMBER-UM ONLINE