Kemenangan 3-2 ke atas Perak baru
permulaan buat The Red Warriors bangkit
Yatimin Abdullah
26 Februari 2018 3:00 AM
DHONG-HYUN (kanan) menjadi duri
dalam daging kepada Perak apabila membantu Kelantan menang 3-2 dalam aksi Liga
Super yang mendebarkan di Kota Bharu kelmarin.
PASUKAN Kelantan masih belum boleh
mendabik dada dengan kemenangan sulung yang diraih ketika menumpaskan Perak
3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.
Pengendali sementara The Red
Warriors (TRW) Yusri Che Lah berkata, masih banyak kelemahan yang perlu
diperbaiki sekiranya mereka mahu melangkah lebih jauh dalam saingan musim ini.
Beliau berharap barisan pemain
TRW tidak terlalu dibuai dengan kejayaan itu sebaliknya mahu fokus untuk
mengharungi baki saingan Liga Super.
“Kemenangan ke atas Perak baru
permulaan buat TRW untuk kembali bangkit selepas kita mempamerkan aksi tidak
konsisten dalam tiga perlawanan sebelum ini.
“Saya akui kemenangan ini
merupakan tonik yang cukup berharga untuk TRW mencipta lebih banyak kejayaan,”
katanya kepada Kosmo! semalam
Pada perlawanan itu, hatrik Do
Dhong-hyun pada minit ke-67, ke-77 dan ke-87 memastikan TRW meraih tiga mata
pertama musim ini.
Bagaimanapun, pasukan pelawat
bermula garang apabila meledak dua jaringan pada minit ke-21 dan ke-68
masing-masing menerusi Mohd. Nor Hakim Hassan serta Wonder Luiz Junior.
Dalam pada itu, Yusri
menghamburkan pujian kepada barisan pemain yang disifatkan beraksi cukup
cemerlang sepanjang tempoh 90 minit.
Katanya, semangat juang itu cukup
mengujakan apabila mereka berjaya bangkit selepas ketinggalan dua kali
sepanjang perlawanan tersebut.
“Saya amat berharap momentum ini
dikekalkan pada perlawanan akan datang.
“Bukan itu sahaja, saya juga
harus berterima kasih kepada kepimpinan tertinggi Persatuan Bola Sepak Kelantan
(KAFA) terutama Presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan kerana memberi kepercayaan
untuk membimbing pasukan walaupun hanya sebagai jurulatih sementara,” ujarnya.
SUMBER-KOSMO ONLINE 26 Februari
2018