Khamis, 28 Julai 2016

Misi Kelantan juara kumpulan

ARKIB : 21/03/1998
KELANTAN menjanjikan tentangan sengit ketika bertemu Terengganu di Kuala Terengganu malam ini sekalipun sudah layak ke separuh akhir perlawanan kelayakan ke Liga Perdana Satu.

Kejayaan Kelantan lebih awal mengiringi Johor ke separuh akhir bukan merupakan satu tiket untuk pemain-pemain berpeluk tubuh sebaliknya akan memastikan misi menjuarai kumpulan B menjadi kenyataan.

Pungutan mata penuh di Kuala Terengganu malam ini sudah pasti bagi Kelantan mengumpul 9 mata untuk mengatasi Johor dengan 7 mata meskipun skuad Jengking itu sudah menempah tiket ke separuh akhir lebih awal daripada skuad Kijang.

Kemenangan 3-2 ke atas skuad Penyu di Kota Bharu pada 10 Mac lalu bukan nasib semata-mata sebaliknya datang daripada kemampuan pemain yang cepat membaiki kelemahan yang ketara di separuh masa pertama.

Tindakan Terengganu mencuri perhatian dengan dua gol awal pada separuh masa pertama cepat dibaca oleh Suhaidi Yusof dan jurulatih, Kamaruddin Mohd. Noor untuk membenam skuad Penyu dengan kedudukan 3-2.

Berpegang kepada corak permainan Kelantan yang semakin meningkat melalui sesi latihan dan perlawanan, Suhaidi yakin skuad Kijang mampu memberikan tentangan dan mampu mengulangi sekali lagi kejayaan ke atas Terengganu malam ini.

Walaupun tidak memperkecilkan semangat Terengganu untuk mencari kemenangan maruah ke atas Kelantan namun Suhaidi sudah bersedia lebih awal dengan memberikan isyarat kepada pemain-pemainnya agar menentang habis-habisan skuad Penyu.

''Pemain-pemain Kelantan menjanjikan persembahan menarik malam esok (malam ini) kerana setiap permainan adalah penting untuk dimenangi,'' ujarnya kepada Sukan Utusan di Kota Bharu semalam.

Suhaidi berkata, sejarah hitam yang tercetus antara Kelantan dan Terengganu di Kuala Terengganu pada musim lalu merupakan pengajaran bagi anak buahnya untuk tidak mengulangi kejadian buruk pada musim ini.

Bagi Kelantan katanya, kemerosotan musim lalu sehingga meletakkan skuad Kijang membarisi pasukan tercorot sudah cukup menyedarkan pemain-pemain untuk menghadapi persaingan baru merebut tempat ke sepuluh ke Liga Perdana Satu.

Dengan percaturan strategi yang disusun oleh Kamaruddin dan semangat berkobar-kobar oleh kesebelahan utama Kelantan, beliau menaruh harapan pemain-pemain dapat membuktikan kemampuan bukan sahaja di tempat sendiri malah bertandang di tempat lawan.

''Harapan yang tinggi untuk membawa cabaran sengit Liga Perdana Satu adalah matlamat skuad Kijang dan sekali gus menolak tanggapan Kelantan pasukan tidak konsisten seperti musim-musim lalu,'' katanya.

Suhaidi berkata, kehadiran pemain import seperti Adamu Moro Tigana, Luis Puzzuto dan Mario Gomez serta tonggak pertahanan, Ghafor Mohamad serta Wong Kah Loon bersama pemain tempatan termasuk Hashim Mustapha telah menguatkan lagi jentera pemusnah skuad Kijang musim ini.

Oleh: ISMAIL MUHAMAD

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FmCxijoQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Juara matlamat Kelantan

ARKIB : 19/03/1998
KELANTAN yang sudah pun menempah tiket ke pusingan separuh akhir kelayakan ke Liga Perdana Satu setelah menumpaskan Johor 2-1 di Kota Bharu kelmarin kini memburu juara bagi Kumpulan B, lapor ISMAIL MUHAMAD.

Skuad Kijang akan menurunkan kesebelasan utama bagi misi perjuangan terakhir dalam Kumpulan B menemui Terengganu di Kuala Terengganu 21 Mac ini yakin mengutip mata penuh.

Peluang Terengganu ke pusingan separuh akhir sudah pun padam selepas kemenangan Kelantan ke atas Johor di Kota Bharu malam kelmarin.

Bagi Terengganu kemenangan pada 21 Mac ini tidak lagi penting lantaran terjerumus ke Liga Premier Dua tetapi di segi maruah skuad Penyu mungkin mahu membuktikan kepada peminat kekalahan mereka di Kota Bharu 2-3 tempoh hari sebagai takdir selepas mendahului pasukan tuan rumah 2-0.

Pengurus skuad Kelantan, Suhaidi Yusof menjanjikan persembahan terbaik di Kuala Terengganu Sabtu ini dan berharap dapat menurunkan kesebelasan utama termasuk Adamu Moro Tigana yang telah terlepas dari penggantungan dan tonggak pertahanannya, Ghapor Mohamad.

Menurutnya, bagi Kelantan pertemuan pada pusingan kedua sama ada skuad Olimpik 2000 atau Pulau Pinang tidak begitu penting, sebaliknya Kelantan mahu merebut juara Kumpulan B bagi mengatasi rekod skuad Jengking yang memalukan Kelantan dengan jaringan 0-3 ketika pertemuan di Stadium Larkin.

Suhaidi yakin reputasi Hashim Mustapha akan kembali menyerlah dalam pertemuan dengan Terengganu.

Ketua pasukan Kelantan itu dikeluarkan pada minit ke-77 digantikan dengan Wong Kah Loon sementara Zahasmi Ismail menggantikan Mohd. Badrisham Kadir dalam usaha mengubah rentak Kelantan.

Kemasukan seorang lagi pemain muda, Hishamudin Hassan menggantikan Alif Rohaimin Azihan ternyata memberikan tenaga baru untuk Kelantan menyekat impian Johor mendapatkan seri.

Bagaimanapun pertemuan dengan Terengganu nanti, Kelantan belum dapat menjamin penyertaan Mario Gomez yang masih mengalami kecederaan.

Suhaidi menjelaskan, Kelantan tetap menjanjikan persembahan bersih dan peningkatan prestasi pemainnya ketika bertemu Terengganu nanti.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FiBvqHFU © Utusan Melayu (M) Bhd

Perlawanan hidup mati menentang Johor 17 Mac

ARKIB : 16/03/1998
KELANTAN menjanjikan corak permainan agresif dan keras bagi melayan kunjungan Johor pada pertandingan kelayakan bola sepak Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad Keempat, Kota Bharu pada 17 Mac ini.

Dengan meletakkan peluang hidup mati bagi Skuad Kijang untuk ke separuh akhir, Pengurus Kelantan, Suhaidi Yusof yakin kesebelasan utamanya mampu mengekang pasukan pelawat.

Beliau berkata, corak permainan keras yang ditunjukkan oleh Johor ketika menentang Kelantan pada 7 Mac lalu dilihat sebagai senjata memporak-perandakan Skuad Kijang dengan kemenangan 3-0.

Namun bagi Suhaidi, beliau sudah mengatur percaturan untuk mematahkan sengat Johor yang lebih bergantung kepada pemain importnya, Tuboly Frigyes yang bermain cara agresif dan keras sewaktu menentang Kelantan dan juga Terengganu.

''Oleh itu, Kelantan akan lebih menekankan corak permainan keras dan agresif bagi melayan kunjungan Johor pada perlawanan timbal balas di Kota Bharu Selasa ini,'' katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

Menurut Suhaidi, Kelantan akan menurunkan kesebelasan utama termasuk pemain pertahanannya, Ghafor Mohamad yang dilanda kesihatan dan Mario Gomez yang cedera meskipun ketiadaan Adamu Tigana yang menerima kad merah.

Malah katanya, benteng pertahanan Kelantan akan mengenengahkan pemain yang mempunyai corak permainan keras bagi menyekat kemaraan Tuboly.

''Pengalaman lalu menentang Johor memberi ruang kepada Kelantan mempelajari corak permainan Johor yang agak keras terutama pemain import mereka, Tuboly itu,'' katanya.

Suhaidi optimis kesebelasan utama Kelantan mampu mengekalkan corak permainan bersemangat sebagaimana yang ditunjukkan ketika menentang Terengganu di Kota Bharu Selasa lalu yang membawa kemenangan 3-2.

Kesefahaman dan semangat berkobar-kobar di kalangan pemain termasuk dalam sesi latihan menyakinkan Skuad Kelantan boleh menjinakkan Johor.

''Kekalahan Kelantan kepada Johor 0-3 kerana pemain lebih berhati-hati dan menggunakan corak permainan lembut sedangkan Johor begitu agresif di hadapan peminat mereka,'' ujarnya.

Bagaimanapun Suhaidi menjanjikan perlawanan menentang Johor sebagai misi membalas dendam dan untuk mencapai kejayaan itu, Kelantan bersedia mengepung dan melanyak habis-habisan pasukan pelawat.

Tumpuan utama pemain Kelantan ialah kepada Tuboly yang menjadi nadi penggerak dan Suhaidi percaya, pemain import Johor itu tidak akan bermaya dalam kepungan anak buahnya yang terlalu lapar kemenangan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Fi2hWXhc © Utusan Melayu (M) Bhd

Amaran keras, kata dua cetus kebangkitan Kijang

ARKIB : 12/03/1998
AMARAN keras dan kata dua pengurus pasukan Kelantan, Suhaidi Yusof pada masa rehat memberikan perubahan kepada skuad Kijang sehingga membawa kemenangan ketika menentang Terengganu di Kota Bharu, kelmarin.

ISMAIL MUHAMAD melaporkan, Suhaidi ternyata berang dan meluahkan rasa tidak puas hati dengan corak persembahan anak buah pada separuh masa pertama dalam perlawanan itu.

Di bilik persalinan semasa rehat perlawanan, Suhaidi menegaskan kepada pemain, beliau akan meletakkan jawatan selaku pengurus pasukan sekiranya Kelantan tumpas di tangan Terengganu, malam itu.

''Saya betul-betul serius, saya tidak tahu di mana silapnya sikap sambil lewa pemain dalam separuh masa pertama perlawanan itu dan saya terus mengambil keputusan nekad untuk meletakkan jawatan sekiranya Kijang kecundang di gelanggang sendiri,'' ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menarik balik keputusan itu setelah pemain membuktikan komitmen sebenar sehingga mampu mengatasi Terengganu 3-2 walaupun ketinggalan 0-2 pada babak pertama.

Suhaidi mengakui persembahan tempang Mario Gomez yang masih kesakitan di tumit kaki kirinya dan terpaksa dikeluarkan.

Menurutnya, Mario diturunkan setelah pemain itu berkali-kali merayu agar diturunkan bagi merayakan kelahiran anak pertamanya (lelaki) pada sebelah pagi hari perlawanan itu.

''Kemenangan ini juga saya hadiahkan untuk Mario Gomez sebagai hadiah hari kelahiran cahaya matanya yang pertama,'' ujar Suhaidi.

Ketiadaan Adamu Tigana dalam dua perlawanan selepas ini tidak begitu membimbangkan skuad Kijang dengan adanya pemain-pemain di barisan tengah yang boleh mengambil alih tempatnya.

Suhaidi menghargai sumbangan Tigana bagaimanapun terkilan pemain itu diperintah keluar padang pada minit ke-79 selepas memungut dua kad kuning di perlawanan itu.

Sementara itu, jurulatih skuad Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim menyifatkan satu keajaiban dilakukan oleh pemain skuad Kelantan pada separuh masa kedua.

Beliau turut terkejut dengan semangat berjuang pemain skuad Kijang sehingga mampu memporak-perandakan benteng pertahanan Terengganu dan melumpuhkan kedua penjaga gol Tay Sin Kiat dan Zubir Ibrahim.

Beliau menyifatkan ketewasan Terengganu akibat kelemahan penjaga gol yang hilang arah pada babak separuh masa kedua.

Tay Sin Kiat yang diturunkan selaku penjaga gol utama skuad penyu terpaksa dikeluarkan selepas melepaskan dua jaringan pasukan tuan rumah dan penggantinya, Zubir Ibrahim mengulangi kesilapan Tay Sin Kiat untuk Kelantan memperolehi tiga mata penuh perlawanan itu.

''Penjaga gol kami sangat lemah, tidak mempunyai keupayaan dan gugup sehingga Terengganu menemui padah walaupun mendahuli 2-0 pada babak pertama,'' ujar Abdul Rahman ketika ditemui sebaik sahaja selesai perlawanan itu.

Abdul Rahman berkata, kedua penjaga gawang Terengganu perlu menjalani latihan lebih intensif selepas ini dan membuat tabiat gugup dan hilang arah apabila menghadapi tekanan pasukan lawan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FhWyAMnm © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 27 Julai 2016

Kijang kehilangan dua tonggak

ARKIB : 03/03/1998
KELANTAN mula gelisah menjelang pertemuan kelayakan Perdana Satu menentang Johor, Sabtu ini selepas kehilangan dua tonggak utamanya, Mario Gomez dan Wah Kah Loon yang masih dibelenggu kecederaan, lapor MOHD. NOOR ISMAIL.

Pengurus Kijang, Suhaidi Yusof kini terpaksa merangka strategi baru memusnahkan impian kemenangan lawan tanpa dua tonggak tersebut.

Kedua-duanya terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan serius pada perlawanan persahabatan dengan Kelab Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, kelmarin.

Gomez dan Kah Loon juga telah dinasihatkan oleh pegawai perubatan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) agar berehat untuk beberapa hari.

''Menjelang 7 Mac ini, seandainya dua pemain tengah itu tidak dapat diturunkan, Kelantan tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa mempertaruhkan Tuan Kamree Tuan Yahya dan Adamu Tigana di posisi tengah,'' ujarnya di Kota Bharu, semalam.

Suhaidi bagaimanapun menarik nafas lega apabila kecederaan Tigana hampir pulih sepenuhnya untuk digandingkan dengan Tuan Kamree bagi memperkukuhkan barisan tengah skuad itu.

Beliau tidak dapat melindungi rasa kecewa kerana hasrat menurunkan Kah Loon dalam kesebelasan utama pada pertemuan menentang Johor di gelanggang lawan Sabtu ini tidak kesampaian.

Pemain itu yang mengalami kecederaan serius di bahagian tumit kaki kiri kini terpaksa sekadar menjadi penonton, manakala Mario Gomez cedera di bahagian lutut juga terpaksa direhatkan sekurang-kurangnya bagi tempoh seminggu.

Skuad Kelantan menjalani latihan setiap pagi dan petang di Stadium Sultan Muhammad Keempat Kota Bharu menumpukan kepada kepantasan dan kemahiran menjaringkan gol.

Jurulatih Kamaruddin Mohd. Noor dan Hamid Ramli mengakui ketumpulan barisan serangan Kelantan yang sukar menyempurnakan aksi penyudah.

Begitupun, beliau meletakkan kepercayaan kepada tiga pemain utama iaitu Hashim Mustapha, Tuan Kamree Tuan Yahya dan Luis Puzutto yang mempunyai rembatan yang kencang untuk tugas berat itu, termasuk memastikan sepakan percubaan di luar kotak penalti tidak tersasar.

Tugas mengawal gawang pula diberikan kepada Azuan Othman atau Wan Kamaruzaman Mohamad yang bakal menggalas tugas selaku benteng terakhir selepas ketiadaan Halim Napi yang kini menghitung hari pembebasan penggantungannya.

Suhaidi menyedari tugas berat Kelantan di Johor Bahru ketika berhadapan skuad Jengking dengan ribuan penyokong mereka yang mahukan skuad tersebut melepasi cabaran play-off.

Bagaimanapun Kelantan mampu memberikan saingan terbaik dengan perubahan skuad berwajah baru Kelantan di bawah bimbingan dua jurulatih tempatan yang semakin menampakkan belangnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Fc5gTlWG © Utusan Melayu (M) Bhd

Barisan muda Kelantan belasah JKR

ARKIB : 01/03/1998
KELANTAN yang dibarisi sebahagian besar pemain muda membelasah Kelab Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan 6-0 dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, kelmarin, lapor MOHD. NOOR ISMAIL.

Ujian tersebut sebagai menguji pemain-pemain yang tidak berpeluang beraksi ketika Kelantan mengadakan perlawanan-perlawanan persahabatan menentang Ghana, Kelab Pogon dari Poland, Kelab Patalung dari Thai dan Pahang sebelum ini.

Kelab JKR pula yang dibarisi bekas pemain negeri dan pemain-pemain Liga Simpanan musim lalu dengan bimbingan bekas penjaga gol kebangsaan, Awang Isa gagal menjinakkan kelincahan skuad Kijang.

Pengurus skuad Kijang, Suhaidi Yusof berkata, beberapa pemain muda dalam skuad tersebut turut membuktikan tahap memuaskan untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Sedang barisan pemain muda (sebilangan pemain simpanan) beraksi menentang Kelab JKR, jurulatih Hamid Ramli memberikan latihan lasak kepada pemain-pemain utama Kelantan musim ini.

Suhaidi menjelaskan, tumpuan kepada latihan lasak itu adalah untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain. Kelemahan itu terserlah sewaktu Kelantan beraksi menentang Pahang, tiga hari lalu.

''Bagi saya antara empat perlawanan persahabatan yang dilalui oleh Kelantan, pertemuan dengan Pahang paling memuaskan, tetapi pemain gagal mempertahankan tahap kecergasan sehingga akhir permainan,'' ujarnya.

Kecederaan yang dialami oleh Adamu Tigana selepas 15 minit separuh masa kedua dan Wah Kah Loon dikeluarkan selepas itu mencacatkan persembahan Kelantan yang seolah-olah hilang arah.

Bagaimanapun beliau memuji kesungguhan ditunjukkan oleh Hashim Mustapha yang semakin garang dan menghasilkan jaringan terbaik ketika bertemu kelab dari Thailand dan Pahang.

Beliau tidak bercadang mengadakan perlawanan ujian dengan pasukan utama yang beraksi dalam Liga M musim ini sebaliknya mengadakan perlawanan dengan kelab-kelab tempatan menjelang perlawanan play-off menentang Johor 7 Mac ini di Johor Bahru.

Sementara itu, tiga import Kelantan _ Mario Gomez, Luis Puzutto dan Adamu Tigana berjanji mempamerkan aksi cemerlang bagi kesemua perlawanan play-off untuk kelayakan ke Premier Satu.

Menurut Luis, keempat-empat perlawanan ujian bukan ukuran sebenar bagi mereka bertiga.

''Kami berjanji untuk mempamerkan permainan bersungguh-sungguh dalam perlawanan itu bagi memastikan Kelantan layak menyertai Kumpulan Satu tahun ini,'' ujar Luis Puzzuto selepas sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad Keempat Kota Bharu, semalam.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4FbzFzzAJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Kijang belum berpuas hati

ARKIB : 27/02/1998
PENGURUSAN skuad Kelantan masih belum berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain-pemainnya walaupun mampu mengikat Pahang dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan persahabatan di Kota Bharu, kelmarin, lapor MOHD. NOOR ISMAIL.

Pengurus skuad Kelantan, Suhaidi menyifatkan Kelantan hanya mampu beraksi kental bagi tempoh 55 minit dan selepas itu mati rentak dan keupayaan pemain seolah-olah terkulai.

Beliau menyifatkan kemantapan skuad Kijang masih berada pada tahap 80 peratus dan perlukan latihan yang lebih intensif dalam meningkatkan stamina pemain.

''Pemain kami belum mencapai 'fitness' yang menjamin mereka dapat bertahan bagi permainan sepenuh masa 90 minit, saya masih ragu kemampuan mereka menjelang perlawanan playoff berhadapan Johor 7 Mac ini,'' ujarnya selepas perlawanan Kelantan-Pahang di Stadium Sultan Muhammad Keempat di Kota Bharu, malam semalam.

Beliau memuji persembahan anak buahnya pada separuh masa pertama pertemuan dengan skuad Gajah yang dianggap salah sebuah pasukan gergasi, namun selepas 15 minit separuhmasa kedua, pemain-pemain semacam hilang arah.

Rentak Kelantan mulai tidak teratur selepas dua pemain lincahnya, Adamu Tigana dan Wah Kah Loon dikeluarkan selepas mengalami kecederaan.

Kemasukan Aliff Rohaimi Azizhan menggantikan Wah Kah Loon dan Nazaruddin Mohd. Zain mengambil tempat Tigana, tidak banyak mengubah keadaan sewaktu pemain-pemain lain sudah tidak bermaya.

Kecederaan yang dialami oleh Saifulnizam Hussin di barisan pertahanan menyebabkan benteng pertahanan turut goyah, beban mengawal kubu ditanggung oleh Tuan Kamree Tuan Yahya dan Ghafor Mohamad manakala tonggaknya, Zahasmi Ismail tidak diturunkan akibat kecederaan ketika pertemuan dengan Poland.

Suhaidi bagaimanapun lega dengan reputasi Hashim Mustapha yang mulai kembali cemerlang, Wan Rohaimi, begitu juga dengan Mario Gomez sudah ada peningkatan bagaimanapun terpaksa dikeluarkan pada separuhmasa kedua bagi menguji Badrisham Kadir di barisan serangan.

''Melalui ujian terakhir dengan skuad Gajah, kami telah mengenalpasti kesebelasan utama yang akan diturunkan pada pertemuan dengan Johor 7 Mac ini. Saya yakin Zahasmi, Adamu Tigana dan Wah Kah Loon pulih sepenuhnya menjelang pertemuan itu,'' katanya.

Kelantan memperolehi gol menerusi rembatan kencang Hashim Mustapha hasil kombinasinya bersama Wan Rohaimi Wan Ismail untuk menewaskan penjaga gol Pahang, Muadzar Mohd pada minit ke 20.

Skuad Tok Gajah yang menurunkan empat importnya di perlawanan itu menunggu sehingga minit ke 85 bagi menyamakan kedudukan menerusi ketua pasukannya, Erik Storkson dari jarak jauh menewaskan Azuan Othman, penjaga gol Kelantan.

Turut menyaksikan pertemuan tersebut Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan Daud dan ketua jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim.

Kelantan dan Terengganu akan bertemu dalam play-off untuk kelayakan menyertai Liga Premier Satu di Kuala Terengganu pada 10 Mac dan di Kota Bharu pada 17 Mac.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Fbm6kiTv © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 26 Julai 2016

TERKINI PERLAWANAN LIGA SUPER 26.7.2018


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
JDT     1 – 0    Kelantan
Selangor          1 – 2    Felda United
Pulau Pinang   3 – 1    Kedah
Pahang FC      1 – 2    Perak
T-Team            1 – 2    Sarawak



Isnin, 25 Julai 2016

Gomez, Puzutto legakan Kelantan

ARKIB : 03/02/1998
PEMAIN dari Argentina, Mario Gomez dan Luis Puzutto mengubat hati pengurus Kelantan, Suhaidi Yusof setelah kedua-duanya menyertai latihan dalam skuad Kijang, kelmarin, MOHD. NOOR ISMAIL melaporkan.

Kedua-duanya masih mendapat kepercayaan dari Persatuan Bola Sepak Kelantan untuk menghadapi Liga Perdana 1998 bagi tempuh setahun ini.

Mario selaku perancang di barisan tengah manakala Luis berpasangan dengan Hashim Mustapha di barisan hadapan akan diuji dalam perlawanan menentang skuad pilihan Afrika di Stadium Sultan Muhamad Keempat Kota Bharu, malam ini.

Suhaidi sukar meramalkan kelibat barisan hadapan Kelantan yang baru dipadukan antara Hashim, Luiz Puzutto dan Wan Rohaimi Wan Ismail memandangkan ketiga-tiga diketemukan kelmarin.

Hashim, bekas penyerang Kedah yang baru kembali ke lubuk asalnya perlu membuktikan kemampuannya beraksi bersama pemain-pemain muda Kelantan yang lain termasuk Robik Ismail, Badrisham Kadir, Alif Rohaimi Azizhan, Tuan Rosli Shaari dan Sarudy Aziz.

Bagi Mario Gomez tugasnya lebih mudah memandangkan gandingan di barisan tengah masih bersama Tuan Kamree Tuan Yahya dan Mohd. Nazaruddin Mat Zain.

Kelantan masih tidak mempunyai tenaga import untuk membantu Zahasmi Ismail di barisan pertahanan yang turut didokong oleh Mohd. Saifulnizam Hussin, Azhar Aziz dan Zulkifli Abdullah.

Suhaidi menjelaskan, latihan sejak dua hari lalu di padang batalion ke-12 Pasukan Polis Hutan, Pengkalan Chepa sebagai memperkemaskan barisan pemain bagi menghadapi pemain muda pilihan Afrika.

Skuad Kelantan kini di bawah pengendalian Kamaruddin Mohd. Noor yang diberi peranan utama selaku jurulatih baru skuad Kijang yang dibantu Hamid Ramli.

Katanya, Kamaruddin dipilih mengemudi skuad Kelantan musim ini dan perlawanan malam ini tidak seharusnya dijadikan ukuran di atas kemampuan sebenar jurulatih itu.

Katanya, tidak sukar bagi skuad pelatih Kelantan menghadapi 'skuad permata hitam' dari Afrika memandangkan dua perlawanan ujian sebelum ini menentang skuad pilihan Ghana mungkin mendedahkan keupayaan yang hampir sama.

Menurutnya, kemungkinan beberapa pemain dari Sabah dan Kuala Lumpur turut diuji malam ini sekiranya mereka berhasrat untuk turut selaku calon pilihan Kelantan dalam menghadapi kempen Liga Perdana musim ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FR8EKc2i © Utusan Melayu (M) Bhd

Kamaruddin mungkin latih Kijang

ARKIB : 27/01/1998
KELANTAN mungkin mengambil keputusan melantik Kamaruddin Mohd. Nor sebagai jurulatih pasukan Liga Perdana musim ini dalam usaha mengisi jawatan yang masih kosong.

Kemungkinan itu agak ketara apabila beliau diberi tugas mengendalikan latihan bagi menguji pemain yang akan dipilih mewakili skuad liga musim ini.

Dari segi kelayakan, bekas jurulatih pasukan Liga simpanan Kelantan itu turut memiliki lesen jurulatih kelas A yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malah, pada tahun 1996 Kamaruddin pernah diberi kepercayaan menjadi penolong jurulatih membantu Kelly Tham sebelum ditukar mengemudi liga simpanan pada tahun lalu.

Pengurus pasukan, Suhaidi Yusof sewaktu dihubungi, tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan kepada keupayaan serta pengalaman yang dimiliki oleh Kamaruddin.

Beliau berkata, Kamaruddin memang layak untuk dilantik sebagai jurulatih, walaupun pihak pengurusan belum lagi membincangkan perkara tersebut.

''Saya tidak menolak kemungkinan Kamaruddin dilantik sebagai jurulatih, dia mempunyai pengalaman serta kelayakan yang diperlukan,'' katanya kepada Sukan Utusan semalam.

Jawatan jurulatih skuad Kijang menjadi perhatian selapas Bekas jurulatih kebangsaan, Irfan Bakti menarik semula persetujuan untuk dilantik kejawatan tersebut.

Sukan Utusan difahamkan penarikan Irfan ada kaitan dengan masalah peribadi dengan 'orang tertentu' dalam Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) walaupun mendapat tawaran gaji yang lumayan.

Menurut Suhaidi, Kelantan tidak akan tergopoh-gapah dalam menangani isu siapa yang akan dilantik sebagai jurulatih, kerana urusan latihan berjalan seperti biasa.

Jelasnya, pihak pengurusan masih mempunyai banyak pilihan terhadap calon jurulatih dan akan membuat keputusan selawat-lewatnya selepas Hari Raya.

''Untuk sementara waktu latihan pemilihan dijalankan di padang bola sepak, Batalion Ke 12, Pasukan Polis Hutan (PPH) Pengkalan Chepa. Selain Kamaruddin urusan latihan juga turut dibantu oleh Hamid Ramli yang dihadiri oleh lebih 25 orang pemain dalam satu masa,'' ujarnya.

Tambah beliau, belum ada pemain yang didaftarkan kecuali sembilan orang pemian musim 1997 yang kontraknya akan tamat pada hujung tahun ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FQyZTOKF © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 23 Julai 2016

Hashim ingin sertai semula Kelantan

ARKIB : 13/01/1998
Hashim ingin sertai semula Kelantan
PENYERANG Kedah yang berasal dari Kelantan, Hashim Mustapha berhasrat untuk kembali menyarung jersi skuad negeri kelahirannya bagi musim bola sepak Liga Malaysia akan datang.

Ketika ditemui di Kota Bharu, semalam, Hashim berkata, hasratnya itu telah disampaikannya kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan Daud dalam pertemuan mereka dua minggu lepas.

''Wan Hashim bersedia menerima saya kembali,'' katanya.

Ketika ditanya kenapa dia ingin kembali ke Kelantan, pemain itu berkata sehingga kini dia tidak tahu kedudukannya dalam skuad Kedah dan belum ditawarkan kontrak baru.

''Lagipun saya dah lama di Kedah, biarlah saya kembali berbakti di negeri kelahiran saya,'' katanya.

Hashim bermain untuk pasukan Kedah sejak 1996 dan tidak begitu menonjol permainannya berbanding ketika mewakili Kelantan sebelum itu.

Ketika bersama pasukan Kedah beliau sering kali diturunkan sebagai pemain gantian. Dia juga tidak banyak menjaringkan gol ketika bersama Kedah.

Dia pernah dianugerahkan Kasut Emas pada 1994 dan 1995 kerana menjadi penjaring terbanyak ketika beraksi dalam skuad Kelantan. _ Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FJ5jRGmK © Utusan Melayu (M) Bhd