Jumaat, 18 Julai 2014

Kelantan bawa masuk empat muka baharu

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my
 
KHAIRUL FAHMI antara tonggak yang akan terus menabur bakti di Kelantan.

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil langkah awal dengan membawa masuk empat muka baharu dalam usaha memperkasakan skuad The Red Warriors pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2015.

Berita tersebut diumumkan sendiri oleh Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa menerusi entri laman sosial Facebook miliknya kelmarin.

Annuar berkata, muka baharu itu terdiri daripada dua bekas pemain Harimau Muda A dan dua bekas pemain Kelantan yang berhijrah ke pasukan lain sebelum ini.

“Selain itu, kita akan membawa masuk empat pemain import baharu bagi memperkuatkan pasukan bagi mengharungi saingan musim 2015 nanti.

“Insya-Allah The Red Warriors akan menjadi salah satu pasukan pencabar utama pada saingan musim depan,” katanya.

Langkah KAFA itu dilihat sebagai salah satu usaha memulihkan semula maruah Kelantan yang tercalar gara-gara aksi hambar dalam saingan musim ini.

Pada kempen Liga Super musim ini, Kelantan menghuni tangga keenam selepas mengumpul 31 mata hasil 10 kemenangan, satu seri dan 11 kekalahan.

Kelantan turut gagal mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas tewas di tangan Felda United pada saingan separuh akhir.

Dalam perkembangan lain, Annuar memberitahu, beberapa pemain tonggak The Red Warriors akan terus kekal bersama pasukan bagi saingan 2015.

Antara pemain yang sah kekal menyertai Kelantan ialah Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Wan Zack Haiqal Wan Nor, Mohd. Badhri Radzi, Brandan Gan, Tuan Mohd. Faim Tuan Hassan, Ahmad Fakri Saarani, Ahmad Shakir Ali dan Mohd. Khairul Izuan Rosli.

“Beberapa lagi pemain dalam proses rundingan untuk mengikat kontrak. Buat masa ini kita dah ada 19 pemain dan beberapa lagi akan dibawa masuk,” ujarnya.

SUMBER-KOSMO ONLINE 19.7.14

Tiada ulasan :

Catat Ulasan