Jumaat, 5 Disember 2014

Tiada yang digantung tak bertali – KAFA

Pemain terlibat sudah dimaklumkan lebih awal

YATIMIN ABDULLAH  |  05 Disember 2014 12:52 AM
  KOTA BHARU - tiga pemain yang dikatakan digantung tidak bertali masih mempunyai kontrak Persa­tuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), namun atas persetujuan bersama kesemua mereka bebas untuk mencari pasukan baharu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.
Sumber dalaman KAFA berkata, isu tersebut tidak sepatutnya timbul kerana kedua-dua pihak terikat dengan klausa kontrak sehinggalah diputuskan atas persetujuan bersama.
“Jadi tidak timbul soal pemain digantung tidak bertali. Kalau ada pasukan yang berminat kami pasti akan melepaskan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tiga pemain yang mewakili sebuah pasukan terkenal dari Pantai Timur yang digantung tidak bertali apabila nama mereka tiada dalam perancangan pasukan tersebut bagi menghadapi musim 2015 walaupun masih mempunyai baki kontrak setahun.
Malah, kesemua pemain itu dikatakan langsung tidak dipanggil oleh pihak pengurusan untuk berbincang mengenai status sebenar mereka sedangkan tarikh tutup pendaftaran pemain musim depan berakhir esok.
Tiga pemain berkenaan ialah tonggak pertahanan Muhammad Abdul Aziz Ismail, pemain tengah Mohd. Famirul Asyraf Sayuti dan Muhammad Faiz Suhaimi. Tiga pemain itu dikatakan hanya menge­tahui nama mereka tiada dalam perancangan melalui senarai nama pemain yang dimuat naik ke akaun Facebook rasmi persatuan bersama tiga pemain lain.
Sumber KAFA itu menambah, dua daripada pemain berkenaan dikhabarkan telah mencuba nasib bersama pasukan Melaka United, manakala seorang lagi ke Pahang.
Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md. Noor berkata, ketiga-tiga pemain berkenaan sudah dimaklumkan lebih awal bahawa nama mereka tiada dalam perancangan Kelantan musim depan. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut.
- SUMBERt: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tiada-yang-digantung-tak-bertali-8211-kafa-1.32665#sthash.H52QMzfx.dpuf

Tiada ulasan :

Catat Ulasan