Jumaat, 6 Mac 2015

Peneraju sementara

Oleh Azizan Hashim-sukan@hmetro.com.my


Ipoh: Pertahanan kental serta ketangkasan penjaga gol, Mohd Zamer Selamat membantu Perak mengikat Kelantan 0-0 di Stadium Perak malam tadi, sekali gus melonjak ke tangga teratas Liga Super 2015 sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam.

Ketika jentera di bahagian lain kurang berfungsi Thiago Junio Aquino, Mohd Syazwan Roslan, Mohd Idris Ahmad dan Mohd Arif Ismail berjuang mati-matian untuk menyekat kemaraan lawan.

Manakala Zamer bertindak cemerang untuk menafikan rembatan Erwin Albeiro Carillo dan jentera serangan pelawat.

Keputusan itu menyaksikan Perak mengutip lapan mata selepas empat perlawanan mengatasi pencabar terdekat FELDA United FC dengan satu mata. FELDA hanya akan bermain malam ini menentang Lions XII.

Begitupun, dalam perlawanan di hadapan 30,000 penonton itu, barisan Datuk M Karathu tidak mempamerkan persembahan diharapkan. Selepas lebih banyak bertahan, Perak bangkit dalam baki 10 minit terakhir perlawanan, tetapi segala usaha mereka tidak berjaya.

Sebaliknya pelawat dengan corak hantaran pendek dan umpanan tepat sentiasa mencemaskan kubu tuan rumah, tetapi dikecewakan ketiadaan penyudah.

Dengan Mohd Badhri Radzi serta Pupo Isaac Tuku di bahagian tengah, Kelantan menguasai permainan untuk menenggelam pasukan tuan rumah.

Mujur buat Perak kerana memiliki pertahanan kukuh, jika tidak pasti gawang mereka bocor.

Kesungguhan Kelantan jelas terbayang apabila menyerbu garang di awal permainan menghidu peluang pertama melalui Erwin Albeiro Carillo seawal minit ke-3, tetapi Zamer bertindak cemerlang menguis keluar bola.

Manakala Perak yang bersandar kepada serangan balas turut memiliki peluang melalui Charles Souza Chad, tetapi penyerang Brazil itu gagal memanfaatkan kesempatan terhidang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 4:55 AM

PENJAGA Gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan cubaan Charles Souza Chad di Stadium Ipoh.

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/35209#sthash.PbA2qcIo.dpuf

Tiada ulasan :

Catat Ulasan