Khamis, 2 April 2015

Apek tak rela bolos!

Oleh Azlan Hafeedz-sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Penjaga gol kebangsaan Mohd Khairul Fahmi Che Mat, 26, menggesa barisan pertahanan Kelantan supaya bersedia menghadapi jentera serangan Terengganu ketika kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.
Pemain yang lebih mesra dengan panggilan Apek itu menganggap Terengganu bukan calang-calang pasukan kerana skuad kendalian Abd Rahman Ibrahim itu mampu bangkit pada saat akhir walaupun ketinggalan.
Berdasarkan rekod pertemuan lalu, kedua-dua pasukan sentiasa bersaing sengit sekali gus mengakibatkan perlawanan bertambah ‘panas’.
Namun, kelebihan bermain di gelanggang sendiri selain dibantu sokongan peminat pasti dimanfaatkan sepenuhnya skuad Penyu dalam usaha memburu kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam liga.
Apek berkata, memandangkan Terengganu disenaraikan sebagai antara pasukan terhebat musim ini, dia bersama barisan pemain Kelantan akan tetap memberi komitmen tinggi bagi memastikan gawang mereka tidak dibolosi.
Katanya, tempoh rehat dua minggu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih baru Mohd Azraai Khor Abdullah.
“Saya sedar, Terengganu memiliki jentera serangan yang berbisa dan licik namun itu bukan alasan untuk kami menyerah kalah.
“Saya nekad mempertahankan pintu gol Kelantan daripada dibolosi dan berjanji berjuang bermati-matian dalam memburu tiga mata,” katanya.
Sementara itu, pertahanan Kelantan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, 25, berkata, dia tidak kekok beraksi di mana-mana posisi pertahanan namun mengakui lebih gemar bermain di sebelah kiri.
Katanya, dia bersama pemain pertahanan lain seperti Jonathan McKain, Nor Hafiz Zamani Misbah dan Mohd Fitri Omar akan berusaha mengurangkan kesilapan bagi mengelak Terengganu memperoleh sepakan percuma kerana tuan rumah memiliki dua pakar sepakan percuma.
“Siapa saja yang diturunkan, sama ada saya atau Mohd Noor Hazrul, Mohd Zairul Fitree Ishak dan Mohd Farisham Ismail tidak penting. Yang penting, setiap pemain mesti konsisten serta fokus untuk mengawal benteng daripada dibolosi.
“Jika kami berjaya mengikuti segala arahan jurulatih, pasti peluang menang pada malam itu cerah,” katanya.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/40879#sthash.NEriI8oB.dpuf

Tiada ulasan :

Catat Ulasan