Ahad, 2 Ogos 2015

Pemain Kelantan letih selepas rehat panjang

2 OGOS 2015
 Zahasmi Ismail
Zahasmi Ismail Zahasmi anggap pertemuan menentang Perak cabaran sebenar buat dirinya, namun percaya pasukan kendaliannya mampu menewaskan skuad The Bos Gaurus.

BEBERAPA siri ketegangan antara Kelantan dan Perak dalam saingan Liga Super pada separuh masa kedua perlawanan malam tadi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV tercetus disebabkan pemain tuan rumah yang keletihan dan hilang tumpuan.

Pemangku Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata, pemain Kelantan berada dalam keadaan letih apabila mengharungi tiga perlawanan selepas ditangguhkan selama sebulan sepanjang Ramadan kerana stadium digunakan oleh kerajaan negeri untuk program Madinah Ramadan.

"Masalah kepenatan yang dialami oleh pemain Kelantan menyebabkan mereka mudah hilang tumpuan dan beberapa ketegangan antara kedua-dua pasukan tercetus.

"Namun, saya memuji komitmen yang ditunjukkan oleh anak buah saya yang memberi persembahan terbaik mereka sehingga Kelantan berjaya memperoleh tiga mata," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan, malam tadi.

Pada perlawanan itu, Kelantan menang tipis 1-0 ke atas Perak di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu menerusi jaringan tunggal Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-72.

Pada penghujung babak kedua perlawanan malam tadi, ketegangan tercetus pada minit ke-81 akibat aksi tolak-menolak di antara penyerang import Kelantan, Iwuji Amamchi dan kapten Perak, Thiago Junio.

Keadaan bertambah parah apabila Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd Nor Farhan Muhammad dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit ke-85 kerana mengasari pemain Perak, S. Vikneswaran.

Sementara itu, pengendali Perak Datuk M. Karathu berkata walaupun kecewa gagal meraih sebarang mata, namun beliau berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh anak buahnya pada perlawanan itu.

"Saya akui pasukan kami masih kurang pengalaman bermain selepas kami terpaksa membina kembali pasukan pada musim ini.

"Ini mungkin juga disebabkan pemain tidak menyertai mana-mana perlawanan sepanjang Ramadan menyebabkan mereka tidak mendapat momentum yang baik untuk menjaringkan gol," katanya.

Perak bagaimanapun menghuni tempat ketiga carta liga dengan 27 mata berbanding Kelantan di tempat kesembilan selepas mengumpul 21 mata. – Bernama

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 2.8.2015

Tiada ulasan :

Catat Ulasan