Jumaat, 4 Ogos 2017

Kelantan berwajah baru musim depan

ARKIB : 06/09/2006
KOTA BAHARU – Dalam serba kekurangan, Kelantan akan menyandarkan kekuatan pasukan bola sepaknya pada barisan pemain muda dalam Liga Perdana musim depan, kata Presiden Persatuan Bola sepak Kelantan (Kafa) Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau berkata, tidak ada sebab untuk pasukan itu terus merasa rendah diri dan menjadi mangsa belasahan, sebaliknya pengajaran tersingkir ke Piala FAM, dua tahun yang lalu tetap menjadi iktibar.

Dua tahun lalu, gara-gara masalah dalaman Kafa, prestasi Kelantan merudum sehingga pasukan itu terpaksa bersaing dalam Piala FAM untuk kembali semula ke Liga Perdana.

Dengan pengurusan baru dan pemain muda, Kelantan nampak garang musim ini di peringkat awal kumpulan B namun gagal meneruskan kemaraan yang sekadar berada di tempat kedua kumpulan.

‘‘Kami sudah mulakan sesi pemilihan untuk musim depan dan pemilihan pemain import akan dilakukan sedikit masa lagi,’’ katanya, semalam.

Ahmad Jazlan berkata, Kelantan antara negeri yang membayar gaji pemain begitu rendah berdasarkan kemampuan kewangan tetapi dimaklumkan pemain lama masih berminat menyarung jersi negeri.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4onJClDrJ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan