Isnin, 26 Februari 2018

Kelantan belum mahu dabik dada


Kemenangan 3-2 ke atas Perak baru permulaan buat The Red Warriors bangkit
Yatimin Abdullah
26 Februari 2018 3:00 AM
DHONG-HYUN (kanan) menjadi duri dalam daging kepada Perak apabila
DHONG-HYUN (kanan) menjadi duri dalam daging kepada Perak apabila membantu Kelantan menang 3-2 dalam aksi Liga Super yang mendebarkan di Kota Bharu kelmarin.

PASUKAN Kelantan masih belum boleh mendabik dada de­ngan kemenangan sulung yang diraih ketika me­numpaskan Perak 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.

Pengendali sementara The Red Warriors (TRW) Yusri Che Lah berkata, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki sekiranya mereka mahu me­langkah lebih jauh dalam saingan musim ini.


Beliau berharap barisan pemain TRW tidak terlalu dibuai dengan kejayaan itu sebaliknya mahu fokus untuk mengharungi baki saingan Liga Super.

“Kemenangan ke atas Perak baru permulaan buat TRW untuk kembali bangkit selepas kita mempamerkan aksi tidak konsisten dalam tiga perlawanan sebelum ini.

“Saya akui kemena­ngan ini merupakan tonik yang cukup berharga untuk TRW mencipta lebih ba­nyak kejayaan,” katanya kepada Kosmo! semalam

Pada perlawanan itu, hatrik Do Dhong-hyun pada minit ke-67, ke-77 dan ke-87 memastikan TRW meraih tiga mata pertama musim ini.

Bagaimanapun, pasukan pelawat bermula garang apabila meledak dua jari­ngan pada minit ke-21 dan ke-68 masing-masing menerusi Mohd. Nor Hakim Hassan serta Wonder Luiz Junior.

Dalam pada itu, Yusri menghamburkan pujian kepada barisan pemain yang disifatkan beraksi cukup cemerlang sepanjang tempoh 90 minit.

Katanya, semangat juang itu cukup mengujakan apabila mereka berjaya bangkit selepas ketinggalan dua kali sepanjang perlawanan tersebut.

“Saya amat berharap momentum ini dikekalkan pada perlawanan akan datang.

“Bukan itu sahaja, saya juga harus berterima kasih kepada kepimpinan tertinggi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terutama Presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan kerana memberi kepercayaan untuk membimbing pasukan walaupun hanya sebagai jurulatih sementara,” ujar­nya.
SUMBER-KOSMO ONLINE 26 Februari 2018 


Tiada ulasan :

Catat Ulasan