Selasa, 6 Oktober 2020

Kelantan, Negeri Sembilan kongsi mata



PEMAIN sayap Kelantan, Mohamad Amirul Shafik (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini. - ORANG MUDA/HAZMIN HUSIN

Oleh YATIMIN ABDULLAH

3 October 2020, 11:09 pm

KOTA BHARU: Kelantan terlepas peluang meraih kemenangan apabila diikat 2-2 oleh Negeri Sembilan dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi.

Penyerang import Negeri Sembilan, Igor Carneiro menjadi penyelamat pasukan apabila bijak mencuri peluang di depan pintu gol Kelantan untuk menyamakan kedudukan menjadi 2-2 pada minit ke-87.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan awal pelawat menerusi sepakan penalti pada minit ke-14 yang tenang disempurnakan oleh Jose Neto untuk menewaskan Mohamad Fikri Che Soh di gawang gol Kelantan FC.

Pemain muda The Red Warriors (TRW), Amirul Shafik Che Soh meredakan seketika tekanan pasukannya apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-28 untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Selang tujuh minit kemudian, Mohammad Amirul Shafik hampir menggandakan jaringan TRW namun rembatan derasnya gagal menepati sasaran.

Bersambung babak kedua, TRW memperagakan aksi lebih bertenaga dengan asakan bertali arus ke kubu pelawat namun dihampakan oleh ketumpulan penyudah.

Keghairan Kelantan FC memburu jaringan hampir dihukum Negeri Sembilan pada minit ke-55, namun Mohamad Fikri menjadi wira pasukan apabila berjaya menepis tandukan silang pemain pelawat Izaaq Izhan Yuswardi.

Minit ke-74, pemain gantian Muhammad Hakimi Abdullah yang tidak dikawal ketika itu terlepas peluang meledakan jaringan kedua Kelantan FC apabila rembatannya berjaya diselamatkan oleh pemain pertahanan pelawat.

Tindakan Che Mohammad Safwan Hazman Che Hassan menjatuhkan Amirul Shafik pada minit ke-81 mengundang padah apabila pengadil Ahmad Zuhadi Dzulkifli memberikan sepakan penalti untuk TRW.

Perancang tengah sensasi TRW, Nik Akif Syahiran Nik Mat tenang menyempurnakan sepakan penalti menerusi rembatan padu ke sudut sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan untuk menewaskan Muhamad Hamka Daud pada minit ke-82.

Bagaimanapun jaringan itu hanya bertahan selama lima minit apabila Igor Carneiro menyelamatkan Negeri Sembilan menerusi keputusan 2-2.SUMBER SUKAN UM ONLINE

Tiada ulasan :

Catat Ulasan