Rabu, 17 Februari 2021

Jangan beli jersi tiruan



JERSI baharu Kelantan FC yang dilancarkan secara dalam talian kelmarin menarik perhatian penyokong Red Warriors.

Oleh Media Mulia

17 Februari 2021, 2:39 pm

PETALING JAYA: Penyokong Kelantan FC kecewa kerana jersi baharu pasukan itu hanya boleh diperoleh dalam tempoh 30 hari selepas pelancarannya kelmarin.

Rata-rata penyokong berkata, strategi The Red Warriors (TRW) itu merugikan pasukan kerana biasanya peminat amat teruja melakukan pembelian pada hari pelancaran atau beberapa hari selepas jersi diper­kenalkan.

Lebih membimbangkan, mereka, kelewatan itu menyebabkan penyokong yang tidak sabar akan mendapatkan jersi tiruan, apatah lagi ia mudah diperoleh dari negara jiran.

Kelantan FC dalam Facebook rasminya, TRW Kelantan FC memberitahu, peminat boleh mendapatkan jersi berharga RM189 hingga RM234 itu di Shopee menerusi tempahan awal yang akan dihantar kepada mereka dalam tempoh 30 hari.

Hanya jersi 93 (latihan) mempunyai stok tersedia sedangkan kebanyakan pasukan mahu memiliki jersi sebenar yang akan digunakan pemain dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pada saya satu kesilapan dan kerugian berlaku kepada pasukan Kelantan FC. Sepatutnya sebelum dilancarkan, mereka sudah menyediakan jersi.

Peminat sedang menggila hendak beli. Bayangkan kalau semalam diperkenalkan jersi dan mereka ada 50,000 stok. Mungkin tak sampai dua jam habis,” tulis pemilik akaun ­Facebook Skincare Originally Taiping.

Patut buat dulu 2,000 helai macam Selangor, kemudian baru buat preorder (tempatan awal). Cerdik sikitlah berniaga, jangan Covid dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) jadi alasan,” kata peminat dengan akaun Carl Razi.

Kenapa lama sangat, bahaya tu. Macam-macam boleh jadi, takut ada yang beli baju Siam (Thailand),” tulis seorang lagi peminat.

Bagaimanapun ada juga peminat sanggup menunggu 30 hari demi mendapatkan jersi asli sebagai sokongan kepada pasukan dan pemilik baharu kelab, Norizam Tukiman.

Biar tunggu 30 hari sekalipun, harap semua sokong de­ngan beli jersi asli daripada Siam. Boss Zam (Norizam) dah berhabis banyak duit untuk TRW,” kata Aiman Alimin.SUKAN UM ONLINE

Tiada ulasan :

Catat Ulasan