Selasa, 1 April 2014

Penyokong resah The Red Warriors hambar

Pertahanan Kelantan, Mohd. Fitri Omar (kiri) cuba menyekat pemain Terengganu, Mohd. Nor Farhan ketika kedua-dua pasukan berkongsi keputusan mengecewakan seri 1-1 di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
KOTA BHARU - Prestasi hambar yang dipamer The Red Warriors dalam tiga perlawanan terakhir mengundang rasa resah dalam kalangan peminat setia mereka.

Rata-rata penyokong Kelantan menyuarakan rasa kurang se­nang dengan taktikal jurulatih, Steve Darby yang dilihat kekeringan idea dan gagal memanfaatkan kelebihan pemainnya.

Malah, kumpulan penyokong itu menganggap ia punca kemerosotan pasukan dalam aksi Liga Super dan menyebabkan mereka sudah hilang sabar.

Jesteru, mereka mendesak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Timbalan Presiden Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (kelate.net), Mahizi Mahmood berkata, jika langkah segera tidak diambil pihaknya khuatir prestasi Kelantan akan menjunam ke dasar liga.

"Kebanyakan penyokong Kelantan sudah hilang sabar dan mula mempersoalkan percaturan jurulatih yang telah membuat beberapa keputusan tidak tepat dalam soal pemilihan pemain.

"Saya hairan bagaimana pemain yang sepatutnya beraksi diposisi tengah diletak di bahagian sayap dan pertahanan kanan diarah bermain disebelah kiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini semalam.

Kelantan tumbang 1-0 kepada Selangor dan Johor Darul Ta’zim, selain seri 1-1 dengan Terengganu Sabtu lalu dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRW KB) Mohd. Zaini Mohd. Zain berkata, pihaknya memberi peluang kepada Darby sekurang-kurang tiga perlawanan, termasuk Piala AFC untuk memulihkan maruah Kelantan.

Sekiranya gagal, TRW KB mendesak KAFA untuk mengambil tindakan dengan merehatkan jurulatih itu atau memecatnya.

"Pada saya Darby gagal menjalankan tugasnya dengan baik dan dia perlu bertanggungjawab," ujarnya.
SUMBER-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140401/su_11/Penyokong-resah-The-Red-Warriors-hambar#ixzz2xd8MSoBI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan