Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - The Red Warriors
(TRW) dikhabarkan bakal membawa masuk seorang lagi penyerang dalam usaha
memperkasakan pasukan bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M)
musim ini dan Francis Forkey Doe dijangka dikorbankan untuk memberi laluan
kepada pemain import itu.
Muka baharu yang dikatakan akan
dibawa masuk ialah Prince Tagoe, 28, dari Ghana yang merupakan bekas penjaring
terbanyak Liga Perdana negara berkenaan pada musim 2005.
Khabar angin tersebut bertiup
kencang di laman Facebook milik Kelab Penyokong Kelantan.
Perkara tersebut diperkukuhkan
lagi apabila Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa
memuat naik sekeping gambarnya bersama pemain berkenaan di dalam akaun Facebook
miliknya semalam.
Kelamarin Annuar menerusi entri
Facebook miliknya menulis TRW mungkin membawa masuk seorang pemain import dalam
usaha memperhebatkan pasukan.
"Banyak negeri dan kelab
memperkasakan pasukan menjelang pusingan kedua liga dan ke arah Piala Malaysia
antaranya Johor Darul Ta'zim, Felda United, T-Team, Terengganu, Perak dan
Sarawak.
"Kita juga turut bawa
masuk tiga pemain tempatan termasuk dua dari kelab luar negara, rasanya belum
cukup mungkin seorang pemain import lagi akan memperhebatkan The Red
Warriors," katanya.
Setakat ini Kelantan sudah
memiliki empat pemain import iaitu Mohamad Shawky Yazid (Mesir), Mohamad
Ghaddar (Lebanon), Obinna Nwaneri (Nigeria) dan Forkey Doe (Liberia).
Difahamkan Tagoe dibawa masuk
bagi menggantikan Doe yang dilihat mempamerkan aksi kurang meyakinkan.
Prestasi Doe sebelum ini
dikritik hebat oleh penyokong Kelantan sehingga mendesak Kafa segera mencari
pengganti pemain berkenaan.
Sejak menyertai Kelantan musim
ini penjaring terbanyak Liga Super 2012 itu hanya meledakkan dua gol.
RUJUKAN
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140409/su_01/TRW-ambil-penyerang-baharu#ixzz2yZ6Ts92k
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan