Jumaat, 6 Februari 2015

KAFA enggan lepaskan Ferris Daniel

05 Februari 2015 1:32 AM

Barisan pemain Kelantan memperagakan jersi baharu pasukan The
Barisan pemain Kelantan memperagakan jersi baharu pasukan The Red Warriors musim 2015 dalam majlis di Kota Bharu semalam. – UTUSAN/JAZALY AMRY JAAFAR

KOTA BHARU – Penyerang Harimau Muda, Muhammad Ferris Daniel Mat Nasir mungkin boleh melupakan hasratnya untuk menabur bakti bersama Felda United musim ini apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) enggan melepaskannya.
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, jawatankuasa pengurusan yang bermesyuarat semalam mengambil ketetapan bahawa tonggak Harimau Muda itu sah milik The Red Warriors.
“Hasil mesyuarat itu, KAFA telah gariskan tiga pendekatan berhubung perkara berkenaan, pertama mengesahkan Ferris milik Kelantan seperti yang telah diputuskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.


“Kedua, KAFA akan memaklumkan kepada FAM mengenai kedudukan terkini status pemain berkenaan dan ketiga membuka ruang kepada Felda United untuk mengadakan perbincangan secara rasmi.
“Sekiranya berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berkenaan, mereka boleh datang untuk berbincang dengan KAFA dan kita sedia menerima kunjungan mereka,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Terdahulu, beliau merasmikan majlis memperkenalkan jersi dan pemain pasukan Kelantan bagi musim 2015.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan status Muhammad Ferris Daniel yang menjadi rebutan antara The Red Warriors dengan Felda United akan ditentukan selepas jawatankuasa pengurusan KAFA mengadakan mesyuarat hari ini.
Polemik melibatkan pemain itu tercetus apabila namanya telah didaftarkan oleh Felda sebelum 5 Disember lalu biarpun Kelantan telah mengumumkan bahawa penyerang Harimau Muda itu ada dalam perancangan Kelantan.
Bagaimanapun, pemain itu telah menandatangani kontrak bersama Felda United dan sudah pun menjalani latihan bersama finalis Piala FA musim lalu itu.
Dalam perkembangan lain, Annuar memberitahu sehingga kini pihaknya masih belum menerima pelawaan secara rasmi dari Felda United untuk mengadakan perbincangan berhubung perkara berkenaan.
Katanya, pengurusan Felda United hanya menghantar mesej sistem pesanan ringkas (SMS) kepada beliau untuk mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kami bersedia untuk berbincang dan perlu dilakukan mengikut cara yang betul. KAFA cukup menitik beratkan sikap profesional berkaitan dengan pengurusan pasukan,” ujarnya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kafa-enggan-lepaskan-ferris-daniel-1.56084#sthash.ABGockof.dpuf

Tiada ulasan :

Catat Ulasan