Khamis, 16 November 2017

Piya tagih semangat ‘This Is Kota Bharu’



MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
11 April 2017
Mohd Badhri Radzi

KAPTEN Kelantan, Mohd Badhri Radzi berharap semangat ‘This Is Kota Bharu’ dapat membantu pasukannya menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.

Mohd Badhri atau dikenali panggilan Piya berkata, barisan pemain The Red Warriors memerlukan aura sorakan peminat untuk menyuntik moral mereka ketika berdepan skuad kendalian Benjamin Mora pada aksi penuh berprofil tinggi itu.      

“Kita tahu selama ini slogan This Is Kota Bharu memang cukup gah tetapi sekarang macam tak ada apa-apa, malah pasukan yang bertandang ke sini (Kota Bharu) seakan tidak lagi gerun dengan Kelantan.

“Mungkin malam esok adalah masa terbaik untuk kita buktikan This Is Kota Bharu masih lagi relevan dalam bola sepak Kelantan sekali gus menjadikan JDT mangsa di gelanggang keramat kita ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Oleh itu, perancang tengah berusia 35 tahun itu menagih kehadiran penyokong setia walaupun mengakui sokongan mereka mungkin berbelah bahagi selepas pasukannya tewas kepada Pahang, Sabtu lalu.

“Kalaulah 11 pemain (di atas padang) bergabung dengan pemain (penyokong) ke-12, saya rasa tidak mustahil kita boleh mengalahkan pasukan hebat seperti JDT,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Badhri turut yakin rakan-rakannya sudah melupakan kekalahan lalu dan bersedia mencipta kebangkitan sekalipun sedar skuad Harimau Selatan itu berada pada prestasi terbaik bertandang ke Kota Bharu.

"Semua orang tahu JDT menang besar 7-0 (ke atas Melaka United), mereka bukan calang-calang pasukan dan mempunyai ramai pemain berkualiti seperti Shafiq (Rahim) tetapi saya percaya pemain Kelantan juga ada kelebihan tersendiri,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat memberitahu, pertemuan menentang JDT menjadi medan terbaik untuk membuktikan pasukan sederhana seperti Kelantan masih berupaya untuk mengalahkan gergasi bola sepak negara itu.

“Walaupun motivasi JDT cukup tinggi apabila datang ke sini dan prestasi Kelantan pula sedikit merudum namun saya yakin semangat rakan-rakan tetap membara untuk mengalahkan pasukan itu.

“Benar, ia satu pertemuan sukar tetapi kita sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik bagi menebus kembali kekalahan tipis kepada Pahang, tempoh hari,” katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE  11 April 2017

Tiada ulasan :

Catat Ulasan