Ahad, 26 November 2017

Kelantan cari rentak Perancis

ARKIB : 27/05/2008
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melantik bekas jurulatih pasukan elit Liga Perdana Thailand, Bec Tero Sasana Arsenal, Regis Laguesse bagi menggantikan Norizan Bakar yang menamatkan tugas sebagai ketua jurulatih pasukan negeri ini, lapor AZRAN FITRI RAHIM.

Presidennya, Datuk Seri Annuar Musa berkata, pemilihan Laguesse dibuat selepas pihaknya gagal untuk mendapatkan khidmat bekas pemain West Ham United, Peter Butler apabila majikan jurulatih itu, Kelab Persiba Balikpapan di Irian Jaya, Indonesia enggan melepaskannya.

Beliau berkata, Kafa terpaksa mencari alternatif lain selepas gagal mengikat Butler bagi mengelakkan timbulnya masalah dan tindakan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Butler masih mempunyai baki kontrak dengan kelab tersebut, kita terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmatnya, namun kita sudah mengenal pasti jurulatih baru yang akan dibawa ke Kota Bharu.

"Jurulatih dari Perancis itu menjadi pilihan kita kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas di Thailand, Belgium, Ivory Coast dan Congo," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Annuar berkata, Laguesse memiliki rekod yang cemerlang apabila kelab bimbingannya menduduki tangga ketiga Liga Perdana Thailand.

Katanya, jurulatih tersebut telah tamat kontraknya bersama kelab terbabit dan akan tiba di Kota Bharu hari ini.

"Buat permulaan kita akan menawarkannya kontrak untuk membimbing pasukan ini dalam pertandingan Piala Malaysia bagaimanapun jika beliau menunjukkan prestasi yang baik kita akan melanjutkan kontraknya untuk membimbing Kelantan pada musim depan.

"Pengalaman luasnya di peringkat antarabangsa ditagih untuk membawa skuad Kijang ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Tambahnya, skuad Cik Siti Wan Kembang itu juga akan menguji seorang pemain tengah dari Perancis berusia 24 tahun sebagai pemain import keempat pasukan tersebut.

"Selain itu, untuk memperkemaskan lagi pasukan untuk menghadapi kempen Piala Malaysia, Kelantan sedang mengintai beberapa pemain di posisi pertahanan kiri dan penjaga gol sebagai pemain tambahan," ujarnya.

Dalam pada itu, Kelantan akan mengadakan dua perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi Piala Malaysia apabila akan menentang pilihan Afrika pada 31 Mei ini dan Bec Tero Sasana Arsenal pada 6 Jun depan di Kota Bharu.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zWfqo7fT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan