Jumaat, 20 April 2018 | 11:34am
SALIM MAHMUD
Salim tabik keberanian Fajer
Oleh Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Tindakan drastik
Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) melakukan rombakan besar-besaran ke atas
pasukan itu dengan mengetepikan beberapa pemain berpengalaman mendapat sokongan
bekas pemain kebangsaan, Salim Mahmud.
Salim yang juga Presiden
Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kelantan (PBPBK) berkata, apa yang dilakukan
oleh jurulatih baharu pasukan itu, Fajer Ebrahim adalah wajar dan terbaik demi
memulihkan reputasi The Red Warriors.
Malah, berdasarkan perlawanan
pertama di bawah kendalian Fajer ketika seri 1-1 dengan Negeri Sembilan minggu
lalu, Salim yakin jurulatih dari Syria itu adalah pilihan yang tepat untuk
menyelamatkan bola sepak Kelantan.
"Kita memerlukan jurulatih
yang memiliki keberanian seperti Fajer untuk melakukan perubahan. Anda dapat
lihat hasilnya apabila beliau mempertaruhkan pemain muda ketika menentang
Negeri Sembilan.
"Walaupun sekadar seri 1-1
namun pemain menunjukkan kesungguhan serta berjuang bermati-matian sehingga
wisel penamat. Malah, kita mula nampak hala tuju pasukan itu sejak dibimbing
Fajer," ujar bekas pemain Kelantan era 1980-an hingga awal 1990-an itu.
Salim berkata, walaupun
pengguguran pemain import, Bruno Lopes dari Brazil dan Ferdinand Sinaga
(Indonesia) serta bintang tempatan seperti Norfarhan Muhammad dan S Veenod
memeranjatkan banyak pihak, namun ia langkah yang tepat.
Beliau juga tidak terperanjat
dengan ura-ura dua lagi pemain senior, Badhri Radzi dan Khairul Fahmi Che Mat
bakal turut diketepikan kerana beranggapan zaman kemuncak kedua-dua pemain itu
sudah berakhir.
"Tidak dinafikan Piya dan
Apek banyak berjasa kepada bola sepak Kelantan namun kita tidak boleh
menjadikan sentimen itu untuk terus bergantung pada mereka.
"Dalam bola sepak, kita
tidak boleh bergantung pada sejarah sebaliknya realiti semasa. Mungkin sudah
sampai masanya kedua-dua pemain itu mencari pasukan lain untuk meneruskan
karier," ujar Salim.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat,
20 April 2018 | 11:34am
Tiada ulasan :
Catat Ulasan