Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my
KETUA jurulatih Kelantan, Fajer
Ibrahim tetap lega biarpun skuad bimbingannya sekadar mengutip satu mata
selepas terikat 1-1 dengan Negeri Sembilan (NS) di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi, di sini, malam tadi.
Malah, beliau juga berpuas hati
dengan tindakannya yang mempertaruhkan sebahagian besar pemain muda apabila
mereka menunjukkan semangat dan komitmen tinggi sepanjang tempoh 90 minit
permainan.
"Saya puas hati dengan
komitmen pemain muda yang kita turunkan malam ini apabila mereka menunjukkan
persefahaman dan persembahan yang memberangsangkan terutama pada separuh masa
kedua.
"Walaupun kita ketinggalan
pada minit ketujuh, tetapi pemain tidak patah semangat, sebaliknya terus
berusaha mendapatkan gol penyamaan sehingga ke saat akhir permainan.
"Sikap mereka yang berjuang
sehingga ke penghujung permainan harus dipuji walaupun keputusan malam ini
tidak membawa banyak perubahan kepada pasukan dari segi kedudukan kami dalam
carta liga," katanya selepas perlawanan malam tadi.
Pemain muda Kelantan, Nik Akif
Syahiran Nik Mat, muncul penyelamat skuad The Red Warriors (TRW) apabila
meledak gol penyamaan pada minit ke-90, selepas NS mendahului lawan menerusi
jaringan Flavio Beck Junior pada minit ketujuh.
Fajer yang dilantik menjawat
jawatan berkenaan bulan lalu berkata, pihaknya memerlukan masa untuk
memantapkan lagi prestasi pasukan itu dan akan terus memberi peluang kepada
pemain muda untuk beraksi.
Bekas jurulatih kebangsaan Syria
itu berkata, pihaknya menaruh keyakinan terhadap persembahan pemain muda yang
dimiliki pasukan itu, malah menerusi gandingan dengan pemain berpengalaman
seperti Mohamad Gaddar, beliau yakin hasratnya untuk meletakkan pasukan itu di
landasan terbaik dalam carta musim ini akan dapat direalisasikan.
"Saya memerlukan masa untuk
memantapkan lagi prestasi pasukan dan berpandukan keputusan perlawanan malam
ini, kita perlu bekerja lebih keras untuk memastikan kemenangan dicapai pada
aksi akan datang.
"Namun, dengan prestasi
dipamerkan bakat muda ini, saya optimis pasukan ini mampu mencatat keputusan
lebih baik pada perlawanan akan datang. Apa yang penting saya harap pemain
kekal fokus dan berikan yang terbaik pada setiap perlawanan," katanya.
sumberArtikel ini disiarkan pada
: Ahad, 15 April 2018 @ 1:40 PM
Tiada ulasan :
Catat Ulasan