Isnin | 6 Januari 2020
BERNAMA | | 5 Januari 2020
Yusri - Foto Bernama
KETUA Jurulatih Kelantan, Yusri
Che Lah akan mengumumkan senarai penuh pemain yang akan memperkuatkan The Red
Warriors bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) khususnya Liga Premier
selepas 17 Januari depan.
Yusri berkata, beliau masih
menilai prestasi pemain-pemain yang sedang diuji ketika ini menerusi beberapa
perlawanan persahabatan yang telah dirancang sebagai aksi pemanas sebelum
mereka kembali bertarung dalam perlawanan sebenar.
"Saya tidak boleh menunggu
masa yang lama kerana banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam tempoh
persiapan yang hanya tinggal tujuh minggu sebelum sepak mula pada Februari
depan.
"Pada musim lepas, kita
menggunakan 100 peratus khidmat pemain muda dan pada musim ini, saya merancang
untuk menyeimbangkannya dengan pemain berpengalaman agar mereka dapat
membimbing pemain muda ketika beraksi di atas padang,” katanya ketika ditemui
pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, antara pemain
berpengalaman yang akan dibawa masuk bagi memperkuatkan pasukan Kelantan musim
ini termasuklah Mohd Nazrin Mohd Nawi, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Mohd
Farisham Ismail manakala empat pemain import masih dalam ujian dan penilaian.
Yusri berkata, beliau masih
mencari penyerang berbakat yang akan mengemudi jentera serangan walaupun sedang
menguji beberapa pemain import ketika ini bagi memperkuatkan pasukan.
Beliau berkata, Kelantan kini
sedang menguji dua pemain import sebagai penyerang iaitu Odili Felix Chidi dari
Nigeria, Ghanefo Ansumana Agogo Kromah (Libirea) manakala Bektur Talgat Uulu
(Kyrgyzstan) di posisi tengah dan Eze Kingley Obomneme (Nigeria) pula di
bahagian pertahanan.
"Dalam tempoh persiapan ini
saya akan bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu yang berkualiti terutama di
barisan hadapan yang sering menimbulkan kegusaran kepada pengurusan
pasukan," katanya.
Dalam pada itu beliau berharap
agar pemain yang berada dalam senarai panjang pasukan ketika ini dapat memperbaiki
kelemahan-kelemahan yang dimiliki sebelum keputusan muktamad pemain diumumkan.
"Kelemahan yang jelas perlu
diperbaiki oleh rata-rata pemain ialah aspek komunikasi, kawalan bola dan
kematangan pemain kerana ia membawa hala tuju pasukan pada setiap perlawanan
yang dihadapi kelak.
"Begitu juga dengan harapan
kepada penyokong, sebolehnya kami mengharapkan mereka tidak terlalu bersikap
'takir' (menghentam) pemain, seharusnya berilah peluang kepada pemain kerana
jika bersikap menghentam pemain saya rasa ia akan menurunkan lagi prestasi
mereka," katanya. – Bernama.[1]
[1] https://www.sinarharian.com.my/article/64661/BERITA/Sukan/Kelantan-umum-senarai-penuh-pemain-selepas-17-Januari
Tiada ulasan :
Catat Ulasan