Wan Rahim (tengah) bergambar
bersama Rakemi (dua dari kanan) dan rakan strategik yang menandatangani
perjanjian dengan TRW hari ini.
TEAM Red Warriors (TRW) Sdn Bhd
akan memanggil semua pemain yang terlibat dalam kes tunggakan gaji minggu depan
bagi membincangkan kaedah pembayaran yang boleh dilaksanakan.
Pengarah Urusan TRW, Datuk Wan
Rakemi Wan Zahari berkata, pertemuan tersebut amat penting bagi membincangkan
kaedah pembayaran memandangkan TRW tidak mampu untuk membayar tunggakan tersebut
secara sekali gus.
“Saya pun buat pertemuan dengan
pihak FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) bagi membincang isu ini dan selepas
itu kita buat keputusan panggil pemain untuk berunding cara-cara melangsaikan
hutang mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: 'TRW bukan
lagi pasukan bermasalah'
“Cuma saya amat berharap agar
semua pemain dapat bersabar dengan keadaan kantung TRW sekarang yang masih
belum pulih sepenuhnya dan kami akan menggunakan kaedah yang terbaik untuk
membayar semua hutang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika
diminta mengulas mengenai isu tuntutan gaji melibatkan pemain pasukan itu
sebelum ini.
Terdahulu, beliau dan kepimpinan
tertinggi TRW menyaksikan upacara menandatangani perjanjian rakan strategik
melibatkan dua syarikat iaitu Nexy Ventures Sdn Bhd yang diwakili Pengarah
Urusannya, Wan Mohd Hafiz Othman dan Syarikat Matek Maju Resource yang diwakili
Pengurusnya, Muhammad Syawal Mahmood.
Turut hadir, Presiden Persatuan
Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Wan Rahim Wan Abdullah.
Sementara itu, mengulas lanjut
mengenai kantung TRW, Wan Rakemi berkata, sehingga kini pihaknya masih belum
mempunyai penaja utama untuk membantu pengurusan TRW musim ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak
meletakkan apa-apa syarat jumlah penajaan tertentu kepada mana-mana pihak yang
sudi bekerjasama.
“Melibatkan penajaan dalam
keadaan semasa kini, kita masih boleh berunding dan tiada amaun tetap dijadikan
syarat. Apa yang penting, perancangan sekarang ialah untuk persiapkan pasukan.
“Dalam keadaan bebanan hutang
sekarang ini, TRW perlu mempunyai perancangan terperinci memandangkan kita
masih belum mempunyai penaja utama. Maka inisiatif sekarang ini ialah mencari
rakan kongsi untuk memenuhi kantung TRW,” katanya.[i]
[i] https://www.sinarharian.com.my/article/64554/BERITA/Sukan/TRW-akan-panggil-semua-pemain-bincang-tunggakan-gaji
Tiada ulasan :
Catat Ulasan