Selasa, 10 Jun 2014

Kelantan jinakkan Lions XII

KOTA BHARU - Kelantan terus memberikan tekanan ke atas pasukan kelompok teratas Liga Super apabila menjinakkan Lions XII 2-1 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi.

The Red Warriors mendahului Lions XII menerusi jaringan Fakri Saarani yang bijak menyudahkan hantaran Wan Zaharul Nizam pada minit ke-30 dan menjarakkan kedudukan apabila Khairul Izuan meledakkan gol kedua pada minit ke-63.

Lions XII mendapat gol sagu hati pada minit ke-68 menerusi Faris Ramli.

Di Stadium Bandaraya, Kuching skuad Bujang Senang membaham T-Team 2-0 apabila penyerang, Muamer Salibasic dan kapten, Joseph Kalang Tie berjaya menyumbat gol pada perlawanan itu.

Tuan rumah memperoleh gol pertama pada minit ke-28 apabila Salibasic menyambar sepakan sudut Joseph dan melepaskan rembatan lencong ke penjuru kanan pintu gol lawan.

Sarawak memperoleh gol kedua apabila Joseph membuat gerakan solo sebelum kemudiannya melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan Mohd. Shahril sekali gus memberikan 28 mata dalam kemenangan kesembilan buat mereka.

Sementara itu, PKNS FC terus kekal di tangga tercorot apabila tewas di tangan Perak 1-3 di Stadium Shah Alam.
RUJUKAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140611/su_03/Kelantan-jinakkan-Lions-XII#ixzz34HXChmbM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan