Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF DAN
ISWAN SHAFIZ MAT ISA
sukan@utusan.com.my
Pemain Pahang, Dickson Nwakaeme
(kanan) dihalang oleh pemain Kelantan pada perlawanan Liga Super di Kuantan
malam tadi. Pahang menang 1-0. - MINGGUAN/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN - Jaringan tunggal
Matias Ruben Conti membawa Pahang melonjak ke tangga ketiga Liga Super 2014
setelah menewaskan Kelantan 1-0 di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.
Penyerang dari Argentina itu
menolak mudah hasil tandukan dekat R. Gopinathan di sebelah kirinya untuk
menewaskan penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-64.
Kelantan terlebih dahulu cuba
merobek gawang Pahang pada minit kesembilan apabila penyerangnya, Ahmad Fakri
Saarani melakukan rembatan kencang di luar kotak penalti namun sempat ditangkap
kemas Md. Khairul Azhan Khalid.
Pemain tengah Pahang, Mohd.
Hafiz Kamal terlepas peluang membuka jaringan pertama dengan melakukan
percubaan sepakan di luar kotak penalti tetapi dengan mudah diselamatkan
Khairul Fahmi.
Juara Piala FA 2014 itu juga
terus hampa pada minit-44 apabila tendangan Dickson Nwakaeme terkena palang gol
malah percubaan kedua Azammuddin Mohd. Akil pula ditepis keluar.
Dua lagi percubaan tuan rumah
menerusi sepakan bebas Mohd. Hafiz dan rembatan kencang Gopinathan minit ke-57
dan 71 turut sekadar ditampan lawan.
Sementara itu, di Stadium
Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, T-Team menarik nafas lega
seketika untuk cuba keluar dari zon penyingkiran musim depan dengan kemenangan
2-0 ke atas pasukan tercorot, PKNS.
Kelab Terengganu itu mengumpul
22 mata untuk meninggalkan tangga kedua tercorot hasil sepakan gunting pemain
import kelahiran Indonesia, Patrich Steve Wanggai pada minit ke-45 dan Mohd.
Nizab Ayub, lima minit sebelum tamat.
Di Stadium Jalan Besar,
Singapura, LionsXII pula diikat tanpa jaringan oleh Sarawak sekali gus
meletakkan pelawat ke tempat kelima (29 mata).
Skuad Bujang Senang yang
dibimbing Robert Alberts kini memintas Kelantan manakala tuan rumah kekal di
tangga kelapan (25).
Di Stadium Majlis Perbandaran
Selayang, Sime Darby turut memintas Kelantan sambil mengekori Sarawak di tangga
keenam selepas membenam Perak 4-0.
RUJUKAN-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140615/su_01/Pahang-menang-Kelantan-makin-tercicir#ixzz34ezySrUi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan :
Catat Ulasan