Jumaat, 18 Julai 2014

Kafa pancing anak tempatan

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
18 Julai 2014
 Status Mohamed Shawky (depan, kiri) mula menjadi tanda tanya sementara Tagoe boleh mengucapkan selamat tinggal setelah khidmatnya tidak diperlukan oleh Kelantan untuk musim depan . - Foto: Khiru Shaleh Abdullah
Status Mohamed Shawky (depan, kiri) mula menjadi tanda tanya sementara Tagoe boleh mengucapkan selamat tinggal setelah khidmatnya tidak diperlukan oleh Kelantan untuk musim depan . - Foto: Khiru Shaleh Abdullah Status Mohamed Shawky (depan, kiri) mula menjadi tanda tanya sementara Tagoe boleh mengucapkan selamat tinggal setelah khidmatnya tidak diperlukan oleh Kelantan untuk musim depan . - Foto: Khiru Shaleh Abdullah

KESUNGGUHAN The Red Warriors untuk kembali menjadi pasukan yang disegani dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) dibuktikan lebih awal apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengumumkan bakal memancing pemain tempatan dan import baharu untuk musim depan.

Perkembangan terbaharu mengenai persiapan pasukan bekas juara tiga piala musim 2012 itu, dinyatakan Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam laman Facebook miliknya semalam, apabila membayangkan empat anak tempatan negeri itu akan dibawa masuk bagi memperkuatkan pasukan tersebut.

Mereka merupakan dua pemain kelahiran Kelantan yang mewakili skuad Harimau Muda A, selain dua bekas pemain skuad gergasi Pantai Timur itu yang kini menabur bakti bersama pasukan lain dalam saingan liga musim ini.

“Selain itu, kita juga akan membawa masuk empat pemain import baharu bagi memperkuatkan pasukan Kelantan mengharungi saingan Liga-M musim 2015.

“Insya-ALLAH, saya percaya The Red Warriors akan menjadi salah satu pasukan pencabar utama dalam Liga-M musim depan,” katanya.

Dua pemain Harimau Muda A yang pasti berada dalam pemerhatian Kafa ketika ini ialah penyerang, Mohamad Syahrul Azwari Ibrahim dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir.

Pengumuman Annuar untuk mendapatkan awang import baharu itu bagaimana pun mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan pemain tengah dari Mesir, Mohamed Shawky Aly dan Francis Forkey Doe (Liberia) bersama Kelantan.

Sementara itu, kedudukan dua lagi pemain import, Hussein Alaa Hussein Salman (Iraq) dan Prince Tagoe (Ghana) yang hanya mengikat kontrak selama enam bulan, bukan lagi rahsia kerana hampir pasti digugurkan oleh Kafa untuk musim depan.

Apa pun, langkah awal bekas Presiden Kafa memancing pemain baharu itu dilihat satu usaha terbaik bagi memulihkan reputasi skuad berkenaan yang tercalar gara-gara prestasi hambar sepanjang musim ini.

Pada kempen Liga Super, Kelantan sekadar menamatkan saingan di tangga keenam selain turut gagal mengekalkan kejuaraan Piala FA setelah disingkir naib juara Liga Premier, Felda United FC dalam peringkat separuh akhir.

Dalam perkembangan sama, Annuar memberitahu, seramai 13 pemain yang masih mempunyai kontrak bersama Kelantan akan terus kekal menyarung jersi pasukan berkenaan untuk musim depan.

Antara pemain yang kekal ialah Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi, Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Wan Zack Haikal Wan Noor, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd Khairul Izuan Rosli.

“Beberapa lagi pemain dalam proses rundingan untuk mengikat kontrak bersama Kelantan. Sekarang kita sudah ada 19 pemain dan beberapa pemain lagi akan dibawa masuk,” katanya.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 18.7.14

Tiada ulasan :

Catat Ulasan