Khamis, 3 Julai 2014

Kelantan tidak letak harapan


KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak meletakkan sebarang harapan tinggi dalam saingan Piala Malaysia 2014 yang dijadualkan bermula Ogos ini.

Penasihatnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau lebih selesa The Red Warriors turun selaku pasukan 'underdog' dalam saingan Piala Malaysia itu nanti.

"Kekalahan dalam beberapa aksi terdahulu (Liga Super) memperlihatkan terdapatnya kelemahan dalam pasukan. Oleh itu, kita perlu realistik dengan kemampuan yang ada, dan saya tidak meletakan harapan tinggi untuk saingan Piala Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan majlis dialog terbuka bersama peminat setia The Red Warriors di sini kelmarin. Yang turut hadir, pemangku Presiden KAFA Datuk Seri Afandi Hamzah.

Musim ini, Kelantan menamatkan saingan Liga Super dengan berada di kedudukan keenam selepas mengumpul 31 mata hasil sepuluh kemenangan, sekali seri, dan sebelas kekalahan.

Dalam perkembangan lain, Annuar memberitahu, pihaknya kini telah memulakan gerak kerja memperkasakan The Red Warriors untuk saingan musim hadapan.

Katanya, usaha mengenal pasti pemain yang bakal menyarung jersi The Red Warriors musim hadapan telah dilakukan oleh barisan panel kejurulatihan yang telah dilantik oleh KAFA.

"Musim hadapan kita meletakan untuk kembali memberikan saingan kepada pasukan bertanding, dan termasuklah mencabar kejuaraan. Kita akan memperkemaskan lagi benteng pertahanan, sayap, serta serangan dalam usaha memantapkan lagi pasukan termasuklah membawa pemain import berkelas dunia," ujarnya.
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140628/su_03/Kelantan-tidak-letak-harapan#ixzz36Ozol1TD © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan