Rabu, 6 Disember 2017

Kelantan intai pemain kebangsaan, guna khidmat Butler

ARKIB : 29/09/2008
KOTA BHARU - Skuad bola sepak Liga Perdana Kelantan sedang mengintai beberapa pemain kebangsaan untuk menyertai skuad Cik Siti Wan Kembang bagi mengukuhkan cabaran dan merealisasikan hasrat merangkul juara Liga Perdana musim ini, lapor AZRAN FITRI RAHIM.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, pemain kebangsaan tersebut akan digandingkan dengan pemain tempatan untuk membentuk sebuah pasukan yang tidak boleh diperlekehkan.

Sehubungan itu juga beliau berkata, dalam memenuhi impian itu, pemain juga akan mendapat suntikan jurulatih baru dari England, Peter Butler (gambar) yang pernah melatih skuad Sabah.

"Pemilihan Butler adalah berdasarkan pengalaman yang dimilikinya untuk membimbing pemain negeri untuk muncul sebagai salah sebuah pasukan elit di negara ini.

"Justeru itu, kita membuka pintu kepada semua pemain terutama pemain kebangsaan untuk menyertai pasukan ini, kita akan melayan pemain kebangsaan dari semua aspek seperti gaji dengan sewajarnya.

"Kita memberi jaminan kepada para pemain yang berhasrat untuk beraksi dengan Kelantan bahawa kebajikan mereka terutama dalam soal gaji tidak akan diabaikan seperti mana yang berlaku kepada negeri-negeri lain," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Wisma KAFA di sini semalam.

Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan bonus kepada para pemain belia yang muncul Johan Piala Belia Kebangsaan dan tunggakan bayaran gaji bagi musim 2006 serta 2007.

Kelantan membuat persiapan awal bagi membentuk pasukan yang mantap untuk musim ini apabila seramai 16 pemain sudah menandatangani kontrak bersama skuad tersebut termasuk tiga pemain dari pasukan Liga Perdana.

Tiga pemain terbabit ialah bekas penyerang Terengganu, Cik Hishamuddin Hassan dan dua pemain polis, Faizul Che Noh serta Wan Zaman.

Annuar berkata, skuad berkenaan sedang mengintai beberapa pemain kebangsaan untuk digabungkan dengan pemain tempatan untuk memperkukuhkan pasukan ini.

"Kita juga akan melantik seorang jurulatih fizikal dari Australia bagi memantapkan tahap fizikal supaya mereka dapat memberikan aksi terbaik dalam saingan musim ini.

"Pasukan ini juga akan dikendalikan oleh seorang pengurus sepenuh masa yang akan dilantik selepas hari raya nanti," katanya.

Dalam pada itu, katanya, KAFA telah melangsaikan hutang gaji yang tertunggak musim 2006/2007 kepada beberapa pemain termasuk bekas pemain kebangsaan, Halim Napi.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50TaHWRjW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan :

Catat Ulasan